Ucapan Dasar Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Ke-26

Ucapan Dasar Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Ke-26

Ucapan Dasar Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Ke-26

Ucapan Dasar Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Ke-26
Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, Johor
“Organisasi Profesional Ke Arah Keamanan Dan Kewujudan Bersama”

PENDAHULUAN

Dengan lafaz yang mulia dan penuh kesyukuran kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada ALLAH SWT atas keizinan-NYA dapat lagi kita bertemu dalam mesyuarat tahunan HALUAN pada kali ini. Kepada para perwakilan, pemerhati dan seluruh ahli HALUAN, selamat bertemu kembali. Harapan kita, mudah-mudahan pertemuan ini bukan semata-mata pertemuan jasad tetapi adalah pertemuan hati-hati kita semua dalam menyemarakkan lagi ruh berkerja dalam visi yang satu serta mengukuhkan lagi tali ukhuwah islamiah yang telah terjalin.

Dewasa ini, umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia sedang menghadapi pelbagai cabaran. Kita melihat satu senario yang jelas menunjukkan umat Islam di serata dunia sedang bergelut dengan cabaran-cabaran semasa yang benar-benar menyentap seluruh keyakinan, keimanan, kepercayaan dan intipati kekuatan mereka terhadap Islam.

Krisis demi krisis, polemik demi polemik, pergolakan demi pergolakan dan masalah demi masalah hadir bertimpa-timpa menghimpit serta menyesakkan dada umat Islam. Belum selesai satu permasalahan, timbul lagi satu permasalahan baru yang semakin hari semakin menekan kehidupan sehingga umat Islam terpaksa menelan kepahitan hidup dan bergelumang dengan berbagai-bagai krisis yang memilukan. Bak kata seorang pendakwah Islam, Dr Majdi al-Hilali: “Belum sembuh luka semalam, tumbuh pula luka-luka baru yang menjalari tubuh umat ini.”

Apa sahaja peristiwa negatif yang berlaku selalunya dikaitkan dengan Islam walaupun belum tentu benarnya punca perkara berkenaan. Dari satu sudut, keadaan ini menunjukkan yang Islam menjadi ancaman kepada musuh-musuhnya manakala dari sudut yang lain, mungkin menampakkan kelemahan umat Islam hari ini yang tidak mampu menghalang sebarang provokasi oleh musuh mereka sendiri.

Perkembangan mutakhir di negara-negara Islam Timur Tengah pasca Arab Spring mempamerkan suasana yang tidak menentu. Awalnya sinar harapan yang kian cerah namun tekanan pihak musuh yang terkenal dengan pelbagai tipu muslihat ternyata menunjukkan bahawa mereka jauh lebih hebat berstrategi untuk tidak membiarkan panji Islam berpasak di muka bumi. Khabar Mesir yang mendukakan, berturutan dengan Syria, Tunisia, Libya, Sudan, Palestin dan terkini Yaman tentunya menambahkan lagi kesedihan kita di rantau ini. Namun, perjuangan Islam akan terus dikibarkan walau apa jua situasi saudara-saudara kita. Bantuan kita kepada mereka selain doa adalah memperhebatkan lagi usaha-usaha mengislahkan ummah menuju kebangkitan Islam yang sebenarnya. Pergaduhan sesama Islam yang dibatuapikan oleh para imperialis perlu kita hentikan segera. Tugas kita ahli HALUAN adalah menyatukan semula ummah ini.

Di satu pihak yang lain bumi tercinta Malaysia kian meruncing dengan pelbagai situasi-situasi yang sungguh mencabar. Situasi politik sempit yang kian tidak sihat, permasalahan sosial yang semakin parah, krisis moral yang membimbangkan serta keadaan ekonomi yang tidak menentu mencengkam rakyat di pelbagai strata masyarakat. Suasana terkini meresahkan segolongan besar rakyat ditambah lagi dengan isu-isu terkini yang melibatkan salah urus tadbir, sudut polisi dan kekuasaan, urusan perbendaharaan negara yang amat cuai, serta pemerintahan yang kurang cekap, telus dan amanah. Semakin hari cabaran umat Islam di Malaysia bertambah hebat dan sebagai NGO Islam, HALUAN perlu memposisikan diri dengan peranan yang betul sebagai agen perubah sepertimana yang dikehendaki oleh Islam.

