fbpx

Warga UiTM Kampus Puncak Alam sambut kemerdekaan dengan mengambil iktibar daripada penjajahan Palestin

Warga UiTM Kampus Puncak Alam sambut kemerdekaan dengan mengambil iktibar daripada penjajahan Palestin

Warga UiTM Kampus Puncak Alam sambut kemerdekaan dengan mengambil iktibar daripada penjajahan Palestin

UiTM Kampus Puncak Alam, Isnin 30 Ogos — Siswa-siswi beserta pensyarah dan tenaga kerja Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam menghitung detik-detik kemerdekaan negara yang ke-53 dengan menjayakan program “Malam Istikharah Merdeka 2010”.


Program yang dijalankan di Kompleks Kemudahan Pelajar Angsana itu telah disertai oleh lebih 2,000 orang pelajar dan tenaga kerja di kampus berkenaan melalui sesi tazkirah Ramadhan, solat Tarawikh, Muzakharah Ilmu bertajuk Kemerdekaan Palestin Kemerdekaan Global, persembahan nasyid, dan seterusnya acara kemuncak sketsa kemerdekaan.

Turut hadir di sepanjang program tersebut adalah Penolong Naib Canselor UiTM Kampus Puncak Alam dan Puncak Perdana, Profesor Dr Sr Ir Suhaimi bin Abdul Talib, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, En Adnan bin Omar, dan pensyarah-pensyarah serta wargakerja pentadbiran kampus berkenaan.

Kampus Puncak Alam yang mempunyai keluasan 1,000 hektar ini menempatkan pusat-pusat pengajian kepada hampir 9,000 orang pelajar. Program menyambut kemerdekaan ini disusun dan dijayakan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar dengan melibatkan kerjasama badan-badan luar seperti HALUAN, kumpulan nasyid Al Farabi dan juga Jabatan Bomba. Pelajar-pelajar membanjiri Kompleks Kemudahan Pelajar Angsana yang penuh sesak bagi menunaikan solat Tarawikh berjamaah. Sebahagian besar daripada mereka berada di kompleks berkenaan sejak jam 6:30 petang bagi mengikuti sesi Tazkirah Ramadhan dan seterusnya berbuka puasa bersama-sama.

Seusai solat Tarawikh, para hadirin berkesempatan untuk berehat seketika sambil berhibur dengan nyanyian nasyid oleh sekumpulan pelajar daripada kampus berkenaan.

Bagi mengisi sesi muzakharah ilmu yang diadakan sejurus selepas persembahan nasyid itu, pihak urusetia program telah menjemput wakil HALUAN Palestin, Sdr Mohd Nizam Awang, menyampaikan perbincangan mengenai realiti yang berlaku di Palestin dan ancaman Zionis kepada dunia, dilengkapi dengan sedikit sebanyak pengalaman beliau berhadapan dengan kezaliman tentera Zionis ketika diserang dalam pelayaran ke Gaza dan ditahan di dalam penjara Israel.

Dalam kesempatan tersebut, Sdr Mohd Nizam mengingatkan kepada pelajar-pelajar yang hadir tentang perjuangan rakan-rakan mereka di Palestin dalam meraih ilmu di tengah-tengah penjajahanan dan kezaliman Zionis Israel. Menurut beliau, selain daripada penaklukan fizikal seperti apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan dan beberapa negara lain, ancaman Zionis kini meresap ke seluruh pelusuk dunia terutama sekali komuniti-komuniti Islam dalam bentuk ideologi, perbalahan, arus radikalisma dan juga nilai-nilai akhlak dan kemanusiaan yang menyeleweng. Sehinggakan Yahudi membahagikan masyarakat selain daripada kaum Yahudi kepada dua golongan, iaitu sebagai “khadam” bagi golongan yang setia menolong Zionis Israel, ataupun sebagai “binatang” kepada golongan yang menentang mereka.

Setelah menceritakan kepahitan hidup rakyat Palestin di bawah jajahan dan kezaliman Zionis Israel, Sdr Mohd Nizam berpesan supaya pelajar-pelajar dapat terus memperbaiki diri dan masyarakat untuk berperanan sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam. Kegagalan umat Islam memainkan peranan sebenar mereka ini menyebabkan Zionis dan kejahatan bermaharajalela menakluk setiap sudut kehidupan dunia hari ini. Sebagai barisan harapan masa depan negara dan umat Islam, mereka perlu mengambil peluang latihan di bulan Ramadhan untuk berubah dan hidup dengan misi yang jelas, iaitu membebaskan masyarakat dunia daripada penjajahan sesama manusia dan perhambaan kepada selain daripada Allah. Untuk tujuan itu, menurut Sdr Mohd Nizam,  disamping mempersiapkan diri dengan ilmu dan keimanan yang tinggi setiap orang perlu terus berusaha mendekatkan diri kepada Allah, al-Quran dan juga institusi masyarakat seperti masjid.

Dalam majlis ini, Profesor Dr Sr Ir Suhaimi turut menyerahkan sumbangan dana untuk bantuan kepada rakyat Palestin melalui HALUAN. Sebanyak RM4000 berjaya dikutip hasil keprihatinan warga kampus berkenaan.

Seterusnya, detik menunggu ketibaan jam 12 tengah malam diiringi dengan persembahan nasyid perjuangan oleh kumpulan Al Farabi. Tepat jam 12 tengah malam, Profesor Dr Sr Ir Suhaimi mengetuai laungan “merdeka” diikuti dengan gema sahutan oleh semua yang hadir. Suasana begitu meriah dengan gelombang Jalur Gemilang yang dikibarkan oleh setiap mereka yang berada di kompleks berkenaan, yang kemudiaanya diiringi dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu-lagu patriotik.

Program malam tersebut berakhir dengan sketsa kemerdekaan yang mempamerkan kemahiran pelajar-pelajar di kampus Puncak Alam menzahirkan komitmen mereka untuk memerlihara kemerdekaan negara. Pelajar-pelajar yang lengkap dengan kostum ketenteraan melakonkan aksi perlawanan secara lasak dalam berjuang meraih kemerdekaan. Dengan bantuan Jabatan Bomba, mereka turut terjun menggunakan tali dari tingkat atas kompleks berkenaan dan juga menakik turun talian yang direntang dengan membawa Jalur Gemilang.

Semoga warga kampus indah UiTM Puncak Alam akan terus disuburkan dengan program-program dan majlis-majlis ilmu bagi melahirkan barisan pelajar yang komited dengan perjuangan membebaskan negara daripada sebarang penjajahan, membela umat Islam dan kemanusiaan seluruhnya.