fbpx

Zionis Akan Dibicara Jenayah Serang Mavi Marmara

Zionis Akan Dibicara Jenayah Serang Mavi Marmara

Zionis Akan Dibicara Jenayah Serang Mavi Marmara

BANGI, SELANGOR, 4 Okt 2012 — Perbicaraan serangan maut tentera laut Israel ke atas Freedom Flotilla akan bermula di Mahkamah Çaglayan di Istanbul pada 6 November ini. Sebagai salah sebuah NGO yang turut menjadi mangsa dalam tragedi tersebut, HALUAN Malaysia telah dijemput membantu proses pengadilan dan meneruskan agenda pembebasan Palestin.

Suspek perbicaraan itu termasuk bekas Ketua Staf Angkatan Pertahanan Israel, Jeneral Gabi Ashkenazi, Komander Angkatan Tentera Laut, Timb. Admiral Eliezer Marom, Ketua Perisikan Tentera, Mejar Jeneral Amos Yadlin, dan Ketua Perisikan Tentera Udara, Brig. Jeneral Avishai Levi. Mereka akan dibicarakan sebagai “suspek buruan”. Terdapat seramai 490 pengadu dan mangsa dalam kes itu, termasuk aktivis daripada 37 negara yang menaiki kapal tersebut ketika kejadian dan juga saudara-mara para syuhada.

Pada 31 Mei 2010, angkatan tentera Israel telah menyerang ganas kapal MV Mavi Marmara dan kapal-kapal lain yang sedang belayar membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Tragedi yang berlaku di perairan antarabangsa itu turut melibatkan 12 orang sukarelawan dan petugas media dari Malaysia. Sembilan sukarelawan bantuan kemanusiaan, lapan warganegara Turki dan seorang warganegara Amerika, telah dibunuh semasa serangan laut dan udara itu dan lebih 50 yang lain tercedera, manakala seorang lagi mangsa masih tidak sedarkan diri sehingga ke hari ini. Semua penumpang konvoi termasuk krew kapal-kapal telah dipenjarakan di Israel. Beberapa orang sukarelawan turut didera ketika dalam tahanan.

Satu laporan yang diterbitkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merumuskan bahawa peraturan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia telah jelas dicabuli oleh tentera Israel semasa dan selepas serangan tersebut. Tentera Israel juga didakwa melakukan jenayah berat di mana mereka telah membunuh dengan sengaja, melakukan penyeksaan dan penafian rawatan tidak berperikemanusiaan, dengan sengaja menyebabkan penderitaan yang besar atau kecederaan serius kepada badan atau kesihatan, penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya, sekatan kebebasan bersuara, merampas barang-barang peribadi dan beberapa jenayah berat lain yang berkaitan.

Tindakan undang-undang akan dibawa di peringkat kebangsaan melibatkan negara Turki, Amerika Syarikat, Sepanyol, Belgium, Itali, dan beberapa lagi, dan juga di peringkat antarabangsa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Seramai lima sukarelawan HALUAN turut mengalami peristiwa ngeri tersebut. Sehubungan dengan itu, NGO penganjur utama pelayaran Freedom Flotilla yang juga penyelenggara kapal Mavi Marmara, Insani Yardem Vakfi (IHH), telah mengundang HALUAN Malaysia untuk menyokong usaha membela mangsa serangan tentera Zionis tersebut dan meneruskan perjuangan membebaskan bumi Palestin.

Mengulas tentang perkara tersebut, Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan menyebut bahawa rejim Israel kini berhadapan dengan perbicaraan ke atas sikap dan aksi berterusan mereka menentang kemanusiaan. “Mereka berhadapan dengan mangsa dan keluarga mereka daripada latar belakang yang berbeza – pelbagai bangsa, agama, warganegara dan budaya – yang bersatu hati di atas dasar kemanusiaan. Mereka bukan sahaja melakukan jenayah ke atas kami di atas kapal, bahkan juga jenayah berat ke atas keluarga mangsa yang mewakili ratusan negara dan juga mereka yang bersatu di atas nurani kemanusiaan sejagat,” ulas beliau. Dr Syed Muhammad Haleem merupakan seorang petugas perubatan di atas kapal Mavi Marmara dalam peristiwa serangan itu.

Beliau yang fasih berbahasa Turki itu turut memberi jaminan bahawa HALUAN Malaysia akan terus berkerjasama dengan IHH dan NGO antarabangsa lain dalam usaha membongkar kejahatan rejim Israel. “Mereka bukan sahaja berbuat jahat ke atas rakyat Palestin, bahkan ke atas seluruh masyarakat dunia yang cintakan kedamaian dan keadilan. Setiap manusia yang waras akan menyokong usaha ini, jadi kami akan memberi sokongan padu kepada usaha membawa mereka ke muka pengadilan di bawah Kanun Keseksaan Turki ini, ” kata Dr Syed Muhammad Haleem lagi.