Dalam membicarakan soal ini, Prof Dr Yusof Al-Qardawi dan Prof Dr Muhammad Najatullah Siddiqi menyatakan bahawa antara kelemahan umat Islam adalah:

i. Penjajahan Politik yang membawa kepada perpecahan
ii. Kemunduran Ekonomi
iii. Keruntuhan Sosial
iv. Kebekuan Intelektual, dan
v. Kelemahan Pengurusan

Namun, Qardawi merumuskan bahawa permasalahan umat kini berpunca daripada dua sumber utama iaitu kelemahan keimanan dan kelemahan akhlak. Semua ini lahir dari satu perancangan musuh Islam sebelum dan setelah runtuhnya khilafah Uthmaniah pada tahun 1924 yang berpusat di Turkey.

Hakikat inilah yang sama-sama perlu kita sedari dan fahami dalam menggerakkan HALUAN supaya sentiasa berada di landasan yang betul. Berdepan dengan kepelbagaian cabaran umat kini, ternyata kita tidak punyai banyak pilihan kecuali kembali kepada pangkuan Islam sebagai satu-satunya penyelamat. Dengan penuh keyakinan, kita amat-amat yakin bahawa hanya Islam yang mampu menyelamatkan apa jua permasalahan umat ini sesuai dengan visi kerasulan Nabi Muhammad SAW iaitu rahmat kepada seluruh alam. Baginda adalah contoh yang harus diteladani sepanjang zaman. Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab (33) ayat 21 yang bermaksud “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Satu persoalan yang perlu sama-sama kita ahli-ahli HALUAN tanyakan kepada diri dan hati kita setiap hari ialah: “Adakah kita ini benar-benar obses kepada syurga ALLAH SWT dan pertemuan dengan ALLAH SWT?”

Sebagai aktivis dakwah, perkara yang sentiasa bermain-main di fikiran dan bergelora di dalam jiwa serta ruh kita adalah tarbiyah dan dakwah. Kerja kita adalah tarbiyah dan dakwah. Tidur kita juga adalah tidur tarbiyah dan dakwah. Dan, mimpi kita juga adalah mimpi tarbiyah dan dakwah! Tarbiyah mendidik diri supaya benar-benar menjadi hamba ALLAH SWT dengan cara menepati piawaian ALLAH SWT dan berdakwah menyeru umat manusia bersama-sama hidup bersama Islam serta melaksanakan syariat Islam sepenuhnya.

Inilah bukti keseriusan kita di lapangan ini. Lantaran itu, kita benar-benar serius membaiki umat ini melalui platform HALUAN menerusi strategi berperancangan, pelan gerak kerja, sistem pemantauan, penilaian dan penambahbaikan. Kita saling memerlukan antara satu sama lain bagi mendepani kesemua cabaran-cabaran hidup secara kolektif, bersama dengan penuh kasih sayang.

Para perwakilan, pemerhati dan hadirin yang dihormati sekalian,

Kita memilih tema “Organisasi Profesional Ke Arah Keamanan dan Kewujudan Bersama” memandangkan kita telah memasuki era bersama masyarakat dengan lebih serius berbanding dengan masa lampau. Ia suatu transisi yang kita sedang alami di mana kita berganjak dari keadaan operasi yang ‘organik’ kepada gerak kerja berbentuk ‘organisasi’ di dalam masyarakat. Ini kita buat tanpa mengabaikan keadaan pertama (organik) tadi yang kita lalui sama-sama selama ini di mana kita telah menimba begitu banyak sekali pengalaman dan tauladan. Saya ingin mengajak agar tuan-puan merasai keperluan untuk keluar daripada sifat ‘terkurung’ sesama sendiri di kalangan kita sahaja kepada penggabungan yang lebih bermakna dan produktif dengan masyarakat di luar sana. Impian kita – mengubah masyarakat ke arah menjadi manusia yang lebih baik, prihatin, berakhlak mulia serta empati dengan situasi yang memerlukan perhatian dan pembelaan. Menjadi organisasi yang mampu memberi impak kepada masyarakat di mana masyarakat merasai gembira dengan kehadiran kita dan kita pula menjadi sumber inspirasi kepada mereka.

