fbpx

Unik Program Edu Banun Didik Anak Orang Asli Atas Talian

Unik Program Edu Banun Didik  Anak Orang Asli Atas Talian

Unik Program Edu Banun Didik Anak Orang Asli Atas Talian

TASIK BANDING, GERIK,  8 Nov 2020 –  HALUAN berganjak setapak lagi ke arah meningkatkan taraf kehidupan orang asli di Kampung Air Banun di sini dengan memperkenalkan sistem pembelajaran asas membaca secara atas talian untuk belasan anak-anak kampung yang kesemuanya buta huruf.

Ini ekoran daripada  kejayaan melancarkan projek pertanian komersial induk di tapak pertanian milik salah seorang pemimpin di kampung itu.  Sistem pembelajaran atas talian yang dikendalikan sepenuhnya oleh HALUAN cawangan Pulau Pinang itu bergelar  Program Pembangunan Minda Edu Banun (PPMEB).  Menurut Pengarah Program (PPMEB) Puan DalmataksiahMohd Zain,  matlamat program berkenaan  adalah membantu meningkatkan kesedaran kepada anak-anak dan ibubapa orang asli Air Banun tentang pentingnya menguasai ilmu pengetahuan asas dalam kehidupan. Program ini akan memfokuskan kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira. Kaedah ilustrasi membaca didik hibur digunakan bagi menarik minat mereka untuk belajar. 

“Keseluruhan warga kampung seramai hampir 100 orang ini adalah buta huruf sepenuhnya. 100%. Dan mereka juga adalah miskin tegar; sebab itu HALUAN memperkenalkan pertanian komersil untuk membantu kewangan mereka. Di samping itu, kami sedari bahawa buta huruf mereka perlu dimansuhkan agar mereka boleh sama maju dengan taraf pendidikan penduduk kampung-kampung lain yang berdekatan. Bila terdidik, mereka lebih mudah berkomunikasi dan susah ditipu oleh orang luar. Disebabkan kondisi  PKPB akibat pandemik COVID-19 ini, kami  memilih pengajaran secara atas talian menggunakan peralatan teknologi khas yang kami bawa dari Pulau Pinang dan menggunakan capaian signal 4G di lembah ini,” jelas Puan Dalmataksiah yang juga merupakan guru bersara berpengalaman luas terutama dalam pendidikan kanak-kanak. Beliau berpangkalan di Kulim dan mengajar secara atas talian.

Untuk membantunya, seramai dua orang relawan telah datang sebagai fasilitator pengajaran di lapangan diketuai oleh Encik Farhan Lokman manakala pengendalian atas talian dijalankan oleh Dalmataksiah.

Anak-anak orang asli kampung berkenaan seramai 15 orang telah dengan tekun dan penuh minat mengikuti program pendidikan unik ini secara “live”. Jelas terbayang di wajah mereka keceriaan yang tidak terduga kerana mereka sering sebut bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi tidak mampu dek dihimpit kesulitan hidup dan masalah kewangan. Dalam keadaan kekuatan dana yang terbatas, program turun padang mendidik mereka itu dijadualkan diadakan  dua  kali sebulan. Selepas habis kelas,  jamuan ringan disediakan untuk mereka  termasuk ibu bapa mereka yang turut hadir.


Laporan Abdul Halim Khudri, Biro Kebajikan