fbpx

Wake Up – Kejutkan Ummah!

Wake Up – Kejutkan Ummah!

Wake Up – Kejutkan Ummah!

GOMBAK, 15 Mei 2014 – Seminar sehari bertemakan “Wake Up Call: U-Turn Before Return” bertujuan mendedahkan masyarakat tentang permasalahan ummah serta menyedarkan mereka tentang checklist akhirat yang kekal abadi telah berjaya dianjurkan oleh Journalism Club, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) 26 April lepas.

Program julung kali dianjurkan ini dengan kerjasama Kelab Siswa HALUAN berjaya mengumpulkan seramai 160 peserta mahasiswa dan mahasiswi dari institusi pengajian tinggi sekitar Selangor dan juga negeri-negeri lain.

Seminar membuka tirai dengan ucapan aluan oleh Penasihat Journalism Club, Encik Amran Baharom yang juga merasmikan seminar “Wake Up Call: U-Turn Before Return” tersebut. Peserta kemudiannya didedahkan kepada tajuk “Realiti perjuangan Ummah dan Fitnah Akhir Zaman” oleh Encik Noorazman Samsudin. Beliau menerangkan mengenai hakikat perjalanan hidup yang memerlukan kekuatan iman yang mantap dalam menghadapi dunia akhir zaman.

Beliau turut mengisi dua slot berikutnya dengan menerangkan bagaimana untuk selamatkan ummah daripada fitnah dajjal dan pelan tindakan yang perlu dilakukan dari sekarang. Beliau menekankan keperluan bagi mahasiswa untuk berada dalam proses tarbiyah yang konsisten untuk memampukan mereka memikul amanah dakwah.

Pada sebelah malamnya, seminar ini disusuli dengan acara kemuncak iaitu forum bertajuk “Bual Bicara Realiti Ummah” yang telah dikendalikan oleh Ustaz Syihabuddin. Tiga ahli panelnya adalah Encik Noorazman selaku, pengerusi Life Line for Gaza, Malaysia; Imam Muda Hassan; dan Encik Razali Maarof daripada Langit Ilahi. Pelbagai persoalan telah dikupas dan dijawab oleh ahli panel dengan cemerlang sambil berkongsi tentang pengalaman hidup mereka bersama masyarakat.

Seminar ini juga telah mendapat banyak komen yang memberangsangkan bila kebanyakan peserta berharap agar akan ada seminar susulan selepas ini.

Laporan oleh Wan Nadhirah Wan Mohd Zaim
Setiausaha Seminar