Organisasi didefinasikan sebagai gerakan, harakah, jamaah, hubungan ahli yang diikat dengan prinsip, aturan atau sistem untuk mencapai sesuatu matlamat. Firman Allah SWT dalam Surah ali Imran (3) ayat 104 yang membawa maksud “…dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji), dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Profesional pula adalah pernyataan yang membawa maksud peringkat kemahiran, kepakaran dan keilmuan yang tinggi. Termasuk juga dalam golongan yang dikatakan profesional adalah para ulama’. Firman Allah SWT dalam Surah al Mujadilah (58 ) ayat 11 bermaksud “…supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”

Keamanan dilihat sebagai satu suasana yang selamat sejahtera tanpa sengketa atau menimbulkan keluh kesah. Sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menjaga dan mengawal keamanan agar terus kekal. Begitu juga dengan mengelak daripada terjadinya sengketa dan kita perlu mencari faktor-faktor yang boleh menghalang daripada tercetusnya perpecahan dalam umat ini. Kerja kita ahli HALUAN adalah kesatuan ummah, bukannya perpecahan. Firman Allah SWT dalam Surah al Maaidah (5) ayat 16 bermaksud “Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, Dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”

Kewujudan bersama adalah keadaan yang harmoni dalam kehidupan makhluk ciptaan Allah SWT tanpa mengira batas-batas geografi, etnik, agama, warna kulit dan sebagainya. Hakikat yang mesti diterima ialah bahawa dalam kehidupan di dunia ini terdapat orang-orang yang beriman dan juga orang-orang yang tidak beriman. Namun begitu, ia bukanlah bertujuan untuk bercakaran antara satu sama lain. Rasulullah SAW sendiri telah menunjukkan contoh bila mana baginda mengadakan perjanjian hidup bersama dengan kaum Yahudi Madinah selepas peristiwa besar hijrah.

Di samping hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia, kita juga harus mampu hidup secara harmoni dengan alam sekitar termasuk seluruh ciptaan Allah SWT, bukit bukau, tumbuhan, haiwan, ekologi dan juga seluruh ciptaan Allah SWT di lautan dan di daratan. Jika benar hubungan kita dengan Allah SWT, kita tidak akan rakus mengaut keuntungan di atas dan di bawah muka bumi hingga mengakibatkan punah topografi asli yang akhirnya mengundang bahana tragedi berleluasa seperti kebanjiran dan tanah runtuh. Yang rugi, manusia itulah juga.

Para perwakilan, pemerhati dan hadirin sekalian,

Merintangi perjalanan kita ke arah matlamat seperti dinyatakan dalam tema kali ini adalah tiga (3) cabaran utama, iaitu cabaran MASSA, RIJAL dan DANA. Perkara-perkara ini juga menjadi tunggak dalam Rancangan Jangka Panjang HALUAN (RJPJ), (2012–2016) di mana tahun ini merupakan tahun keempat perlaksanaannya.

Harapan kita agar setiap ahli HALUAN benar-benar mendalami, menghayati dan bersama-sama dalam setiap gerak kerja massa, rijal ataupun dana ini. Ia merupakan pra-syarat penting untuk membolehkan kita merealisasikan program-program pengislahan untuk masyarakat.

Tentunya, dalam menggerakkan organisasi yang semakin berkembang dan membesar seperti HALUAN ini, kita juga tidak pernah sunyi daripada pelbagai cabaran-cabaran semasa berskala besar ataupun kecil. Atau, bersifat dalaman mahupun luaran. Cabaran yang hadir bukanlah satu permasalahan yang boleh melemahkan kita daripada terus bergerak atau merencatkan semangat kita dari terus berkobar-kobar bagi melunaskan segala taklifan ini sebaiknya.

Bahkan, segala cabaran ini harus dilihat sebagai satu ujian secara positif untuk ditangani secara hikmah dan penuh semangat ukhuwah. Teguran mahupun kritikan sama ada dari kepimpinan atau ahli perlulah memelihara adab-adabnya serta meluruskan seluruh niat kerana ALLAH SWT. Semuanya kita kembali kepada titik asas yang satu bahawa kita ingin memelihara akhirat kita agar pulangnya kita kepadaNYA dalam hati yang bersih dan yang penting ALLAH SWT meredhai kita.

