fbpx

Wakil NGO Antarabangsa Kagumi Kesukarelawanan HALUAN

Wakil NGO Antarabangsa Kagumi Kesukarelawanan HALUAN

BANDAR BARU BANGI, 11 Julai 2018 – Seramai 38 wakil NGO antarabangsa mengamati secara dekat pengalaman HALUAN dalam mengendali program kesukarelawanan di dalam dan luar negara.

Dalam satu sesi dialog di ibu pejabat HALUAN hari ini, wakil-wakil NGO dari Tanzania, Indonesia,Kyrgyzstan, Lubnan dan Turki mendengar penerangan multimedia yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi HALUAN, Encik Wan Abdullah Sabary Wan Harun. Mereka ditemani oleh konsultan dari University of Kansas, Amerika Syarikat, Dr. Jerry Schultz dan Dr. Vincent Fransisco .

Sesi tersebut turut dihadiri oleh Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, yang menjawab berbagai soalan yang diajukan oleh para peserta.

Program ini merupakan sebahagian daripada modul latihan pembangunan relawan “Count Me In” yang dianjurkan oleh Yayasan NAMA. Ia merupakan siri latihan yang bertujuan memperkasakan sektor kesukarelawanan.

Dalam sesi soal-jawab, Dr. Abdullah Sudin antara lain menjelaskan tentang cabaran yang dihadapi oleh HALUAN dalam usaha mengumpul relawan, sumber-sumber dana untuk menjayakan program kesukarelawanan, dan kepentingan aspek pendidikan dalam membantu masyarakat. Para peserta turut tertarik dengan pendekatan HALUAN dalam memperkasa wanita bagi membina generasi yang berdaya tahan dan lebih bermanfaat untuk masyarakat.

Para peserta amat menghargai pengalaman HALUAN. Pengerusi Yayasan Munashoroh Indonesia, Encik Adhi Azfar, berterima kasih kerana telah mendapat ilmu, paradigma serta semangat baharu dari program ini. “Saya simpulkan pengalaman ini dalam tiga perkataan – mengkagumkan, merubah minda, meningkat ilmu,” kata beliau.

Sementara wakil-wakil dari Tanzania amat berharap agar HALUAN dapat mengembangkan usaha kemanusiaan ke negara mereka.

HALUAN menghargai Yayasan NAMA dan para peserta yang telah sudi berkongsi pendapat dan pengalaman untuk kebaikan bersama.

Laporan Biro Penerangan HALUAN