fbpx

Ukhuwah Musim Luruh di Southampton

Ukhuwah Musim Luruh di Southampton

Ukhuwah Musim Luruh di Southampton

SOUTHAMPTON UK, 3 Nov 2015 – Musim yang silih berganti mempamerkan kekuasaan Allah SWT selaku Pencipta dan Pentadbir alam ini. Ketika musim luruh yang keemasan kunjung tiba, HALUAN UK EIRE telah mengadakan program bersama komuniti Malaysia Southampton, bertempat di University of Southampton, England pada 31 Oktober lepas.

Program ini telah menghimpunkan lebih 50 peserta bersama ahli keluarga yang terdiri daripada komuniti Malaysia di Southampton dan sekitar United Kingdom. Objektif utama program ini adalah menjalinkan hubungan silaturahim di samping menyemai rasa kebertanggungjawaban sebagai seorang Muslim yang soleh dan yang memberi manfaat kepada orang lain.

Program dimulakan dengan slot pertama oleh Dr Mohd Akram Dahlan, seorang pensyarah di Universti Utara Malaysia, mengenai hakikat permusafiran yang sangat kena pada konteks komuniti Malaysia di sini. Antara petikan beliau, ramai tidak menyedari bahawa peluang untuk bermusafir itu sebenarnya merupakan pilihan daripada Allah SWT dan bukannya secara kebetulan. Imam Syafie dalam syairnya ada menyebut: “Anak panah jika tidak tinggalkan busur, takkan kena sasarannya.”

Justeru, amat penting bagi seseorang untuk bermusafir bagi memperoleh manfaat untuk dirinya dan juga bagi manusia sekeliling. Seterusnya, Encik Ishak Yusof selaku Yang Dipertua HALUAN Cawangan Terengganu meneruskan slot kedua dengan mengenengahkan konsep meng’akhirat’kan kehidupan.\

“Ini merupakan tanggungjawab individu Muslim bersama, untuk membendung segala gejala maksiat yang kian berleluasa, menerusi perlaksanaan ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’. Selain itu, kemantapan aqidah yang merupakan tunjang utama dalam proses didikan Islam kena kita berikan penekanan yang serius dan mendalam dalam diri dan keluarga kita, apatah lagi bagi kita yang sedang bermusafir ini,” jelas beliau.

Menurut peserta dari Southampton, Rashidah Ismail, “Saya dan keluarga bersyukur kepada Allah SWT kerana menemukan kami dengan insan-insan yang mengambil tanggungjawab menyediakan tarbiah khusus, bersistem dan konsisten ini. Sungguhpun kami berjauhan dari tanah air, kekerapan kunjungan sebegini amat membantu kami memperkuatkan hati kami. Semoga Allah SWT kurniakan istiqamah dan semoga kepentingan tarbiah dapat dirasai kembali oleh seluruh umat Islam.”

Seorang lagi peserta, Nik Hakimi Nik Ali, yang turut hadir bersama keluarganya dari Southampton menyimpulkan bahawa program tersebut telah memberikan banyak input yang berguna selain memberi kesedaran akan peranan seorang Muslim untuk berdakwah dalam apa jua keadaan sekalipun. Program kemudian melabuhkan tirai dengan sesi soal jawab dan jamuan makan tengahari.

Pengarah program, Encik Zubair Hazni turut menyuarakan harapan agar komuniti keluarga di Southampton dapat mengambil ibrah daripada penyampaian yang telah diberikan dalam menempuh kehidupan sebagai seorang pelajar. Selain itu, beliau juga berharap agar bumi Southampton akan terus subur dengan program-program ilmu dan kemasyarakatan sekali gus dapat mencorakkan peribadi dan jati diri supaya lebih bersedia dan berwawasan apabila pulang ke tanah air nanti, insyaAllah. Semoga ukhuwah yang telah dibina ini dirahmati Allah SWT dan terus bercambah indah pada pertemuan yang akan mendatang.


Laporan oleh Wan Nuur Wan Mansor, Southampton, England