Sebagai muhasabah, kita harus mendepani setiap cabaran ini secara profesional, kolektif dan berjiwa besar agar setiap apa yang kita rancangkan mampu dilaksanakan bagi mencapai matlamat organisasi HALUAN.

CABARAN MASSA

Dalam Rancangan Jangka Panjang HALUAN (RJPJ), telah digariskan sejumlah 500,000 orang relawan perlu dicapai dalam tempoh berkenaan. Namun begitu kita melihat bahawa pencapaian setakat ini masih jauh dari hasrat sasaran sebenar. Tanpa relawan, tentunya tiada rijal yang dapat dibentuk. Perkembangan rijal adalah seiring dengan berkembangnya aktiviti massa.

Kita telah meletakkan sasaran medan massa sebanyak 17 sektor iaitu sektor Wanita, IPS, Guru & Pelajar Sekolah KPM, Masjid/Surau, Pensyarah/Pelajar IPT, Asatizah, Pejabat Kerajaan/Pesara, Belia/Pemuda, Saudara Baru/Non Muslim, Palestin, Badan Bukan Kerajaan, Kebajikan/Kepimpinan Masyarakat, Misi Kemanusiaan, Professional, Usahawan, Remaja dan Keluarga dan Siasah. Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk kita semua terjun ke medan-medan ini dalam kerja-kerja massa. Biro-biro di peringkat Pusat dan HALUAN Cawangan seluruh negara perlu memberi fokus kepada sektor-sektor massa untuk menjana lebih ramai relawan. Barangkali di antara 17 sektor yang dinyatakan tadi, kita boleh membariskannya mengikut keutamaan, misalnya sektor masjid/surau, Pensyarah/Pelajar IPT, Asatizah dan lain-lain.

Kita perlu sama-sama memahami bahawa aktiviti massa yang kita hajati bukan sahaja berlegar dalam lingkungan setempat semata-mata, bahkan perlu dilihat perkembangannya hingga ke peringkat nasional dan seterusnya ke peringkat antarabangsa. Jaringan kerjasama perlu dibina bermula dari lokaliti kita hinggalah ke luar negara.

Kita perlu mematangkan diri yang membolehkan kita dapat bersama masyarakat dalam apa jua suasana tanpa melanggar prinsip-prinsip yang diyakini. Bermaksud kita sedia dan boleh berkerjasama dengan sesiapa sahaja. Ini dapat dilihat bagaimana Allah SWT mengutuskan RasulNya sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam seperti maksud Surah Al-Anbiya (21) ayat 107, “… dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Dalam usaha memperbanyakkan projek-projek dakwah kepada massa, setiap ahli HALUAN perlu mempertingkatkan kompetensi diri terutamanya melibatkan kemahiran insaniah yang amat-amat penting bagi menggerakkan projek-projek menyemarakkan dakwah kepada massa. Kemahiran-kemahiran seperti pengucapan awam, pengurusan acara, pengurusan krisis, penulisan bagi media massa, pengkaryaan jurnal dan sastera dan sebagainya perlu dilihat sebagai alat penting untuk menjayakan projek-projek kita.

Kita berhajat agar projek-projek massa HALUAN ini mampu menambahkan relawan yang berminat untuk bersama-sama menjayakan projek mendidik dan berbakti. Tentunya, kita amat bergembira dengan jiwa-jiwa yang bersih untuk sama-sama dididik dan berbakti kepada masyarakat dan seterusnya kepada Islam. Di samping itu, kita juga memiliki para pelapis muda yang bersemangat bersama-sama HALUAN untuk menjayakan visi dan misi yang mulia ini.

Namun, perlu disedari bahawa yang lebih penting adalah “proses” untuk membentuk mereka agar menepati aspirasi HALUAN itu sendiri iaitu Berakhlak, Mendidik dan Berbakti. Akhlak adalah buah penting yang menjadi teras keberadaan kita di sini. Justeru, para relawan dan pelapis HALUAN perlu diurus semaksimum mungkin agar mereka mampu memikul tugas ini di masa hadapan dengan sebaiknya.

