fbpx

Ucapan Dasar Presiden HALUAN Mesyuarat Perwakilan Tahunan Ke-20

Ucapan Dasar Presiden HALUAN Mesyuarat Perwakilan Tahunan Ke-20

Ucapan Dasar Presiden HALUAN Mesyuarat Perwakilan Tahunan Ke-20

“Bersama Mendidik & Berbakti”

Assalamu’alaikum wbth,

Pengerusi Majlis, pimpinan Exco HALUAN Pusat, para perwakilan, pemerhati dan hadirin sekalian.


Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana mengizinkan kita untuk menjayakan mesyuarat perwakilan tahunan HALUAN  kali ke-20 pada tahun ini.  Selawat dan salam kita sampaikan kepada junjungan yang mulia, Nabi Muhammad saw, keluarga baginda dan para sahabat serta mereka yang berada di jalan dakwah.

Saya juga mengalu-alukan kehadiran Exco HALUAN sessi 2008-2009, para perwakilan negeri, para pemerhati yang sentiasa mengikuti perkembangan HALUAN seterusnya saudara-saudari yang hadir pada hari ini.  Di atas kehadiran dan komitmen ahli-ahli HALUAN pada kali ini.  Saya ucapkan jaza kumullahu khairan kathira, tahniah dan amat menghargai pengorbanan berkenaan.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
1. Perubahan demi perubahan semakin mendewasa dan mematangkan kita. Kehadiran kita dalam masyarakat semakin dirasai. Kerja-kerja yang kita laksanakan selama ini tanpa jemu dan bosan telah meninggalkan impak yang tidak sedikit meskipun dalam keadaan-keadaan tertentu, kita tidak punya kekuatan apa-apa lagi selain kekuatan doa dan harapan kita kepada Allah SWT. Ukhuwwah dan kasih sayang yang dipupuk, disemai dan dibina selama ini menjadikan kita bertambah cekal dan tabah untuk terus menerus menampilkan diri, menyeru dan mengajak masyarakat kepada suatu kehidupan yang lebih baik dunia dan akhirat.

2. Tema ucapan dasar Mesyuarat Perwakilan HALUAN pada kali ini ialah Bersama Mendidik dan Berbakti. ‘Mendidik dan Berbakti’ telah menjadi dasar penting HALUAN sejak tahun 2002 lagi. Dasar mengutamakan masyarakat masih kita terus suburkan dan sehingga kini menabur bakti kebajikan, membentuk dan mendidik masyarakat menjadi fokus kegiatan kita.HALUAN adalah sebahagian daripada masyarakat dan tidak ada makna kita hidup dan berorganisasi tanpa bermasyarakat. Juga tidak ada erti kita hidup tanpa memberi khidmat kepada masyarakat. Bahkan seperti yang disebut-sebutkan sebelum ini, ahli-ahli HALUAN harus sinonim dengan masyarakat.

3. Bersama dalam tema di atas bermaksud membangunkan kerjasama atau taawun    atas dasar penghayatan iman yang mendalam dan ukhuwwah yang sejati. Di sana mesti ada dan nampak kerjasama antara ahli dalam setiap kerja atau amal yang dilaksanakan. Bukan sekadar dakwaan atau retorik tapi dijelmakan dalam bentuk praktik dan tindakan. Wujud semangat kerja berpasukan tanpa ada rasa tidak selesa apatah lagi perasaan negatif antara satu sama lain. Kesemuanya bergerak menuju satu hadaf, satu cita-cita dan satu azam iaitu untuk mencari keredhaan Ilahi. Elakkan perpecahan kerana berpecah tidak mempunyai kekuatan, tetapi sedikit yang bersatu (dalam hakikatnya) itulah yang memiliki kekuatan.  Manakala Mendidik ialah proses membawa, mencipta, menjana dan merealisasikan perubahan, mengenali dan menggembeling seluruh potensi diri yang ada dan merancang ke arah kecemerlangan. Mendidik melibatkan ta’adib, tarbiah, ta’alim dan irshad. Pendidikan semestinya tidak sama dan tidak akan sama dengan pelajaran. Proses pendidikan melahirkan manusia atau insan yang terbentuk aqal,  budi dan jasadnya atas asas iman kepada Allah SWT.  Dalam HALUAN, mendidik harus mengambil kira kesesuaian antara apa yang disasarkan dengan potensi yang dimiliki individu serta persekitaran yang ada dan biah yang dihajatkan. Barulah output daripada proses pendidikan itu akan mempengaruhi perkembangan organisasi pada masa depan. Program yang disusun dan dilaksanakan dari masa ke semasa seperti halaqah, daurah, rehlah, mukhayyam, katibah, nadwah dan mu’tamar merupakan medan, sarana dan ramuan-ramuan  penting untuk melahirkan jiwa-jiwa yang kental yang sanggup mengharungi jalan yang disifatkan sebagai panjang, mendaki dan penuh ranjau. Melalui dan melibatkan diri dengan jalan-jalan ini semestinya diambil serius setiap ahli.

