Warga Seberang Jaya Turut Prihatin Terhadap Kesengsaraan Rakyat Gaza
Permatang Pauh, 18 April – Masyarakat di Seberang Jaya tanpa mengira bangsa dan agama bersatu menzahirkan keprihatinan mereka terhadap rakyat Gaza yang sedang berhadapan dengan krisis kemanusiaan akibat kekejaman rejim Zionis Israel. Mereka menyokong dan membantu usaha konvoi bantuan melalui projek “Lifeline 4 Gaza” dengan menghulurkan bantuan dana di samping menyertai beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh HALUAN Pulau Pinang.
HALUAN Pulau Pinang telah mengambil inisiatif membantu projek Lifeline 4 Gaza dengan mengadakan “Kempen Pemeriksaan Kesihatan Sambil Menyumbang” di dua buah kompleks membeli-belah. Usaha tersebut telah diadakan di Tesco Seberang Jaya, Pulau Pinang dari 14 hingga 15hb April baru lalu. Aktiviti yang sama juga telah diadakan di Tesco Bakar Arang, Sg Petani dari 14 hingga 18hb April.
Kempen kutipan dana ini menyasarkan penyertaan masyarakat awam yang berkunjung ke pusat-pusat membeli belah tersebut. Di samping pemeriksaan kesihatan yang dijalankan oleh relawan-relawan Kelab Kesihatan HALUAN (KKH), masyarakat juga telah berpeluang untuk mendapatkan penerangan secara langsung bersama relawan-relawan HALUAN Palestin, pameran poster, tayangan multimedia dan juga risalah-risalah berkaitan kesengsaraan dan krisis kemanusiaan di Gaza dan projek bantuan Lifeline 4 Gaza. Mereka juga mengambil kesempatan menyertai kempen tandatangan sokongan untuk rakyat Gaza.
Hasil sokongan masyarakat, sebanyak RM9,937.15 sumbangan untuk Gaza telah berjaya dikutip. HALUAN Pulau Pinang melahirkan rasa terharu dengan penyertaan masyarakat tanpa batasan bangsa dan agama. Kerjasama pihak pengurusan Tesco yang membenarkan penggunaan premis perniagaan mereka secara percuma amat dihargai.
InsyaAllah HALUAN Pulau Pinang akan meneruskan kempen kesedaran dan kutipan dana untuk Lifeline 4 Gaza di pusat-pusat membeli-belah yang lain.