Projek-projek massa HALUAN dijayakan dengan gemblengan tenaga ahli-ahli di pelbagai peringkat dan juga biro. Bersinergi merupakan satu strategi yang amat baik bagi semua biro dan institusi HALUAN bagi mengoptimumkan segala sumber manusia dan tenaga yang ada bagi menghasilkan natijah yang kita harapkan.

Dunia bersama masyarakat (dakwah) ini dihampari dengan pelbagai cabaran terutamanya apabila dakwah kita mulai disedari dan dikenali. Ada di kalangan kita berdakwah di pelbagai medan bermula di pintu-pintu bilik darjah, mimbar-mimbar khutbah hinggalah ke pentas dakwah yang lebih besar. Dikenali hingga menjadi ikon masyarakat adalah satu peluang yang baik untuk dakwah. Konsep ikon ini wajar diperhalusi sebaiknya bermula dengan niat awal tujuan kita menyebarkan dan menyampaikan dakwah hingga berlakunya pembentukan kesedaran Islam dan lahirnya kumpulan Islam. Asas-asas ini tidak boleh dipandang enteng bahkan menjadi tapak penting kepada pembinaan masyarakat yang memahami Islam secara menyeluruh. Ikon yang mempunyai ramai pengikut daripada golongan massa wajar memanfaatkan segala ruang ini dengan sebaiknya.

Kita sebenarnya diberi kemampuan oleh Allah SWT untuk melaksanakan kerja-kerja bersama masyarakat. Terbukti bahawa kita mampu mengendalikan projek-projek berskala besar bersama JAKIM, KKLW, ICU, KKM dan lain-lain lagi.

Para perwakilan, pemerhati dan hadirin sekalian,

CABARAN RIJAL

Imam Hassan al-Banna dalam sebuah risalahnya yang bertajuk Adakah Kita Golongan Yang Bekerja menyebut: “Kelelakian (rijal) adalah rahsia hidup sesebuah bangsa dan menjadi faktor utama yang menentukan kebangkitan mereka. Sejarah manusia sebenarnya adalah sejarah kelahiran lelaki-lelaki berkelelakian (rijal) yang berketrampilan dan memiliki jiwa serta kemahuan yang tinggi. Kekuatan atau kelemahan sesebuah bangsa diukur sejauh mana bangsa ini mampu melahirkan lelaki-lelaki yang memiliki sifat-sifat kelelakian yang sebenar.” Justeru, melahirkan rijal yang memiliki watak kerijalan amat-amat penting bagi menjayakan perjuangan HALUAN bagi memimpin ummah di masa hadapan. Segala cabaran yang ada perlu didepani secara bersama, terbuka dan bersemangat luhur.

Kita ingin melahirkan rijal yang menepati janjinya kepada Allah SWT melalui pemahaman yang benar, pembinaan yang cermat, iman yang mendalam, cinta yang kuat dan pengurusan yang professional, Al-Ahzab (33) ayat 23, bermaksud: “… di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” Rijal yang dibentuk haruslah yang mampu memperbaiki diri sendiri di samping berperanan memperbaiki orang lain.

Memandangkan betapa pentingnya tarbiyah (pendidikan) dalam proses pembentukan rijal, maka kita perlu memperhalusi dan menyemak proses yang sedang berjalan bagi memastikan ianya menepati hakikat tarbiyah itu sendiri. Perlu dilihat keberkesanannya, kekuatan serta kelemahan. Proses halaqah (usrah) misalnya — apakah ia berkesan atau tidak. Dr Abdul Halim Mahmud menyatakan “Pendidikan (tarbiyah) melalui sistem usrah merupakan pendidikan yang tidak boleh ditukar ganti dengan cara lain.” Manakala Ustaz Mustafa Mashor pula menyatakan bahawa, “Keujudan usrah tidak ada titik akhirnya walaupun telah tergegaknya daulah.”

Proses pembentukan rijal dari relawan-relawan yang datangnya dari pelbagai sektor massa perlu diambil perhatian yang serius. Adalah satu kerugian jika setelah sekian lama melaksanakan kerja dengan mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit tetapi kita tidak boleh melahirkan rijal.

Di samping itu peningkatan tahap dari kalangan rijal yang dibentuk juga tidak boleh dipandang ringan. Potensi yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Kita perlu meletakkan rijal yang dibentuk di tempat yang sesuai dengan kemampuan sebenar mereka.