4. Pendidikan selalunya dikaitkan dengan kasih sayang. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, ‛Man la yarham, la yurham’ yang bermaksud ‘Barang siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi’ (HR Muslim). Menyayangi tidak dapat dipisahkan daripada perbuatan baik bagi menzahirkan rasa kasih sayang, hormat dan berjasa dalam menawarkan sesuatu yang memberi faedah. Daripada kasih sayanglah terbitnya keinginan untuk berbakti. Manakala berbakti semestinya diasaskan pada hati yang bersih, suci dan ikhlas kerana Allah SWT dan untuk mencapai keredhaan Allah SWT.  ‘Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai’ (Ali Imran 3: ayat 92). Berbakti diberikan sehingga ke peringkat kita rasa bahagia apabila berbakti. Rasa bahagia dengan memberi khidmat untuk melihat orang lain bahagia.  Bahagia bukan sahaja nampak pada ekspresi wajah dan tubuh tetapi pada penghayatan di hati. Orang yang bahagia adalah orang yang dapat menikmati dan merasai kemanisan hidup, tidak suka mengeluh dan selalu berusaha meraih kegembiraan. Dalam realiti masyarakat hari ini, rasa bahagia muncul apabila orang memberi khidmat kepada kita. Ada orang memberi wang ringgit, kita rasa bahagia dan gembira. Ada orang memberi bantuan tenaga, kita rasa bahagia dan ceria. Namun rasa bahagia seperti ini tidak sempurna kerana sebaik-baiknya ialah kita menjadi golongan yang bahagia dalam memberi. Dalam keadaan tidak ramai orang yang berusaha, bersedia dan rela untuk memberi, kita berlumba-lumba, dengan kemampuan yang ada untuk membantu orang lain. Bantuan diberi tanpa meletakkan harga dan disusuli ungkitan. Mungkin ada dalam kalangan yang dibantu ini kita kenal dan tidak kenal. Usaha HALUAN menghantar  relawan bagi membantu mangsa Tsunami di Aceh dan Sri Lanka serta gempa bumi di Pakistan dan Yogyakarta adalah contoh bakti yang sangat mulia. Di samping itu kerja sukarela dalam negeri melibatkan antara lain mangsa banjir di Johor, Pahang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan lain-lain. Dan dalam konteks ini Allah SWT berfirman, ‘Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajah mu ke arah timur dan ke barat, tetapi kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan, peminta-peminta dan untuk memerdekakan hamba sahaya , yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menpati janji apabila berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kemelaratan, penderitaan dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa’ (Al-Baqarah ayat 177).

