fbpx

Untungnya Kita Hidup Ada Rukun

Untungnya Kita Hidup Ada Rukun

Untungnya Kita Hidup Ada Rukun

BANDAR BARU BANGI, 20 Apr 2020 – Rukun Islam merupakan latihan yang telah diprogramkan oleh Allah SWT ke atas kita sebagai persediaan untuk melaksanakan tugas ubudiyah dan kekhalifahan, pesan Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman dalam perutusan beliau yang berjudul Marhaban Ya Ramadan yang disiarkan oleh TV HALUAN pada 18 April lepas.

Beliau memulakan perutusannya dengan bacaan surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah (pemimpin utama) di bumi.” Justeru, tidak ada tujuan lain manusia diciptakan di bumi kecuali untuk berubudiyah (memperhambakan diri) kepada Allah SWT dan melaksanakan tugas sebagai khalifah.

Oleh itu, beberapa latihan telah diprogramkan oleh Allah SWT sebagai strategi mempersiapkan manusia mempraktikkan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi Allah SWT.

Beliau memperincikan lagi dengan menelusuri satu per satu Rukun Islam yang digariskan dalam Islam.

“Syahadah merupakan pintu masuk kebaikan. Tanpa syahadah, kebaikan–kebaikan lain tak akan diterima. Menerima syahadah merupakan makruf (kebenaran kebaikan) al-Akbar yang menjadikan kita layak masuk ke dalam sistem Allah SWT,” pesan beliau lagi.

Solat pula merupakan rukun kedua yang dapat membantu mempersiapkan seseorang secara menyeluruh dari pelbagai aspek kehidupan. Puasa pula rukun ketiga yang merupakan latihan pelbagai dimensi untuk melawan hawa nafsu dari pelbagai sudut, juga menjadikan seseorang itu berdisiplin sekaligus melahirkan insan yang bertakwa di hujungnya. Seterusnya zakat pula suatu sistem pembersihan daripada perhambaan kepada harta benda yang bersifat duniawi.

Terakhir sekali adalah menunaikan haji. “Walaupun ibadah haji merupakan ibadah yang kelihatan seperti ibadah berbentuk fizikal, namun sebenarnya haji lebih lagi daripada itu. Ia dapat membersihkan kita dari segi zahir dan batin. Malah, sesiapa yang menunaikan haji dan memperoleh haji yang mabrur, ganjarannya dia akan suci daripada sebarang dosa ibarat bayi yang baru lahir,” tambah beliau lagi.

Kesinambungan daripada latihan-latihan ini, ia sebenarnya dapat melahirkan seseorang yang berakhlak mulia sepertimana Rasulullah SAW. Hadis ada menyebut tentang “Yang paling mulia dalam kalangan kamu adalah yang paling baik akhlaknya.”

Akhlak yang mulia merupakan aset penting yang dimiliki oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ini disebut dalam surah Al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Dr. Abdullah Sudin menambah lagi dengan menyenaraikan beberapa implikasi daripada akhlak yang tidak baik. Suasana hidup yang rosak binasa kesan daripada dosa–dosa manusia yang tidak berakhlak dengan akhlak yang mulia.

Jadi, untuk memperbaiki keadaan yang rosak ini, tidak ada cara lain melainkan hanya dengan kembali kepada Allah SWT dan memperbaiki akhlak. Akhlak yang mulia ini mestilah disandarkan pada Islam kerana hanya Islam yang bersifat menyeluruh dan tidak boleh disandarkan pada nilai duniawi kerana dunia hanya bersifat sementara.

Beliau membuat kesimpulan dengan menyebut salah satu bentuk latihan daripada rukun Islam iaitu latihan puasa. Puasa merupakan salah satu ibadah khusus untuk melahirkan seseorang yang mulia akhlaknya, tinggi ubudiyahnya serta dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi Allah SWT.

Ikuti rakaman penuh wacana ilmu ini di pautan berikut:

Sukarelawan HALUAN tuntas melaksanakan projek kebajikan membantu Frontliners dan masyarakat terpinggir yang terkesan akibat pandemik virus COVID-19 ini. Anda juga boleh turut serta membantu kami dengan menderma melalui pautan di bawah ini. Semoga derma anda termasuk amal soleh yang diredai Allah SWT:

Nama Akaun : Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia

Akaun Bank : Bank Kerjasama Rakyat Berhad

No. Akaun : 1111 5100 2146

Hubungi: https://HelpforHealthworkers.wasap.my


Laporan Haziqah Mahyiddin, Unit Media HALUANita