fbpx

Walimah Jamaie HALUAN meriah

Walimah Jamaie HALUAN meriah

Walimah Jamaie HALUAN meriah

SHAH ALAM, 8 Feb 2016 — Meriah, mungkin itulah gambaran tepat suasana sekitar walimah jamaie atau perkahwinan beramai-ramai anjuran bersama pihak keluarga dan Biro Pembangunan Keluarga & Remaja HALUAN pada 6 Februari lepas di perkarangan Sekolah Menengah Ibn Khaldun, Jalan Kebun di sini.

Majlis yang dihadiri lebih 1,000 jemputan itu menghimpunkan tiga pasangan mempelai iaitu Muhammad Ammar Ibrahim dengan pasangannya Hajar Aisyah Abdullah Sudin, Aiman Mahzuz Abdullah Thaidi bersama pasangannya Banan Syahidah Yaakub, dan Fathiyah Rafiqah Abd Rashid dengan Muhammad Saiful Kamal Zulkifli.

Majlis walimah jamaie ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran dif-dif kehormat antaranya Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Md Yassin; Ketua Kampung Jalan Kebun, Encik Solehan Tahir; Naib Presiden 1 HALUAN, Ustaz Salleh Saad; serta Nazir Masjid An-Naim, Jalan Kebun, Encik Shamsuddin Saari.

Majlis bermula penuh meriah apabila ketiga-tiga pasangan mempelai diarak masuk ke khemah pengantin diiringi paluan kompang yang bersemangat lagi merdu oleh pasukan kompang Muhiddin dari Kampung Jalan Kebun.

YDP HALUAN Selangor, Encik Zainusham Yusof dalam kata-kata aluan beliau berpesan bahawa walimah jamaie ini diadakan sebagai menyahut tuntutan Islam bagi memudahkan proses perkahwinan dan sebagai meninggikan salah satu daripada syiar-syiar Islam. Beliau menambah lagi bahawa HALUAN berhajat untuk meneruskan program ini pada masa akan datang melibatkan jumlah pasangan yang lebih ramai.

Semua pasangan kemudiannya dihadiahkan dengan cenderahati ikhlas daripada pihak HALUAN. Ustaz Salleh kemudiaannya mengetuai bacaan doa diikuti dengan majlis makan beradab oleh ketiga-tiga pasangan dan keluarga.

Pihak pengurusan walimah jamaie ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua relawan HALUAN yang turun membantu bagi menjayakan majlis tersebut.


Laporan oleh Syed Zulfaqar Syed Mohd Khair, Setiausaha Majlis Walimah Jamaie HALUAN