5. Bersama mendidik dan berbakti melambangkan kebesaran dan kemuliaan jiwa dapat dilihat dari kerelaan memberi pengorbanan dan bersusah payah bagi mendapat redha Allah SWT. Orang yang berjiwa besar sentiasa bersungguh-sungguh berusaha membaiki diri, meningkatkan potensi diri dan tabah semasa menghadapi saat-saat sukar. Beliau juga cekal dan tidak membiarkan diri hanyut dalam kesedihan dan kekecewaan. Di samping itu beliau akan meneruskan agenda HALUAN untuk membantu pihak-pihak lain dalam menangani kemelut permasalahan sosioekonomi yang kian meruncing dalam kehidupan masyarakat terutama dalam aspek penanganan gejala sosial, pembinaan keluarga bahagia, penyelesaian konflik keluarga dan remaja, penyaraan keluarga tunggal, anak-anak yatim dan miskin dan seumpamanya dalam rangka memberikan sumbangan ke arah melahirkan keharmonian dan kerukunan dalam kehidupan masyarakat. Alhamdulillah, dalam konteks ini baru-baru ini Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah telah meluluskan peruntukan sebanyak RM375,480.00 kepada HALUAN Malaysia untuk membiayai Program Kecemerlangan Pendidikan (PKP) dan Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) bagi negeri Kelantan dan Sabah. Dan baru minggu lepas kita telah mengadakan seminar gejala sosial bersama pihak JAKIM. Dalam konteks ini HALUAN akan terus iltizam untuk meneruskan agenda mendidik dan berbakti. Awal tahun ini, HALUAN Malaysia juga dipilih untuk menguruskan dana bantuan berjumlah RM4 juta untuk masyarakat Gaza di Palestin, dalam projek Tube Well dan Microcredit  bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan yang lain. Sesungguhnya tanggung jawab ini menggambarkan kepercayaan dan keyakinan pihak berkenaan terhadap kemampuan ahli-ahli HALUAN dalam melaksanakan tugasan seperti itu. Saya berharap kepercayaan ini tidak kita sia-siakan bahkan akan memberi dorongan dan motivasi kepada semua ahli HALUAN untuk lebih bersungguh-sungguh lagi bekerja dan meningkatkan keupayaan masing-masing bukan sahaja dari aspek organik tapi juga dari sudut  profesionalisme dalam berorganisasi.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
6. Mengapa dituntut kita melaksanakan proses mendidik dan berbakti bersama-sama? Seperti yang dinyatakan sebelum ini, mendidik dan berbakti telah kita sepakati sangat penting kepada HALUAN sebagai sebuah organisasi yang ingin hidup dan berinteraksi bersama masyarakat. Kita tidak dapat meminggirkan diri apabila melihat masyarakat khususnya umat Islam yang masih banyak ketinggalan dalam banyak perkara. Kerosakan sedang melanda umat islam dari pelbagai sudut kehidupan – aqidah, sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Sememangnya tugas dan tanggung jawab berbuat baik atau mengislah suatu yang tidak mudah. Ianya bukan kerja ‘Sendirian Berhad’ tapi kerja ‘korporat’ yang menuntut kesepaduan dalam berfikir, menilai dan bertindak. Meskipun kerjanya berat, namun, di sana Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang besar.

‘Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.’
         (Surah Al-Qasas ayat 77)

7. Memerhati dengan lebih dekat sistem pendidikan yang ada pada hari ini,  kita lihat sistem pendidikan sedia ada terlalu memberi tumpuan kepada peperiksaan dan memenuhi pasaran kerja semata-mata.  Akibatnya sistem pendidikan tidak mampu melahirkan insan yang terdidik, boleh mendidik dan berbakti kepada masyarakat. Sama ada di dalam atau pun luar negara, sistem pendidikan sedia ada tidak berupaya melahirkan individu terpelajar yang mempunyai jiwa luhur yang ingin berbudi dan berbakti. Harvard University sendiri dalam konteks ini pernah digelar secara sinis sebagai ‘Harvard produces the brain without soul’.

8. Jadi, kita hendak membina individu yang mempunyai kemampuan mendidik dan boleh berbakti melalui sistem pendidikan yang kita lakukan ketika ini.  Para pelajar yang melalui proses pendidikan kita itu diharap boleh menjadi insan berkualiti dalam semua segi- intelek, fizikal dan spitritual. Kita sedar, banyak cabaran yang kita tempuh baik secara jangka pendek mahupun jangka panjang. Namun kita tetap istiqamah, berdoa dan terus bekerja dengan hikmah dan bijaksana supaya individu yang lahir dalam sistem ini adalah individu serba boleh dan dapat pula berbakti kepada masyarakat.

9. Dalam politik, sistem yang diwarisi daripada penjajah masih tidak dapat membuka ruang dan peluang kepada potensi menyeluruh umat Islam untuk berkembang dan meningkat. Pemikiran dan tindakan majoriti umat masih diikat kukuh dengan kehendak penjajah. Keupayaan umat untuk membina sistem politik sendiri berteraskan Islam dibayangi ketidakyakinan terhadap Islam yang syumul. Lahirlah satu suasana yang menggugat kestabilan politik negara kerana tujuan dan pelaksanaan politik semasa yang tidak bertunjangkan kehendak dan amanah Allah SWT.

