fbpx

Urban Survival 2.0 di United Kingdom

Urban Survival 2.0 di United Kingdom

Urban Survival 2.0 di United Kingdom

SHEFFIELD, UK, 21 Nov 2015 — Program Urban Survival 2.0 telah berlangsung selama dua hari di Quaker Meeting House dan The Circle Sheffield baru-baru ini. Bertemakan “Back to the roots”, ia telah diadakan buat kali kedua membincangkan isu-isu permasalahan fiqh yang dihadapi pelajar muslim di United Kingdom umumnya dan di Sheffield khususnya.

Program ini anjuran HALUAN UK EIRE cawangan Sheffield dengan kerjasama Sheffield Malaysian Student Association (SMSA) dan Persatuan Masyarakat Pelajar Malaysia Sheffield (PMPMS).

Ia turut memuatkan kursus perkahwinan yang bertemakan Baiti Jannati yang memberi banyak ilmu untuk berumahtangga sebagai persediaan peserta menempuh alam perkahwinan.

Program pada hari pertama 21 November bermula dengan ucapan aluan oleh pengarah program, Encik Muhammad Firdaus Hashim. Ia diteruskan dengan penyampaian penceramah jemputan, Ustaz Noorkhairan Noordin daripada Education Malaysia London.

Slot pertama iaitu Fiqh Luar Negara: Satu Pengenalan, memberi gambaran umum kepada para peserta tentang kaedah feqah yang boleh dilaksanakan di UK. Slot kedua yang bertajuk Fiqh Taharah, membincangkan isu berkaitan permasalahan bersuci dari hadas mengikut suasana dan keadaaan yang dihadapi.

Slot ketiga pula adalah Fiqh Ibadah, Makanan dan Fiqh Umum. Ustaz Noorkhairan mengulas pelbagai permasalahan tentang solat jamak, solat qasar, solat Jumaat, berpuasa dan pemilihan makanan halal. Beliau memperincikan pelbagai pendapat ulama-ulama masyhur, diikuti dengan kaedah-kaedah, syarat dan situasi yang membolehkan perlaksanaan solat jamak dan qasar, termasuk cara-cara untuk solat dan bertayamum di dalam kenderaan ketika bermusafir. Beliau mengkisahkan aspek pemilihan makanan halal seharusnya menepati dua syarat iaitu halal pada sumber dan halal pada bahan penyediakan makanan.

Beliau kemudiannya menyentuh beberapa isu feqah umum berkaitan pergaulan dengan bukan muslim seperti aurat, daging korban, bekerja di kedai arak, pernikahan dengan pasangan bukan Islam, ucapan selamat untuk perayaan, bersalaman dan zakat bagi yang mempunyai biasiswa.

Peserta amat teruja dengan sesi soal-jawab. Pelbagai persoalan menarik diajukan oleh peserta, antaranya ialah cara menunaikan zakat bagi pelajar yang mendapat elaun setiap bulan.

Pada hari kedua, program Baiti Jannati dimulakan dengan ucapan aluan oleh Encik Shazwan Shah selaku pengerusi majlis.

Ustaz Noorkhairan memulakan program ini dengan memberikan tips persiapan yang perlu ada dalam setiap diri muslim sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Persiapan yang penting adalah persiapan diri dari segi rohani, mental, intelektual dan fizikal. Beliau turut menyenaraikan beberapa kriteria pasangan yang perlu dipertimbangkan ketika memilih pasangan. Slot seterusnya membincangkan beberapa permasalahan yang kerap timbul dalam rumahtangga. Penyampaian ustaz yang bersahaja berjaya membuatkan peserta terhibur di samping memahami isi kandungan penyampaian. Beliau turut menyajikan solusi-solusi yang khusus kepada hadirin.Ustaz turut membincangkan hal-hal berkaitan pembubaran perkahwinan seperti talaq, fasakh, khulu’, ta’liq, dan li’an. Slot seterusnya menyentuh cara-cara mendidik dan membesarkan anak di samping penekanan tanggungjawab dua-hala suami dan isteri. Beliau menyimpulkan tentang kepentingan sebuah institusi keluarga dalam membentuk peribadi anak-anak dan persiapan diri adalah penting bagi membentuk keluarga sakinah, mawwadah dan rahmah.

Penyampaian sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Ustaz Noorkhairan kepada wakil peserta merangkap Presiden SMSA, Encik Fadlan Omar.

Peserta berpuas hati dengan program Urban Survival 2 kali ini dan berharap agar ia dapat diteruskan lagi. Seorang peserta lelaki, Ali Imran Mohd Isa, 22 menyifatkan program Baiti Jannati telah memberikan ilmu yang sangat berguna kepada dirinya serta mereka yang bakal menuju ke alam perkahwinan. Peserta perempuan, Farah Syasya Zukrina Ahmad Nazmi, 23 mencerap kepentingan ilmu yang diperolehi dalam mempersiapkan diri dalam mengharungi kehidupan yang berliku ini.

“Bagi saya program Fiqh Luar Negara ini merupakan program yang sangat menarik dan banyak perkara baru yang saya pelajari terutamanya mengenai biasiswa yang diterima,” Ujar Noor Hayati Kassim, 28, pelajar Sarjana University of Sheffield.

HALUAN UK/EIRE ingin merakamkan rasa penghargaan kepada semua yang terlibat dan berharap agar segala ilmu yang diterima oleh peserta sepanjang program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Moga amal kita diterima dan diredhai Allah SWT.


Laporan Abdullah Azam Jaafar, Sheffield, England