fbpx

Wanita Pemangkin Legasi Masa Depan

Wanita Pemangkin Legasi Masa Depan

Wanita Pemangkin Legasi Masa Depan

PUTRAJAYA, 30 Nov 2016 – Wanita berperanan penting bukan saja dalam ekonomi, politik dan sosial demi mencapai pembangunan ekonomi negara malahan perlu memikul tugas dan tanggungjawab bersama lelaki untuk membawa manusia melaksanakan ‘ubudiah hanyasanya kepada Allah SWT.

Menurut Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman ketika merasmikan Konvensyen Wanita Kebangsaan 2016, peranan ini penting demi mewujudkan kestabilan, keamanan, dan kebahagian yang abadi di dunia dan akhirat. Konvensyen anjuran Biro HALUANITA dan Masjid Putra itu telah berlangsung pada 27 November lepas di masjid berkenaan dengan kehadiran 280 peserta wanita dan pemudi. Turut hadir adalah, Setiausaha Agung HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin, YDP HALUAN Putrajaya, Encik Baderol Allam Awang, Ketua Biro HALUANITA, Puan Alfiah Samingan dan Pengarah Program, Dr. Zurina Muda merangkap Timbalan Ketua Biro, Biro HALUANITA dan Pengerusi Kelab Ikhtisas HALUAN.

Objektif Konvensyen Wanita Kebangsaan kali ini adalah untuk membincang tentang hak dan tanggungjawab wanita dari pelbagai sudut dan aspek kehidupan di sepanjang zaman; memberi kesedaran tentang peranan wanita dalam membantu mendokong kestabilan keluarga, masyarakat mahupun negara; dan membincangkan peranan wanita di pelbagai tahap kehidupan masyarakat dalam membina legasi masa depan.

Di akhir konvensyen, presiden mengakhiri ucaptamanya dengan merasmikan Konvensyen Wanita Kebangsaan 2016 dan Konvokesyen Guru Little ‘Abd Programme (LAP) 2015-2016. Beliau telah menyampaikan sijil kepada 24 orang guru-guru tadika yang telah tamat mengikuti Kursus Guru Tadika Modul LAP dari tema 1 hingga tema 4 sesi 2015/2016.

Sejarah yang hebat hakikatnya dilakarkan oleh wanita. Kertas kerja oleh Ustazah Dr Aisyah Dollah @ Abdullah bertajuk “Hak Dan Tanggungjawab Wanita Merentasi Zaman” telah membuka tirai perbincangan. Beliau menegaskan tiga hak dan tanggungjawab utama wanita iaitu sebagai manusia (hak saksi, hak waris, diat, politik dan adab pergaulan), wanita sebagai ibu, wanita sebagai anak, dan wanita sebagai isteri. Kata beliau, Islam tidak menghalang mereka daripada menjalankan aktiviti sosial namun perlu mengikut batasan yang disyariatkan.

Sesi petang diteruskan dengan forum menarik bertajuk “Wanita Pembina Legasi Masa Depan”. Panelis terdiri daripada tokoh masyarakat dalam bidang masing-masing. Mereka adalah Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin, Dr Wan Muhaizan Wan Mustaffa, dan Prof Madya Dr Zulaiha Ali Othman. Moderator program adalah Puan Umi Nadzrah Ali Othman. Akhirnya Resolusi Konvensyen Wanita dibentangkan oleh Dr Zurina selaku Pengarah Konvensyen Wanita Kebangsaan 2016 sebelum Konvensyen menutup tirai.

Peserta konvensyen yang datang dari Kuala Kangsar, Perak, Puan Rafidah Yeop Mohamad Rose sangat terkesan dengan acara kali ini. “Alhamdulillah satu program yang sangat berkesan untuk dikongsi bersama masyarakat kerana menjelaskan peranan muslimah yang sebenar dalam membangunkan ummah sejahtera. Konvensyen atau program seumpama ini perlu dilaksanakan secara berterusan untuk membuka hati masyarakat meyakini dan mengamalkannya,” kata beliau.

Seorang lagi peserta dari Bandar Baru Bangi, Puan Norrazilla Mohd Tab yang berpuas hati dengan konvensyen kali ini turut menambah, “Konvensyen Wanita Tahun 2016 ini semakin baik dan pengisian kertas kerja juga memang bersesuaian dengan tema kali ini iaitu Wanita Pembina Legasi Masa Depan kerana wanita adalah madrasah pertama anak-anak.”


Laporan oleh Ummu Hani Mohd Nasaruddin, SUK Biro HALUANITA