10. Ekonomi umat Islam pula masih ditahap lama iaitu bukan di pihak yang menyumbang tapi masih mengharapkan sumbangan. Walaupun usaha kerajaan membasmi kemiskinan mutlak dalam negara dijangka menampakkan hasil positif sekitar tahun 2010, namun rata-rata golongan miskin masih didominasi oleh masyarakat Islam khususnya di luar bandar. Kemelut kegawatan ekonomi yang sedang melanda seluruh dunia, tempiasnya turut melanda negara ini. Petunjuk-petunjuk ke arah itu kini semakin jelas. Mengikut data Bank Negara Malaysia yang terkini, pertumbuhan ekonomi untuk suku pertama tahun 2009 misalnya dilaporkan menguncup sebanyak 6.2 peratus. Penguncupan juga berlaku dalam kebanyakan sektor. Sektor elektrik dan elektronik menurun sebanyak 41.4 peratus manakala industri berorientasi eksport merudum sebanyak 23 peratus. Meskipun kadar inflasi agak bertahan dan terkawal, pengangguran terutamanya dalam sektor pembuatan pastinya akan meningkat disebabkan kekurangan permintaan global. Keadaan ekonomi yang merudum tentunya akan menghasilkan kesan negatif dalam kehidupan ekonomi dan  sosial masyarakat.

11. Umat Islam di Malaysia ketika ini juga sedang berhadapan dengan krisis nilai kesan daripada pengaruh globalisasi dan modenisasi. Nilai-nilai yang menjadi teras kepada semangat kental dan daya juang kini diganti dengan budaya hedonisme dan mudah putus asa. Musuh-musuh Islam mencaturkan cara bergaul anak-anak muda kita, cara pakai mereka juga menjadi ikutan dengan fesyen mendedah aurat dianggap moden dan glamer. Belum ada nilai-nilai konstruktif yang menjadi teras dalam masyarakat Islam menyebabkan setiap hari kita terpaksa memejamkan mata dan memekakkan telinga apabila melihat bayi yang baru lahir dijumpai dalam tong sampah, mangsa ragut menjadi trauma dan anak-anak remaja kita merempit siang dan malam. Kajian oleh Universal McCann Malaysia yang bertajuk ‘Nilai-nilai moral kian terhakis?’ menyatakan pencapaian dunia seperti pembangunan fizikal dan ekonomi yang rancak dicacati oleh senario gaya hidup moden yang membelakangkan kemurniaan akhlak dan keluhuran budi. Demi mengecap kejayaan, ada yang sanggup berbuat apa sahaja termasuklah mengenepikan nilai-nilai moral yang sepatutnya menjadi pegangan hidup setiap individu. Oleh sebab itu, keadaan sosial di dalam masyarakat menjadi penyebab mengapa kita perlu menjadikan mendidik dan berbakti sebagai fokus.

12. Kajian penyelidik sosial ke atas penghuni pusat pemulihan akhlak lelaki dan perempuan di seluruh negara mendapati mereka terlibat dalam 24 jenis gejala sosial seperti merokok, menonton video lucah, putus cinta, mencuri, lari dari rumah, minum arak, tonton filem lucah, pil khayal, berjudi, simpan gambar lucah, hubungan jenis luar nikah, peras ugut, pecah rumah, hisap dadah, rogol, samun, rasuah, maksiat, bercerai dan jenayah bunuh. Selain daripada gejala sosial di atas, penghuni lelaki turut terlibat dalam seks rambang, bohjan dan homoseksual manakala penghuni perempuan terlibat dalam bohsia, lesbian, pelacur, gugur anak dan buang anak. Dalam kajian lain, sebanyak 1.13 peratus remaja dilaporkan terlibat dengan kes buang bayi, 40 peratus menonton bahan lucah, 16 peratus berjudi, 70 peratus merokok, 14 peratus terlibat dalam penyalahgunaan dadah, 25 peratus mengambil minuman keras dan 18 peratus melakukan seks bebas.

