fbpx

Warga UTeM Masih Peduli Isu Syria

Warga UTeM Masih Peduli Isu Syria

Warga UTeM Masih Peduli Isu Syria

MELAKA, 10 Mac 2014 – Isu umat Islam di Syria yang sudah berlanjutan lebih kurang tiga tahun kian dilupai berikutan pelbagai isu semasa dalam dan luar negara yang dilihat lebih sensasi dan terkini.

Namun bagi warga kerja dan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), isu Syria masih diberi perhatian khususnya dengan inisiatif penganjuran ceramah khusus yang bertema ‘Syria dalam sengsara’ baru-baru ini. Ceramah ini dianjurkan dengan kerjasama Puspanita UTeM, Pusat Islam UTeM dan HALUAN. Program yang berlangsung pada 7 Mac 2014 telah dimulakan dengan khutbah Jumaat khas mengenai Syria.

Manakala, ceramah khusus kepada kakitangan pentadbir UTeM dan Majlis Perwakilan Pelajar UTeM pula berlangsung pada sebelah petang. Perkongsian ini disampaikan oleh relawan HALUAN, Ustaz Ahmad Muhammad Jamallullail pernah menetap di bumi Syam ketika menuntut ilmu di sana. Di dalam ceramahnya, Ustaz Jamallullail menggambarkan penindasan dan kekejaman yang berlaku kepada rakyat Syria adalah satu bentuk kezaliman yang tidak berperikemanusiaan.

Katanya lagi, hingga ke hari ini penindasan itu masih berlaku tanpa pembelaan sewajarnya daripada masyarakat dunia khususnya orang Islam. Justeru itu, beliau menggesa seluruh rakyat Malaysia bersatu hati dengan segala kemampuan yang ada untuk menghulurkan bantuan sama ada berbentuk kewangan atau apa sahaja yang termampu hatta menadah doa sekali pun. Hal ini, berkait rapat dengan sikap dan kepekaan kita terhadap saudara muslim kita sendiri.

Selain itu, wakil Puspanita turut mendeklamasikan sajak khas buat rakyat Syria selepas sesi ceramah tersebut. Kemudian, diikuti dengan ucapan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan. Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa seseorang Muslim tidak hanya berjuang untuk bangsa, negara dan agama, tetapi berjuang untuk ummah. Beliau sekaligus melancarkan misi kemanusiaan Syria ke Jordan yang disertai dua orang relawan HALUAN dan tiga orang sukarelawan dari Pusat Islam UTeM yang akan berangkat ke Jordan pada 14 Mac ini.

Misi ini adalah dengan kerjasama Kelab Siswa HALUAN Jordan dan Islamic Center Charity Society, ICCS yang merupakan wakil NGO Islam di Jordan. Pasukan ini turut membawa sumbangan sebanyak RM50,000 daripada pihak HALUAN dan RM68,000 daripada pihak Pusat Islam UTeM.

Antara relawan yang akan mengikuti Misi Kemanusiaan Syria di Jordan ialah Encik Zulkifli Willi (HALUAN), Encik Shahkirin Mohd Shah (HALUAN), Encik Muhammad Zharif (Naib Yang Dipertua MPP UTeM sesi 2013/2014), Encik Ahmad Saufi (Mantan Yang Dipertua MPP UTeM sesi 2010/2011) dan Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Radhuan Nordin. Mereka dijangka berlepas ke Amman pada 14 Mac untuk misi tersebut yang akan berlangsung selama seminggu.

HALUAN mendoakan keselamatan dan kebaikan bagi mereka yang memikul amanah bagi menjayakan misi pada kali ini. Moga dengan sedikit usaha ini, akan meringankan beban rakyat Syria yang tertindas dalam kemelut pergolakan yang tiada penghujung ini.

Masyarakat prihatin yang ingin membantu rakyat Syria melalui misi bantuan HALUAN Malaysia boleh menyalurkannya melalui:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad


Laporan oleh Zulkifli Willi, Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan.