fbpx

Warga Kerja JIMAH Prihatin Saudara Mereka Di Syria

Warga Kerja JIMAH Prihatin Saudara Mereka Di Syria

Warga Kerja JIMAH Prihatin Saudara Mereka Di Syria

PORT DICKSON, 25 JULAI 2012 — Bersempena program Ramadhan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Somalia yang sedang berlangsung di seluruh negara, Pusat Janakuasa JEV (JIMAH) Port Dickson telah menganjurkan program tazkirah Zohor yang memberi perkongsian tentang perkembangan terkini yang berlaku di Syria.

Dalam penyampaian tazkirah beliau, Ustaz Umar Aiman bin Osman dari HALUAN Malaysia telah menjelaskan kepada warga kerja JIMAH bagaimana krisis di Syria bermula dan apa yang sedang berlaku di sana.

“Syria telah dikuasai oleh keluarga Assad sejak lebih 50 tahun lalu di mana politik, ekonomi dan ketenteraan semua kawal oleh mereka, iaitu golongan yang sangat minoriti. Manakala rakyat terus hidup tertindas,” kata Ustaz Umar. Menurut beliau lagi, kebelakangan ini dunia menyaksikan bagaimana anak-anak Syria dibunuh serta disembelih, manakala wanita-wanita dirogol dan dibunuh di hadapan suami-suami mereka oleh rejim Assad sendiri. “Pegangan yang melampau dari kalangan Syiah Alawiyyah atau Nusauwiyyah, iaitu pegangan rejim Assad sendiri, menyemarakkan lagi kezaliman yang berlaku. Sehinggakan mereka percaya bahawa barangsiapa yang membunuh kanak-kanak dan perempuan-perempuan akan dijamin syurga manakala yang pernah memperkosa perempuan-perempuan ahli sunnah akan terangkat darjat mereka,” terang beliau.

Ustaz Umar juga mengungkap kepentingan setiap orang Islam untuk membantu rakyat Syria. Selepas menceritakan tentang perkembangan terkini yang berlaku di Syria beliau berkata, “marilah sama-sama kita menerima sepakat ulamak yang mengatakan berjihad di Syria atau bumi Syam ini adalah fardhu ain kepada umat Islam. Jangan kita menyempitkan maksud jihad kerana jihad ini adalah luas, bukan jihad di medan tempur sahaja malahan jihad dari segi harta benda dan doa boleh dilakukan, terutama di bulan Ramadhan ini. Berdoa di bulan Ramadhan akan lebih dimakbulkan.”

Warga kerja JIMAH telah bersatu menyumbangkan sebanyak RM1,246 kepada tabung bantuan kemanusiaan HALUAN yang akan meneruskan misi bantuan kepada rakyat Syria.

HALUAN Malaysia mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua warga kerja JIMAH yang prihatin, terutama sekali Penguasa Stesen, Ir. Haji Ahmad Faiz bin Mohd Salleh, yang telah menjemput wakil HALUAN Malaysia bagi menjayakan program tazkirah tersebut. Semoga setiap doa dan sumbangan anda semua menjadi bekalan amal soleh yang dilipat-gandakan ganjarannya sempena Ramadhan yang mulia ini.


Laporan oleh Mus’ab Saari.