13. Kita wajar melihat realiti masyarakat hari ini dengan lebih simpati. Fikiran dan jiwa mereka sedang sakit. Tanpa dakwah dan amar ma’ruf nahi mungkar, bala Allah SWT akan turun. Maksudnya, jika kita tidak bersama melaksanakan kerja mendidik dan berbakti ini maka Allah akan beri bala kepada kita. Dalam keadaan orang buat maksiat, kita tidak laksanakan proses didik dan berbakti ini maka Allah akan bagi seksa kepada kita. Sebagai contoh, statistik Agensi Antidadah Kebangsaan menyatakan secara purata 2,334 rakyat Malaysia terlibat dengan penagihan dadah setiap bulan dan bagi setiap 29 minit akan muncul seorang penagih baru. Inilah sebahagian daripada beban yang masyarakat keseluruhan terpaksa tanggung akibat daripada kurangnya usaha dakwah dan tarbiyah.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
14. Ke mana kita hendak bawa masyarakat dalam proses mendidik dan berbakti ini? Asasnya ialah ke arah memakmurkan dunia dan ke arah mencapai kesejahteraan hidup akhirat.  Ia bererti  kita ada arah tuju.  Kita hendak memakmurkan negara dengan memberi khidmat kepada masyarakat hingga kita dapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat.  Sejahtera diri dan keluarga kita, sejahtera masyarakat dan negara kita. Kepada ahli-ahli HALUAN, kita selalu membaca surah Al-Fatihah yang menyeru kepada jalan yang lurus: ‘tunjukilah kami jalan yang lurus’. Ini cukup memberi isyarat kepada kita supaya setiap usaha mendidik dan berbakti menjurus kepada memakmurkan dunia dan membawa kesejahteraan akhirat.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,

15. Siapakah yang perlu mengambil tanggungjawab mengislahkan masyarakat ini? Tidak lain dan tidak bukan, ianya menjadi tugas dan tanggungjawab ahli-ahli HALUAN. Namun, kita juga mesti berkongsi usaha dengan rakan-rakan kita yang lain baik agensi kerajaan ataupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyedari bahawa tugas yang dipikul ini akan lebih berkesan jika dilakukan secara  kolektif. Kita juga perlu mengajak individu-individu yang prihatin dan mengambil berat keadaan masyarakat untuk turut bergabung dengan kita. Dalam erti kata lain, dari pemimpin hinggalah penyokong HALUAN wajar bersama-sama dengan kepimpinan masyarakat melaksanakan amanah ini supaya akan lahir kelak sebuah masyarakat yang sejahtera, merasai nikmat hidup dan dapat menjalankan peranan mereka sebagai khalifah Allah SWT (al-Baqarah 2: 30).

16. Semasa Rasulullah SAW diutuskan dalam kalangan masyarakat Makkah, jahiliyah berleluasa. Manusia bertuhankan berhala dan jauh daripada mengenal Allah SWT. Masyarakat tidak kenal yang hak dan bathil sehingga menyebabkan mereka tidak dapat membezakan yang mana satu permata dan yang mana satu kaca. Rasulullah SAW membawa dakwah bersama-sama peribadi yang dimantapkan dengan empat sifat iaitu sidq, amanah, tabligh dan fathonah. Persediaan ini juga menjadi prasyarat yang sangat mustahak kepada ahli HALUAN jika ingin mengubah masyarakat. Sifat-sifat ini boleh dibentuk tetapi perlu melalui proses pentarbiyahan yang betul dan mantap. Sifat-sifat ini adalah sifat nabi yang perlu dikuasai. Ia juga melambangkan penguasaan diri melalui tahap kepimpinan yang terpuji.

