fbpx

UTeM Terus Bersolidariti Bersama Palestin

UTeM Terus Bersolidariti Bersama Palestin

UTeM Terus Bersolidariti Bersama Palestin

DURIAN TUNGGAL, MELAKA, 12 Dis 2024 – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi mengadakan program kerjasama dengan HALUAN cawangan Negeri Sembilan dalam usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat kampus mengenai isu Palestin dalam kalangan warga universiti. Program bertajuk “UTeM Terus Bersolidariti Bersama Palestin” telah diadakan di Pusat Islam UTeM di sini semalam.

Acara tersebut telah dihadiri oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin; Timbalan Naib Canselor, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan Pengarah Pusat Islam UTeM, Ustaz Muhammad Asyraf Sulaiman. Turut hadir pegawai-pegawai kanan UTeM, Pusat Islam UTeM, EXCO Majlis Perwakilan Pelajar, serta para pelajar. Turut hadir adalah YDP HALUAN cawangan Negeri Sembilan, Encik Shahkirin Mohd Shah dan beberapa Exco HALUAN lain.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Islam UTeM itu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UTeM, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM, Badar (Badan Dakwah dan Rohani, UTeM), dan HALUAN cawangan Negeri Sembilan.

Aktivis Biro HALUAN Palestin, Encik Syed Zulfaqar Syed Mohd Khair dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk “Gaza: Realiti & Peranan Kita“. Dalam sesi tersebut, beliau mengupas sejarah konflik di Palestin, termasuk pembantaian yang berlaku dalam “Operasi Cast Lead 2008-2009“, serta serangan-serangan bertalu pada tahun 2012, 2014, 2021, dan ketegangan yang masih berlanjutan sejak tahun 2023.

Di akhir acara, UTeM menyerahkan sumbangan kutipan Kemanusiaan Palestin berjumlah RM9,020 kepada HALUAN. Penyerahan simbolik tersebut disempurnakan oleh Prof. Datuk Ts. Dr. Massila yang menyerahkannya kepada Encik Shahkirin.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada pihak UTeM, khususnya Pusat Islam UTeM, atas inisiatif berterusan mereka. Semoga program ini dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada mahasiswa UTeM tentang isu Palestin dan menyebarkan kesedaran ini kepada lebih ramai lagi.


Laporan Shahruddin Shafri
Setiausaha HALUAN cawangan Negeri Sembilan