fbpx

Warmth 4 Palestin & Syria Disember 2016

Warmth 4 Palestin & Syria Disember 2016

Warmth 4 Palestin & Syria Disember 2016

RAKYAT SYRIA TERUS DIZALIMI

Krisis kemanusiaan di Syria bagaikan tiada tanda hentinya, dan dunia tidak harus terus membiarkan rakyat Syria ditindas dan dizalimi oleh rejim Bashar al-Assad bersama sekutunya Russia dan Iran. Semua pihak, tanpa mengira kaum dan agama, harus bangkit menentang Bashar Assad dan sebaliknya memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Syria yang inginkan kehidupan bebas di bumi kelahiran mereka sendiri.

Rejim Bashar al-Assad masih lagi meneruskan agenda kekejamannya terhadap rakyat awam di seluruh Syria selama hampir enam tahun lalu. Kini angka kematian sudah melebihi 600,000 orang, ratusan ribu pula orang awam yang cedera dan ratusan ribu lagi mengalami pelbagai seksaan sebagai tahanan di dalam penjara. Manakala pada masa yang sama, menurut UNHCR lebih 12 juta rakyat Syria menjadi pelarian untuk menyelamatkan diri di dalam Syria dan juga di sempadan Jordan, Lubnan dan Turki.

Desakan demi desakan oleh dunia melalui PBB yang ingin mengemukakan pelan genjatan senjata dan perdamaian, namum rejim Bashar bukan sahaja tidak mengendahkan jeritan dunia, malah terus membuat penafian demi penafian serta meneruskan pembunuhan kejam ke atas rakyat yang menentang autokrasinya. Rejim Bashar yang kejam sanggup menggunakan kekerasan ke atas rakyatnya dengan pelancaran kereta kebal, senjata-senjata berat, pesawat tempur, senjata kimia dan memusnahkan bangunan-bangunan termasuk rumah kediaman, hospital dan juga masjid.

Serangan kejam bagaikan tiada noktah terhadap penduduk di bandar Aleppo, Homs dan juga di pinggiran kota Damaskus. Musim sejuk yang bermula dari November dan berakhir bulan Mac setiap tahun adalah waktu yang paling getir dihadapi oleh setiap pelarian Syria. Dengan suhu yang mampu menjunam ke paras negatif 15 Celcius, pelarian kanak-kanak dan orang tua adalah antara yang amat memerlukan bantuan alat pemanas, selimut, pakaian sejuk, di samping makanan dan rawatan ubat yang asasi.

Sebagai umat Islam di mana jua berada, fakta kerakusan rejim Assad dan sekutu-sekutunya yang telah mencabul kehormatan saudara-saudara kita di Aleppo dan bandar-bandar lain dengan pengeboman kejam wajib di kecam oleh seluruh masyarakat antarabangsa.

GAZA DIZALIMI DALAM KEPUNGAN

Dunia menyaksikan bagaimana kejamnya rejim Zionis menyerang penduduk awam Palestin di Gaza secara besar-besaran sebanyak tiga kali sejak wilayah itu mula dikepung pada tahun 2006. Kemusnahan harta dan infrastruktur awam dalam serangan pada musim panas 2014 masih belum dapat dipulihkan kerana sekatan tersebut, manakala ribuan pesakit masih menanggung kesengsaraan tanpa mendapat rawatan.

Lebih 100,000 penduduk masih tinggal di dalam rumah yang rosak, atau di bawah runtuhan bangunan rumah mereka, atau di dalam caravan sementara dalam keadaan sangat menyedihkan, dan tidak kurang yang masih terpaksa menumpang di rumah saudara dan jiran.

Kemiskinan dan serangan yang berterusan terutama ke atas nelayan dan petani, di samping tindakan kerajaan Mesir memusnahkan terowongan di kawasan sempadan, menjadikan lebih 80% penduduk terpaksa bergantung hidup kepada bantuan pihak luar sepenuhnya.

Bayangkan bagaimana mereka akan mengharungi musim sejuk, yang mana sejak tiga tahun lalu diiringi oleh angin dan hujan ribut yang membawa bencana banjir.

MISI KEMANUSIAAN WARMTH 4 PALESTINE & SYRIA

Disember 2016 ini, HALUAN menyasarkan kepada Agihan Pakaian Sejuk, Pek Makanan Asasi, Bantuan Duit Poket Keluarga, serta Bantuan Rawatan Perubatan kepada keluarga-keluarga miskin di Gaza dan juga pelarian Syria yang terputus akses daripada keperluan asasi di sekitar Aleppo, Homs dan Damaskus, termasuk mereka yang masih bertahan dan terkepung di Ghoutah Timur.

Juga kepada anak-anak yatim Syria yang kehilangan ibubapa dan tempat kediaman. Kos untuk setiap bulan penyaraan kediaman anak yatim ialah RM25,000.00.

Kami juga menyasarkan bantuan musim sejuk untuk keperluan lebih daripada 500 keluarga dengan bantuan sebanyak RM200 setiap keluarga yang mempunyai di antara lima ke enam ahli.

Misi kali ini dilaksanakan oleh HALUAN melalui Biro Misi Kemanusiaan (BMK) dan Biro HALUAN Palestin (BHP) dengan kerjasama Al-Sarraa Foundation, sebuah NGO kemanusiaan yang beroperasi di Turki, Gaza, al-Quds dan Syria.

HALUAN yang prihatin dalam isu Palestin melalui kempen bantuan kemanusiaan dan solidariti sejak tahun 2009, serta menyalurkan pelbagai bantuan ke kem-kem pelarian Syria di Turki, Jordan mahupun di dalam wilayah Syria sendiri sejak tahun 2012, sekali lagi merayu dan mengajak masyarakat Malaysia agar terus prihatin dan menyokong bantuan kecemasan ini.