17. Dalam buku ‘Developing The Leaders Around You’ oleh John C. Maxwell, beliau berkata: ‘Tidak ada organisasi yang boleh berjaya tanpa barisan kepimpinan yang baik. Peranan pemimpin yang paling utama ialah melatih dan membentuk barisan pelapis seterusnya memimpin orang lain pula. Modal insan adalah aset paling berharga kerana sistem sampai masanya menjadi usang, bangunan menjadi  buruk dan mesin menjadi haus tetapi modal insan dapat berkembang, terus membangun dan menjadi lebih produktif dan efektif jika organisasi memiliki barisan pemimpin yang baik yang memahami nilai yang ada pada pengikutnya.’ Buku ini memberi beberapa panduan yang sangat kritikal untuk menjadi pemimpin yang boleh membangunkan pengikut dan kualiti modal insan. Antara persoalan dan isu yang dibangkitkan yang relevan untuk difikirkan ialah: Am I raising up potential leaders? Creating climate for potential leaders, Identifying potential leaders dan Nurturing potential leaders. Sesebuah organisasi tidak dapat meningkatkan nilai atau produktiviti tanpa memiliki sumber manusia yang berkualiti. Potensi organisasi berkait langsung dengan potensi modal insan.

18.  Maknanya, membentuk pemimpin dan kepemimpinan mesti dilaksanakan agar  organisasi benar-benar boleh berfungsi dengan cemerlang.  Hal ini yang kurang diutamakan pada hari ini.  Sedangkan ketika Barat datang ke tanah-tanah jajahan dulu, mereka lakukan proses membina kepimpinan dari peringkat asas lagi. Mereka wujudkan institusi pendidikan tajaan mereka dan memilih pelajar-pelajar terbaik untuk diberi pendidikan dan peluang melanjutkan pelajaran. Individu-individu yang lahir daripada sistem ini akhirnya mendapat jawatan dan kedudukan istimewa.  Mereka menjadi perancang dan pembuat dan bahkan pelaksana dasar-dasar British.  Mereka nampak macam kita atau anak tempatan tetapi sebenarnya adalah mewakili British. Namun demikian sistem pendidikan Rasulullah SAW yang bermula di institusi ‘Arqam bin Abi Arqam’ telah berjaya melahirkan saf kepimpinan berwibawa. Sebenarnya kita masih jauh ketinggalan dalam proses melahirkan saf kepimpinan yang diperlukan.  Setakat ini kita hanya nampak proses pendidikan sekular yang lebih menonjol. Walaupun usaha ini baik tetapi proses pendididikan itu tidak menjurus  ke arah melahirkan kepimpinan yang menjamin kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

19. Dalam mendidik, Rasulullah SAW memberi latihan komprehensif tentang nilai-nilai agung (sublime values) seperti semangat berpasukan, persaudaraan, menyayangi orang lain kerana Allah SWT, membersihkan hati, berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan diri kepada Allah SWT, menyayangi negara dan masyarakat, dan mengambil berat serta memahami perkembangan dunia semasa. Semua nilai ini sangat berkaitan dengan apa yang dikemukakan dalam al-quran iaitu;

semangat berpasukan
‘Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.’ (Al-Asr ayat 1-3)

mengambil berat serta memahami perkembangan dunia semasa
‘Alif, Laam, Miim.-orang Rom telah dikalahkan, Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya, Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira.’ (Ar-Ruum ayat 1-4)

berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan diri kepada Allah SWT
‘Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.’ (Al-An’am ayat 59)

20. Catatan seerah banyak menjelaskan kepada kita bahawa para sahabat belajar untuk menyayangi negara mereka, belajar untuk bersabar dan mengelak daripada membalas dendam. Dalam Surah Hud digambarkan cerita para nabi yang melalui pelbagai tekanan, sebagai pengajaran untuk para sahabat bersabar dan cekal hati dalam perjuangan. Dalam Surah Yusuf, diterangkan bagaimana Nabi Yusuf  as yang difitnah dan dipenjarakan namun baginda bersetuju untuk menolong mereka yang jahat ke atasnya demi negara dan rakyat. Kita juga wajar belajar daripada Nabi Yusuf as yang tidak membalas dendam walaupun baginda ada kesempatan berbuat begitu. Nabi Isa as juga menjadi bahan celaan dan lontaran kata-kata kutukan semasa baginda berdakwah dari kampung ke kampung. Walaupun Nabi Isa AS sentiasa memperkatakan yang baik kepada orang ramai, kata-kata nista dan cercaan masih lagi di bibiran mereka. Lantas para sahabat bertanya apakah rahsia dan sebab kejadian tersebut. Isa as menjawab: ‘setiap orang itu akan membelanjakan (mengeluarkan) apa yang ada pada dirinya’.

