fbpx

Youngstars Cungkil Potensi Remaja

Youngstars Cungkil Potensi Remaja

Youngstars Cungkil Potensi Remaja

PUTRAJAYA, 5 Dis 2015 — Bayangkan. Para remaja berhimpun bagi membincangkan isu yang melanda diri mereka terutamanya dalam aspek akhlak serta merangka sendiri pelan tindakan bagi membantu rakan sebaya mengatasi kemelut kehidupan mereka.

Bukan sekadar itu sahaja, mereka berpeluang berekspresi melalui pertandingan video pendek, pengucapan awam dan larian yang dilaksanakan secara serentak. Itulah kelainan YoungStars Annual Gathering (STAR!), program sehari suntuk anjuran Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) dengan kerjasama Masjid Putra di sini pada 5 Disember lepas.

Pertandingan ini bertujuan mencungkil bakat dan potensi remaja dan ternyata bakat yang ditampilkan oleh para peserta Youngstars 2015 menunjukkan bahawa mereka mempunyai potensi yang besar dalam kreativiti dan kepimpinan. Lebih 230 peserta lelaki dan perempuan telah menyertai program tersebut.

Program ini bertemakan “Mencorak Generasi Melalui Akhlak Terpuji” bagi memberi kefahaman dan kesedaran kepada remaja kini tentang peri pentingnya akhlak terpuji yang merangkumi akhlak kepada pencipta dan akhlak sesama manusia seterusnya dapat mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

Sesi ucaptama dan perasmian dilaksanakan oleh Prof. Dr. Azizan Ahmad selaku Naib Presiden 3 HALUAN yang membentangkan tajuk “Remaja Berakhlak Pemangkin Kekuatan Ummah”. Turut hadir adalah Pengerusi Kelab Remaja HALUAN, Encik Mohd Nasaruddin Abdul Manaf dan penasihat program, Cikgu Mahmud Jaaffar. Peserta menjadi teruja bila penceramah Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin dipanggil ke atas pentas untuk bercakap mengenai “Akhlak Remaja Terhadap Pencipta”. Slot seterusnya telah membuka minda para peserta tentang muamalat remaja yang disampaikan oleh gandingan dua penceramah hebat iaitu Dr. Razali Maarof dan Ustaz Umar Aiman.

Program diteruskan dengan malam kemuncak STAR! sebagai penghargaan dan anugerah kepada para peserta yang berjaya dalam pertandingan yang telah dianjurkan. Malam tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid, dikir barat dan sebagainya.


Laporan Asmaa Nadhirah Mohd Nasaruddin, Setiausaha II STAR!