fbpx

Usia Meningkat – Kita Sihat?

Usia Meningkat – Kita Sihat?

Usia Meningkat – Kita Sihat?

SIMPANG RENGGAM, 12 April – Bila usia meniti ke 40an, gaya hidup seseorang harus berubah. Ini termasuklah pemakanan, riadhah dan pencarian ke arah ketenangan jiwa.

Menyedari hakikat ini dan pentingnya masyarakat untuk berubah ke era “rambut putih,” satu seminar khas “Meniti Usia 40an” telah dianjurkan bersama oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Johor, HALUANITA Johor dan Sekolah Rendah Agama Ghufran.


Seramai hampir 80 orang ahli HALUAN dari sekitar Johor telah menghadiri seminar ini. Program yang bermula dari jam 9 pagi dan berakhir pada jam 4 petang tersebut ternyata memberikan kepuasan kepada hadirin. Mereka disajikan dengan penerangan yang disampaikan oleh tiga orang doktor pakar panel HALUAN yang didatangkan khas dari luar negeri Johor. Dr Mansor Yahya, seorang doktor Pakar Kardiologi dari HALUAN Kelantan, telah memberikan penerangan yang mudah dan bermanfaat tentang penyakit jantung koronari yang banyak menyerang orang-orang lelaki seawal umur 30an.

Dr Khairiah Seman, seorang doktor Pakar Obstetriks & Ginekologi HALUAN dari Poliklinik Barakah, Kelang pula menyampaikan penerangan tentang kanser payu dara dan pangkal rahim. Beliau menggesa kepada para wanita yang telah berkahwin supaya menjalani uijian pap smear dan kerap melakukan pemeriksaan paya dara kendiri supaya dapat mengesan kedua-dua kanser tersebut. Beliau juga menyentuh tentang menopause sebagai satu fenomena sunatullah yang akan dihadapi oleh setiap wanita yang meniti usia 40an.

Panel ketiga pula adalah Dr Zaibidin Zakaria, seorang doktor Pakar Psikiatri HALUAN yang menerangkan tentang stress dan bagaimana untuk mengatasinya. Para peserta sangat teruja dengan penyampaian beliau serta doktor-doktor pakar yang lain.

Sebelum itu, para peserta telah menjalani ujian darah untuk mengesan paras glukos dan kolesterol dalam darah. Pemeriksaan tekanan darah telah dijalankan oleh Dr Samsul Bahrin, Dr Fauzanah Ishak, Dr Iziani, dan Dr Norseha. Pemeriksaan gigi dan nasihat penjagaan gigi untuk kanak-kanak telah diberikan oleh Dr Kamal dan juruteknik Misnan.

Dalam ucapan pembukaannya Pengerusi KKH Johor, Dr Baharuddin Suri, telah menjelaskan bahawa ini adalah julung-julung kali program seperti ini dijalankan oleh KKH dan beliau menyarankan supaya ianya dapat diketengahkan ke peringkat kebangsaan. Ahli-ahli HALUAN yang sihat dan cergas seterusnya akan dapat meningkatkan produktiviti dakwah dan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat. Dengan penglibatan HALUAN bersama masyarakat semakin meningkat maka ahli-ahli HALUAN haruslah bersiap siaga dengan tubuh badan yang sihat dan kuat.

Laporan oleh Dr Mohd Arba’ai B Shawal.