21. Kembali kepada sistem pendidikan Rasulullah SAW. Apa lagi yang kita tahu tentang sosok Al-Arqam? Adakah beliau seorang pemimpin tentera? Orang berilmu? Kita tahu Rasulullah SAW hanya memilih orang yang unik, namun apakah keunikan Al-Arqam? Keunikan beliau hanyalah menawarkan sebuah rumah- itulah yang membuatkan beliau unik. Baginda SAW memilih individu ini dengan pemilihan yang teliti, melakukan satu bentuk pembersihan terhadap anggota jemaah sehingga mereka dapat dijadikan sebagai satu kekuatan dalam proses perubahan yang dilakukannya.

22. Al-Arqam tidak ada yang istimewa untuk ditawarkan kecuali rumahnya dan beliau lakukan dengan bersungguh-sungguh. Terlibat secara aktif dalam masyarakat tidak bermakna akan mengehadkan kerja-kerja mendidik dan berbakti. Usaha ini akan lebih bermakna apabila rasa bahagia ketika memberi melebihi segala-galanya. It is when the giving; extending your life to that of every life that benefits from your benevolence.

23. Al-Arqam memberi contoh bagaimana masyarakat kita, khususnya anak-anak muda remaja dapat dibimbing ke arah horizon hidup yang baru. Pada masa yang sama kita boleh mengambil i’tibar dari sudut apa yang boleh kita sumbangkan dalam usaha mendidik dan berbakti kepada masyarakat – dalam bentuk yang paling ‘simple’.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
24. Dalam setiap perancangan ke arah mencapai matlamat, kita perlukan persiapan yang lengkap. Apakah persiapan yang kita perlu lakukan? Pertama, menyiapkan diri dan organisasi kita dengan ilmu syara’ dan waqi’. Kedua-dua elemen ilmu ini akan membentuk keseimbangan sehingga melahirkan peribadi-peribadi yang dikehendaki oleh Allah SWT, syakhsiah yang akrab dan rapat dengan Allah SWT dan digelar insan rabbbani dari segi tauhid, fikrah dan sahsiah. Dalam Risalah Ta’alim, Imam Hassan Al-Banna telah menggariskan lebih dari 30 kewajipan al-akh muslim. Salah satu daripadanya ialah cekap membaca dan menulis. Sehubungan dengan ini, beliau menyarakan agar setiap Muslim menyediakan perpustakaan sendiri serta meningkatkan pengkhususan dalam satu-satu bidang. Penguasaan ilmu ini dapat meningkatkan kefahaman dan membolehkan seseorang dalam memahami sesuatu isu atau permasalahan semasa dan seterusnya menentukan penyelesaian yang sesuai dengan fikrah.

25. Kedua, kemahiran insaniah (soft skils) seperti komunikasi, kerja berkumpulan dan perhubungan awam.  Kemahiran insianiah ini merupakan proses melahirkan ahli-hali HALUAN yang berpengetahuan, inovatif, memiliki jati diri, beretika, terlatih dan berjaya dalam setiap gerak kerja. Ilmu dan kemahiran bergerak seiring dengan persiapan ketiga iaitu akhlak. Asas akhlak ialah iman, Islam, taqwa dan ihsan. Kesemuanya mesti dilaksanakan dalam bentuk praktikal supaya terbentuk nanti individu yang menjadi contoh kepada masyarakat. Rasulullah SAW adalah contoh akhlak terbaik untuk diikuti seperti sabdanya yang bermaksud, ‘Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’ (HR Malik, Ahmad, Hakim, At-Tabarani dan Bukhari).

