fbpx

Urusbisnes Semasa dan Selepas COVID-19

Urusbisnes Semasa dan Selepas COVID-19

Urusbisnes Semasa dan Selepas COVID-19

BANDAR BARU BANGI, 21 Apr 2020 – Pukulan pandemik COVID-19 bakal membadai bukan sahaja tahap kesihatan rakyat malah memberikan impak negatif sengsara kepada ekonomi negara mulai tahun ini hingga beberapa tahun mendatang.

Kesan paling teruk sekali ialah kelumpuhan pertumbuhan ekonomi negara yang diramalkan menjunam ke negatif 0.4%, suatu tragedi ngeri buat semua rakyat Malaysia yang terpaksa mengharungi kehidupan baharu dengan norma yang baharu serba getir. Kadar pengangguran tinggi bakal menjelma dengan ramainya sektor ekonomi yang sudahpun terpaksa memberhentikan pekerja malahan menutup perniagaan mereka terus, berkata Naib Ketua Biro Usahawan HALUAN, usahawan Encik Rosli Adam dalam sesi Live di Facebook HALUAN semalam.

“Saham merudum 50 sen ke bawah, harga minyak jatuh ke tahap paling rendah dalam tempoh 20 tahun; tidak pernah sebegini teruk hanya kerana sejenis virus yang membawa penyakit. Oleh itu, kita kena tangkas mengurus bisnes kita sekarang dan pasca COVID-19 ini. Kita memang tidak ada pilihan lain jika masih mahu berniaga. Bayangkan pada 2019 Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) kita adalah 4.3%. Kini Bank Negara berkata kita akan jatuh negatif. Bermakna bisnes apa pun akan kuncup atau tutup. Hakikat yang kita kena hadapi ialah Malaysia sekarang berada DALAM KRISIS EKONOMI menguncup yang sangat dahsyat, ditambah parah apabila wabak COVID-19 ini berlaku,” jelas beliau yang juga pengasas dan CEO Bina Paint Industries Sdn Bhd, sebuah kilang pengeluar pelbagai jenis cat bersijil ISO yang halal dan bermutu tinggi di Malaysia.

Bagaimanakah kita harus menghadapi krisis ekonomi ini?

Kata beliau, “Kita nak kena sedar bahawa selepas ini akan terujud norma baharu dalam dunia dan di Malaysia. Akan ujud empat jenis fobia baharu dalam sentimen masyarakat yang kita dalam bidang bisnes kena cepat sedar dan ambil tindakan wajar. Pertama adalah faktor keramaian; orang akan fobia dengan aktiviti yang berhimpun ramai seperti kenduri-kendara, sukan, pasar, panggung wayang di mana manusia akan cuba menjauhinya.”

Faktor fobia kedua adalah bersentuhan di mana kelaziman bersalaman dan berpelukan akan terhenti walaupun dengan saudara-mara sendiri. Ketiga adalah faktor rembesan daripada diri seseorang seperti batuk dan bersin hinggakan siapa yang tidak memakai topeng mulut akan dipandang tidak beradab. Akhir sekali adalah faktor kebersihan premis bisnes; ruang bekerja, ruang memasak, tandas dan laluan awam. Masyarakat dan pelanggan amnya akan lebih menghakimi premis yang mereka bakal berlanggan.

“Norma baharu ini akan menjadi nilai baharu yang kita kena sedar bahawa kita tak boleh duduk di tahap lama untuk terus kekal kompetitif. Kita kena ganjak untuk layan norma baharu ini, kerana masyarakat sudah letak nilai yang berlainan tentang tatacara mereka nak berinteraksi dengan kita. Contohnya, restoran yang nampak comot tidak akan dilanggani. Maka, kita kena fikir bagaimana nak align balik bisnes kita BERDASARKAN NORMA BARU ini,” tegas usahawan berjaya itu yang turut terkesan dengan pandemik ini.

Beliau seterusnya membincangkan tentang bisnes yang akan berkembang selepas COVID-19 dan bisnes yang akan sengsara. Turut diulas adalah apakah ahli perniagaan patut buat untuk menutup kebocoran atau ketirisan bisnesnya. Juga, apa langkah yang kena dibuat dari sekarang memandangkan ekonomi akan bertambah teruk.

Encik Rosli juga menggariskan langkah-langkah penting yang perlu diberikan keutamaan oleh ampunya perniagaan.

“Istilah sekarang ini bukan lagi dah nak untung – tapi nak survive. Kalau tak usaha ke arah survival bisnes kita, nescaya kita kena tutup,” tegas beliau.

Untuk memahami ulasan strategi terpeinci beliau, sila layari video penuhnya di pautan Live kami di:

Anda juga boleh bersama HALUAN membantu Frontliners dan masyarakat mangsa ekonomi COVID-19 ini. Kami akan salurkan derma anda kepada pihak-pihak yang memerlukan. Silalah salurkan ke pautan berikut:- https://www.haluan.org.my/ramadan/


Laporan unit mediaHALUAN