fbpx

Ziarah Aidilfitri HALUAN Johor Erat Persaudaraan Ahli dan Masyarakat

Ziarah Aidilfitri HALUAN Johor Erat Persaudaraan Ahli dan Masyarakat

Ziarah Aidilfitri HALUAN Johor Erat Persaudaraan Ahli dan Masyarakat

KLUANG, 5 September 2012 — Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi umat Islam yang berjaya kembali kepada fitrah setelah melalui madrasah Ramadhan al-Mubarak. Inilah masanya untuk umat Islam bertakbir membesarkan Allah, berbalas-balas senyuman, saling mengucapkan tahniah, ziarah-menziarahi bagi mengukuhkan hubungan persaudaraan dan bersama-sama menyatakan rasa kesyukuran dan kegembiraan di bulan Syawal yang mulia ini.

HALUAN Cawangan Johor tidak ketinggalan mengambil langkah untuk mengisi kehadiran Syawal dengan aktiviti-aktiviti yang dapat mengeratkan lagi silaturahim melalui program Ziarah Aidilfitri. Ahli-ahli HALUAN Unit Simpang Renggam menarik perhatian tersendiri kerana saban tahun tampil melaksanakan Ziarah Aidilfitri ini dengan menjadikan marhaban sebagai pengisiannya.

Menurut seorang ahli jawatankuasa Biro Dakwah dan Pendidikan Masjid As-Sobirin di Simpang Renggam, En Hasani bin Ariffin, aktiviti marhaban atau lebih dikenali oleh masyarakat Jawa sebagai “baraan” ini diisi dengan alunan selawat dan bacaan doa bagi memohon rahmat dan keberkatan untuk tuan rumah, sebelum para tetamu dijemput menjamu selera dan beramah mesra. Beliau menyambut baik usaha HALUAN Unit Simpang Renggam melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti ini yang mampu menterjemahkan erti kemenangan yang sebenar dalam meraikan Aidilfitri.

“Selain dapat mengikat hubungan ukhuwah di antara ahli dan relawan HALUAN di Simpang Renggam, aktiviti ziarah-menziarahi ini turut membawa mereka lebih dekat kepada masyarakat dan budaya setempat,” jelas Tn. Hj. Mohamad Yusuf bin Kaslan selaku Ketua Unit HALUAN Simpang Renggam.

Sementara itu ahli JKKK Kg. Shari, Tn Hj Khirunasir Rohani berkata bahawa saban tahun pihak HALUAN Cawangan Johor mengadakan marhaban yang bukan sahaja menyuburkan budaya ziarah-menziarahi malah ia turut dilakukan dengan pengisian yang agak berbeza apabila diisi dengan penyampaian tazkirah ringkas. “Sememangnya umat Islam perlu menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai waktu untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim,” kata beliau.

Di tempat yang berasingan, Biro Pemuda HALUAN dan Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) telah mengambil langkah mengeratkan lagi hubungan dengan para remaja yang pernah mengikuti program-program anjuran HALUAN sebelum ini. Mereka telah menziarahi rumah sebahagian daripada mereka selain daripada berkunjung ke rumah-rumah ahli dan sukarelawan HALUAN di sekitar daerah Johor Bahru.

Program Ziarah Aidilfitri yang dilaksanakan oleh setiap unit HALUAN Johor ini sememangnya mampu menghasilkan natijah yang baik apabila ukhuwah yang dibina ini terus segar dan menjadi sumber kekuatan bagi setiap ahli untuk terus merealisasikan konsep ta’aruf, tafahum dan takaful.

HALUAN Johor juga akan turut mengadakan Jamuan Hari Raya pada 9 September 2012 sebagai acara kemuncak dalam siri-siri program meraikan Aidilfitri 1433H di Sekolah Islam As Syddiq, Simpang Renggam, iaitu sebuah sekolah angkat HALUAN Cawangan Johor.


Laporan Khairy Jaafar, MediaHALUAN Cawangan Johor.