26.Sheikh  Mustafa Masyhur berkata: ‘perbaiki dirimu dan serulah orang lain kepada dakwah’. Perbaiki diri termasuk berusaha menguasai diri dengan ilmu dan kemahiran dan seterusnya menghiasi diri dengan akhlak mulia. Dalam realiti hari ini, akhlak sudah tidak memberi makna yang signifikan dalam kepimpinan. Pemimpin yang terlibat dengan masalah moral, rasuah dan penyalahgunaan kuasa masih diberi tempat dalam pentadbiran negara menyebabkan saf kepimpinan itu sendiri tidak lagi dihormati. Sebagai ahli HALUAN, kita, Insha Allah, akan terus berusaha meningkatkan akhlak pada diri kita dan pada masa yang sama berusaha membangunkan akhlak di kalangan individu yang kita didik supaya kesegaran akhlak yang berasaskan Islam, iman dan ukhuwah menjadi penyelamat kepada kemarau dan kekusutan model kepimpinan ini. Usaha yang dilakukan khususnya oleh HALUANITA ialah menganjurkan kem motivasi remaja, Pesona Remaja, dirangka untuk membimbing remaja bagi  meningkatkan jari diri, sakhsiah dan pembelajaran efektif. Program ini juga mendedahkan mereka cabaran-cabaran hidup untuk memantapkan diri sebagai pelajar muslim yang mempunyai akhlak yang tekal dan tahu hala tuju masa depan mereka. Sesungguhnya, pelaksanaan tanggungjawab ini bukan suatu yang mudah untuk dilakukan. Di sana akan sentiasa wujud halangan dan hambatan. Justeru, sudah semestinyalah pengorbanan dituntut. Kejayaan umat Islam dahulu adalah berpaksikan pengorbanan apa saja yang ada pada mereka– tenaga, masa, harta hatta jiwa sekalipun. Sesungguhnya antara resepi penting bagi kejayaan ialah pengorbanan. Tidak ada kejayaan tanpa pengorbanan.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
27. Setiap saat kehidupan yang dilalui, kita akan ditanya di hadapan Allah SWT. Kita bertanggungjawab ke atas tindak-tanduk yang dilakukan. Usaha-usaha kita bersama dalam mendidik dan berbakti kepada diri, keluarga dan masyarakat adalah amal yang sangat bermakna untuk kita bawa bertemu Allah SWT nanti. Kita memohon mudah-mudahan Allah SWT akan memberi petunjuk-Nya semasa kita bekerja ini supaya dipermudahkan kerja-kerja kita, ‘Barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya walau sedikit pun’ (An-Nuur ayat 40.) Marilah kita bersama-sama di semua peringkat, bersatu di dalam saf yang kukuh, menyegerakan tanggungjawab persaudaraan dengan rasa kasih dan sayang, menghargai, bantu-membantu, lengkap melengkapi, mengutamakan orang lain, merasai bahagia dengan memberi dan bekerja menyebarkan dakwah di mana-mana sahaja. Persiapkan diri kita dengan menjadikan Rasululah SAW sebagai model dan contoh ikutan, membuat perancangan yang berkesan dan sentiasa memberi fokus dalam setiap usaha yang kita lakukan.

28.Rebut sepenuhnya ruang-ruang yang dibenarkan oleh realiti bagi menterjemahkan hakikat Ad-Din, agar masyarakat boleh faham Ad-Din melalui Al-Hal (realiti @ kehidupan). Manakala dalam melaksanakan kerja-kerja ma’ruf yang dibenarkan dalam ruang realiti yang ada, kita perlu sentiasa beringat agar ma’ruf yang besar itu tidak diabaikan. Dan dalam menjelaskan al-ma’ruf al-akbar ini fahami dan kuasai sungguh realiti dengan menggunakan kaedah-kaedah yang dibenarkan oleh Islam.

29. Akhirnya, saya berdoa supaya kita dapat melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan ini dengan baik dan berkesan dan mudah-mudahan suatu hari nanti HALUAN akan berada di pesada masyarakat secara waqe dan menyeluruh. Mereka melihat HALUAN sebagai sebuah organisasi yang dapat menawarkan penawar penyelesaian kepada permasalahan semasa seterusnya memayungi kehidupan mereka dengan pelbagai kebajikan melalui pendidikan dan khidmat.  Semoga Allah SWT memberkati usaha kita demi memertabatkan maruah bangsa, negara dan ad-Din.  Insha Allah.

Wassalamu’alaikum wbth.

Ucapan Dasar Presiden HALUAN
Mesyuarat Perwakilan Tahunan Ke-20
6 Jun, 2009M
12 Jamadil Akhir 1430H
Dewan Anuwar Mahmud,
Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM)
Bangi, Selangor Darul Ehsan