fbpx

#WeAreAllMary Hantar Amaran Keras Kepada Zionis

#WeAreAllMary Hantar Amaran Keras Kepada Zionis

#WeAreAllMary Hantar Amaran Keras Kepada Zionis

KUALA LUMPUR, 29 Jan 2019 — Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQP) hari ini melancarkan Kempen #WeAreAllMary untuk menunjukkan solidariti berterusan kepada wanita Al-Quds yang berdepan dengan penjajahan Israel selama lebih 70 tahun. MWCQP ialah sebuah gerakan solidariti akar umbi yang berhasrat untuk membawa suara wanita Malaysia ke arah pembebasan Al-Quds dan Palestin.

Majlis telah diadakan di Hotel De Palma Ampang dihadiri hampir 60 wakil-wakil NGO gabungan. Majlis turut dihadiri Naib Presiden 4 HALUAN, Puan Alfiah Samingan, Ketua Biro HALUANITA, Dr. Zurina Muda dan Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr. Syed Muhammad Haleem Syed Hassan.

#WeAreAllMary adalah sebuah kempen global yang dianjurkan oleh The International Union of Al-Quds Cultural Education and Research (UKAED). Kempen ini akan berlangsung sehingga 8 Mac, 2019. Sepanjang tempoh ini, pelbagai aktiviti dan pertemuan akan dianjurkan di pelbagai bandar utama di seluruh dunia untuk menyatakan solidariti bersama wanita-wanita Al-Quds.

Tiga puluh negara terlibat dalam kempen ini iaitu Palestin, Malaysia, Indonesia, Brazil, Kanada, Jerman, Pakistan, India, Sweden, United Kingdom, Amerika Latin, Rusia, Switzerland, Guatemala, Kenya, Bangladesh, Azerbaijan, Sri Lanka, Lubnan, Turki, Qatar, Libya, Somalia, Jordan, Kuwait, Bahrain, Sudan, Algeria, Maghribi dan Tunisia.

Tragedi dan kesengsaraan yang menimpa wanita di Palestin harus mendapat perhatian yang sewajarnya daripada semua lapisan masyarakat. Wanita Palestin sering berhadapan dengan keganasan, ancaman, ugutan, sekatan perjalanan, dan diskriminasi akibat polisi Israel yang bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia.

Selain itu, MWCQP  ingin menyeru pihak berkuasa antarabangsa dan yang berkenaan agar:

1. Mengambil tindakan segera ke atas Israel agar menghentikan keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak seperti serbuan pada waktu malam dan penahanan.

2. Menamatkan sekatan ke atas Gaza dan menjamin akses penuh warganya kepada semua keperluan asas seperti makanan, air bersih, sistem pembentungan dan perkhidmatan kesihatan.

3. Menjamin keselamatan dan akses petugas dan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat awam dan membenarkan kemasukan bekalan perubatan, makanan dan bahan binaan.

4. Membenarkan rakyat Palestin yang sakit, cedera dan wanita mengandung untuk mendapatkan rawatan perubatan.

5. Menghentikan aktiviti merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin dan mengiktiraf hak rakyat Palestin ke atas harta mereka.

6. Menghentikan kesemua aktiviti pembinaan penempatan haram seperti yang ditegaskan dalam Resolusi Majlis Keselamatan 2334 (2016).

_
Laporan mediaHALUAN