fbpx

Wakil HALUAN kunjungi penduduk Kg Nenasi, Bachok

Wakil HALUAN kunjungi penduduk Kg Nenasi, Bachok

Wakil HALUAN kunjungi penduduk Kg Nenasi, Bachok

BACHOK Kelantan, 25 Julai 2009 – Seramai 20 orang wakil HALUAN telah mengadakan kunjungan ke Kg Nenasi, Bachok bagi melaksanakan persiapan awal Program Kecemerlangan Pendidikan (PKP) dan Program Pembangunan Minda Insan (PPMI.)


Awal bulan Julai lalu, HALUAN telah mengadakan kunjungan ke Kunak, Sabah bagi melaksanakan projek yang sama. Projek ini adalah satu usaha kerjasama antara HALUAN dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah yang melibatkan beberapa kawasan miskin di negeri Sabah dan Kelantan.

Lawatan ke Kg Nenasi ini telah diketuai oleh Pengerusi Projek KKLW, Dr Azizan bin Ahmad. Turut mengiringi beliau adalah Pengarah Projek KKLW, Dr Wan Muhaizan Wan Mustaffa, Ketua Biro Ekonomi HALUAN, Tn Hj Rosli Adam, dan Koordinator Projek KKLW Kelantan, Cikgu Mahmood Ja’afat.

Dalam kunjungan tersebut, HALUAN telah berjaya menubuhkan jawatankuasa pelaksana projek di peringkat negeri Kelantan. Semua ahli jawatankuasa tersebut telah mendapat taklimat dan penerangan aktiviti yang akan dilaksanakan.

Melalui kunjungan ini, wakil-wakil HALUAN telah sempat berkenalan dan beramah-mesra dengan Jawatankuasa Kampung dan wakil-wakil penduduk Kg Nenasi. Mereka memberi taklimat kepada penduduk kampung tentang kerja-kerja yang bakal dilaksanakan di tempat mereka. Wakil-wakil HALUAN juga telah mengambil kesempatan untuk mengadakan lawatan dan kajian dari rumah ke rumah.

Menurut laporan awal HALUAN, Kg Nenasi mempunyai 50 buah rumah yang didiami oleh kira-kira 300 orang penduduk. Sebahagian daripada penduduk di sini tergolong dalam kalangan miskin tegar. Sebelum ini, kerajaan telah menghulurkan berbagai bentuk bantuan seperti penyediaan rumah, bantuan kewangan dan projek pertanian seperti itik, penanaman sayur, mesin jahit dan tanaman kulat di bawah kelolaan RISDA. Namun begitu, ramai dari kalangan penduduk yang masih belum boleh berdikari untuk meneruskan aktiviti yang boleh membantu meningkatkan pendapatan isi rumah mereka. Ada juga anak-anak yang tidak bersekolah.

“Kami merasakan bahawa penduduk di sini perlu di bantu supaya dapat mengubah sikap dan pemikiran mereka untuk berfikir lebih luas dan berusaha lebih gigih untuk menyara kehidupan mereka sendiri tanpa mengharap pada bantuan kerajaan setiap masa,” ringkas Pengarah Projek KKLW, Dr Wan Muhaizan.

Diharapkan perlaksanaan projek ini dapat memberi ruang kepada HALUAN dan warga prihatin untuk terus membantu usaha ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih cemerlang, terutama sekali dalam pembangunan generasi pelapis mereka.