
YADIM dan HALUAN Jalin Kerjasama Program Akademi Dai Muda
BANDAR BARU BANGI, 4 Feb 2025 – Kolaborasi sedang disusun oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama HALUAN demi melahirkan barisan pendakwah muda yang berwibawa, berilmu, dan berakhlak menerusi Program Akademi Dai Muda YADIM (ADMY).
Delegasi empat pegawai YADIM yang diketuai Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Du’at, Ustaz Muhammad Ashraf Ab Malek telah mengunjungi ibu pejabat HALUAN di sini semalam untuk membincangkan kerjasama yang melibatkan penempatan pelatih ADMY dalam aktiviti dakwah yang dijalankan oleh HALUAN.
Melalui kerjasama ini, lima orang pelatih ADMY akan ditempatkan di HALUAN selama tiga minggu bermula awal bulan Julai. Mereka berpeluang menimba pengalaman dalam mengurus dan melaksanakan program dakwah serta menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat melalui pelbagai kaedah dan teknologi terkini.
Delegasi tersebut disambut oleh Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman; Setiausaha Agung, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin; Naib Presiden Kluster Dakwah, Ustaz Mohd Ashrof Lukman; Naib Presiden Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga, Dr. Zurina Muda; serta staf lain.
Dr. Abdullah Sudin menyambut baik cadangan kerjasama tersebut dan berharap pelatih-pelatih ADMY dapat memperoleh nilai tambah di samping pengalaman dan ilmu yang berharga melalui penglibatan dalam aktiviti dakwah yang pelbagai yang diterajui oleh HALUAN.
ADMY adalah sebuah program realiti pengkaderan intensif selama tiga bulan yang melibatkan 30 pelatih daripada kalangan graduan universiti. Program yang dianjurkan sejak 2013 ini bertujuan melahirkan dai muda yang bukan sahaja mahir dalam ilmu pengurusan dakwah, tetapi juga kreatif dalam menyampaikan dakwah serta mampu memanfaatkan perkembangan teknologi untuk memperluaskan penyebaran dakwah. Yang lebih utama, program ini juga menekankan pembentukan akhlak dan sahsiah yang mulia, serta mendidik para pelatih untuk menjadi dai yang taat kepada Allah SWT.
Sehingga kini, seramai 149 orang pelatih telah berjaya menamatkan program ADMY dan kini aktif sebagai Dai Muda YADIM, menyumbang dalam dakwah melalui pelbagai bidang kerja dan memenuhi keperluan masyarakat.




Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat HALUAN