fbpx

Modul Psikososial Intervensi Anak Yatim Menguatkan Yakin Diri Peserta

Modul Psikososial Intervensi Anak Yatim Menguatkan Yakin Diri Peserta

Modul Psikososial Intervensi Anak Yatim Menguatkan Yakin Diri Peserta

BANDAR BARU BANGI, 14 Sept 2015 — Berkesinambungan dari modul pertama bagi Program Intervensi Anak Yatim yang lalu, HALUAN dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri telah meneruskan program ini dengan penganjuran siri kedua berteraskan modul psikososial.

Bertepatan dengan objektif utama program iaitu ingin melahirkan modal insan yang seimbang dari seluruh aspek falkulti keinsanan maka keberadaan modul kedua ini dalam program dapat mengukuhkan lagi usaha-usaha bagi mencapai hasrat penganjuran program ini. Modul kali ini telah disampaikan oleh Prof Madya Dr Asmawati Desa, Pensyarah Pusat Pengajian Psikolog Dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pada slot pertama, penceramah telah memulakan slot ini dengan mempamerkan dua jenis topeng muka (musk rider dan mickey mouse). Penceramah meminta para pelajar menyatakan perangai yang disukai pada bahagian telinga kanan topeng dan perangai yang dibenci pada bahagian telinga kiri topeng. Objektif aktiviti ini adalah untuk memberi peluang kepada semua pelajar menyatakan perangai-perangai yang mereka sukai dan benci agar pelajar lain lebih memahami diri antara satu sama lain. Di akhir slot, penceramah telah meminta beberapa pelajar membentangkan hasil mereka masing-masing.

Selesai makan malam dan solat magrib berjemaah, sesi sharing moment telah diadakan bagi pelajar puteri manakala sesi tazkirah bagi pelajar putera. Bagi sesi tazkirah ini telah disampaikan oleh ketua fasilitator iaitu Encik Mohd Mu’adz Md Eswan. Bagi pelajar puteri, aktiviti dimulakan dengan perkongsian pengalaman dan nasihat oleh Puan Alfiah Samingan. Sesi memberi peluang kepada peserta untuk meluahkan isi hati dan masalah mereka.

Sesi diteruskan dengan slot yang kedua iaitu Penghargaan Kendiri. Slot ini turut disampaikan oleh Prof Madya Dr Asmawati. Beliau telah meminta peserta melukis kedua-dua belah tangan pada kertas lukisan. Pada lukisan tersebut, peserta perlu menyatakan kekuatan dan kelemahan diri. Di akhir slot ini, para peserta ditekankan agar sentiasa yakin pada diri dan cuba mengatasi kelemahan diri yang telah disedari.

Hari kedua dimulakan solat subuh berjemaah. Kemudian, program diteruskan dengan aktiviti sharing moment bagi peserta putera, manakala permainan regu bagi peserta puteri. Pelbagai permasalahan dapat didengari dari peserta-peserta putera. Pelbagai nasihat turut diberikan oleh para fasilitator. Permainan regu yang dijalankan oleh peserta puteri berdasarkan gaya dan juga lukisan. Peserta perlu meneka simpulan bahasa yang digayakan atau dilukis oleh para fasilitator.

Sesi diteruskan dengan slot ketiga bagi modul psikososial yang bertajuk Keyakinan Diri. Dua aktiviti dijalankan, pertama bookmark dan kedua penanda buku. Peserta diminta untuk menulis kata-kata semangat atau motivasi diri pada penanda buku yang disediakan. Setelah siap, setiap peserta diminta mengambil satu penanda buku rakan yang lain untuk disimpan.

Slot yang terakhir membincangkan mengenai Ketahanan Diri. Bagi melatih ketahanan diri, pelajar telah dibahagikan kepada lapan kumpulan. Mengikut kumpulan yang telah ditetapkan, para peserta ditugaskan untuk menyampaikan sajak mengikut kreativiti dan keyakinan diri masing-masing. Selepas pembentangan dijalankan, penceramah telah merumuskan bahawa aktiviti perlu dijalankan secara berkumpulan untuk memperlihatkan kebersamaan kumpulan. Selain itu, setiap manusia perlu memiliki ketahanan diri yang kuat bagi menghadapi rintangan dan halangan sama dari luar mahupun dalam diri. Tiga perkara yang telah disimpulkan ialah hargai diri seadanya, yakin pada diri sendiri dan berani kerana benar.

Di akhir modul, Puan Alfiah yang mesra dengan panggilan ummi telah menyampaikan ucapan penutup bagi mengingatkan beberapa perkara kepada para peserta dan turut berharap agar para peserta tanamkan azam dan tekad untuk menamatkan keseluruhan modul sehingga Majlis Konvokesyen Anak Yatim. Majlis ini dijangka akan diadakan pada akhir modul yang akan menggumpulkan semua peserta program intervensi anak yatim setiap zon di seluruh negara.

Kebanyakkan para peserta berpuas hati dengan modul ini antaranya adalah adik Nur Faihannah Ahmad Mahmood, 14 tahun, “Modul ini seronok kerana aktivti yang dilaksanakan dapat meningkatkan kesedaran dan keyakinan diri.” Bagi adik Nursyafidzatul Sahdan, 14 tahun pula, “Modul ini dapat memotivasikan diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan memberi kekuatan pada diri bagi menempuh dugaan kehidupan.”

Bagi peserta lelaki Abu Dzar Ahmad Rizal, 13 tahun “Aktivti modul Psikososial sangat best dan aktivitinya meningkatkan semangat diri” dan peserta Muhammad Khaidir Jumaidan, 13 tahun pula menyatakan bahawa fasiliti dan makanan sangat memuaskan dan fasilitator melayan mereka dengan baik.

Fasilitator Encik Ahmad Thaqif Kamdani juga berpuas hati dengan modul ke dua ini walaupun ada perbezaan dengan modul satu kerana ia lebih banyak ruang bagi peserta meluahkan perasaan mereka. Modul tiga akan menyusul pada 10 hingga 11 Oktober 2015 ini dan berharap agar semua peserta dapat meneruskan program ini hingga modul ke enam.


Laporan Oleh Nur Syaima Salleh & Ummu Hani Mohd Nasaruddin