Merdekakan Dirimu – Bahagian Kedua
IPOH, PERAK, 28 Nov 2018 – Dua bulan lepas, bahagian pertama artikel ini menyentuh mengenai definisi Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) serta asal usul jangkitan HIV (Human Immunodeficiency Virus) dan AIDS (Acquired Immuno Deficiency Syndrome) yang berkait rapat dengan gaya hidup LGBT.
Sebagai penerusan, bahagian kedua ini akan menghuraikan bagaimana jangkitan virus HIV ini berlaku dan tanda-tanda serta gejala penyakit ini kepada mangsanya.
Setiap manusia mempunyai dan dilengkapi dengan sistem pertahanan tubuh yang terdiri daripada sel-sel darah putih. Sistem pertahanan tubuh atau dalam istilah sainsnya, sistem imun, menjadi benteng pertahanan tubuh terhadap serangan-serangan kuman. Seseorang manusia tidak mudah jatuh sakit akibat kuman kerana sistem imunnya kuat dan mantap. Namun, jika imuniti ini lemah, serangan kuman boleh menyebabkan seseorang itu jatuh sakit. Jangkitan HIV disebabkan oleh sejenis virus yang dipanggil Human Immunodeficiency Virus (HIV). Virus ini menyerang sistem pertahanan tubuh mangsanya.
Oleh kerana sistem imun pengidap HIV lemah, maka mudahlah ia mendapat jangkitan kuman yang biasanya tidak terjadi kepada mana-mana individu yang sihat. Sebagai contoh, sistem imun seorang yang normal akan memusnahkan kuman A apabila kuman itu memasuki aliran darah. Namun, sistem imun pengidap HIV yang lemah tidak dapat memusnahkan kuman tersebut maka terjadilah jangkitan kuman yang serius. Selain daripada itu, akibat daripada sistem imun yang lemah tadi, pengidap penyakit HIV mudah mendapat barah yang jarang-jarang terjadi.
Bagaimanakah jangkitan kuman HIV ini boleh terjadi? Adakah ia menjangkiti sesiapa sahaja dan apakah faktor penyebab jangkitan ini?
Kuman HIV ini menjangkiti seseorang melalui beberapa cara:
- Jangkitan terjadi melalui amalan seks luar tabi’ie (gaya hidup gay, lesbian, transgender) atau seks rambang (samada melalui hubungan seks dengan pelacur atau beberapa orang wanita samada rakan atau kekasih).
- Melalui transfusi darah yang tercemar dengan kuman HIV.
- Suntikan dadah menggunakan jarum yang diguna oleh penagih dadah.
- Ibu yang mengandung kepada anak yang dikandung.
Apabila seseorang itu dijangkiti dengan virus HIV ini, maka virus ini berada di dalam cecair badannya seperti cecair air mani, rembesan dubur, air liur, darah dan susu badan. Seseorang yang sihat boleh dijangkiti dengan kuman ini apabila melakukan seks dengan pengidap HIV di mana ketika hubungan seks berlaku melalui dubur, faraj ataupun mulut. Rembesan cecair daripada tubuh pengidap memasuki aliran darah pasangannya itu melalui permukaan kulit atau mucus membrane yang bergeser dengan pengidap HIV. Penagih dadah yang menggunakan suntikan jarum juga berisiko besar mendapat jangkitan ini apabila mereka berkongsi jarum dengan rakan penagih yang sudah dijangkiti kuman HIV ini.
Walaupun ramai doktor, saintis dan aktivis menyarankan penggunaan kondom bagi mengurangkan risiko kuman ini menuular kepada pasangan seksual, namun ianya tidaklah 100 peratus dapat melindungi pasangan berkenaan daripada mendapat jangkitan HIV. Seks rambang di kalangan golongan gay atau lesbian atas alasan hak kebebasan mereka memilih dan menentukan gaya hidup mereka sendiri sangat mudah menjebakkan seseorang itu kepada jangkitan HIV yang sukar diubati. Lebih memeritkan apabila kos rawatan golongan songsang ini terpaksa pula dirawat dengan menggunakan wang cukai yang dikutip daripada rakyat yang rata-rata menolak cara hidup tersasar itu.
Oleh itu adalah baik dan bijak sekiranya seseorang itu menjauhi amalan seks bebas atau penagihan dadah melalui suntikan jarum yang berisiko mendapat jangkitan HIV.
Merdekakanlah dirimu daripada amalan kehidupan sebegini, kerana jangkitan HIV ini akan melemahkan tubuhmu, serta membuang masa dengan terpaksa ke hospital bagi ujian darah dan rawatan. Fikirkanlah wahai pemuda-pemudi sekelian. Jika kenikmatan seks atau khayalan yang sebentar nikmatnya dicari, maka apalah gunanya jika menderita penyakit ini di waktu mudamu tanpa engkau berupaya menggunakan usia emas mudamu untuk kebahagiaan dirimu, keluargamu dan negaramu. Malah, maut yang menanti.
_
Laporan Dr Kursiah Mohd Razali,
Pakar Perunding Oftalmologi,
Hospital Raja Permaisuri Bainun,
Merangkap Ahli Biro Kesihatan HALUAN