Aspek-aspek keciciran di sepanjang perjalanan pembentukan rijal perlu diteliti. Keciciran di institusi pendidikan di bawah naungan HALUAN (sekolah angkat), di institusi pengajian tinggi dan sebagainya perlulah ditangani dengan sewajarnya.

Keciciran yang tidak ditangani dengan baik akan merencatkan proses kesinambungan tarbiyah bagi melahirkan para amilin (pekerja) serta pendokong kerja-kerja khidmat masyarakat (dakwah) yang mampu memikul kerja-kerja mulia ini. Tarbiyah adalah asas kepada gerak kerja dakwah. Jika berlaku kerencatan atau kelopongan, banyak permasalahan akan timbul di masa mendatang yang mungkin memakan masa untuk diselesaikan.

Aspek pengurusan menjadi perkara terpenting dalam pembinaan kompetensi diri seorang individu apatah lagi jika dia ingin dibentuk sebagai seorang aktivis dakwah. Setiap ahli HALUAN harus melengkapkan kemahiran pengurusan diri bagi membolehkan dirinya memimpin diri, keluarga dan organisasi seterusnya masyarakat. Hal ini jika tidak dirawat, kita bimbangi ia akan merosakkan diri seterusnya keluarga dan juga organisasi.

Kita memerlukan lebih ramai tenaga kerja ‘sepenuh masa’. Pertambahan aktiviti, semakin luas jaringan menuntut kerja yang banyak dan tentunya tidak mampu atau tidak berkesan jika dikendalikan secara sambilan atau dengan bilangan tenaga kerja yang kecil bilangannya. Adalah tidak manasabah suatu matlamat hidup yang kekal ubudiah Adz-Dzariat (51) ayat 56, bermaksud “… dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” DAN firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2) ayat 30, bermaksud “… dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi,” mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya” yang dinyatakan oleh Allah SWT dengan jelas yang menentukan Syurga atau Neraka kita selepas mati di akhirat dilaksanakan hanya dengan tenaga sukarela. Sedangkan tugas itu ialah tugas wajib keatas setiap individu. Fikirkanlah!

CABARAN DANA

Para perwakilan, pemerhati dan hadirin sekalian,

Dakwah menuntut pelbagai bentuk pengorbanan. Untuk dakwah, wang adalah sesuatu yang penting. Dana kewangan menjadi persoalan yang sentiasa difikirkan bagi menjalankan apa jua usaha-usaha mulia kerana segalanya melibatkan kos.

Cabaran kekurangan dana seharusnya bukan menjadi pelemah atau pembantut terhadap usaha-usaha dakwah kita. Bahkan bermula dari generasi awal yang dibimbing oleh baginda Rasulullah SAW, kekurangan dana dan kewangan sudah menjadi lumrah. Namun, lihatlah bagaimana mereka bergerak secara proaktif mencari solusi hingga ada di kalangan mereka mampu menjadi penyumbang infaq besar bagi membiayai segala visi menyebarkan Islam. Perjuangan ini dibiayai oleh poket-poket para pejuang itu sendiri. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran (3) ayat 134 bermaksud “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;” Dan firman Allah SWT lagi dalam surah al Baqarah ayat 261 bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Namun dalam realiti kini usaha-usaha mendapatkan dana bagi pembiayaan projek-projek kemasyarakatan perlu digiatkan dengan lebih agresif lagi. Kita tidak boleh hanya mengharapkan sumber dana dari poket ahli semata-mata. Banyak sumber-sumber dana dari luar seperti dari agensi-agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta dan orang perseorangan boleh diperolehi jika diusahakan dengan sungguh-sungguh. Sebaik mungkin projek bersama masyarakat di biayai oleh sumber-sumber yang diperolehi daripada masyarakat.

Aspek lain yang perlu dilihat dalam cabaran dana adalah sistem kutipan dana. Sistem yang kemas, diyakini dan sistematik akan menggalakkan lebih ramai ahli dan bukan ahli untuk memberi infaq mereka.

PENYELESAIAN SECARA KOLEKTIF

Cabaran-cabaran yang digariskan di atas adalah sebagai proses muhasabah untuk kita bersama. Berpijak di bumi yang nyata dan menghadapi realiti cabaran perjuangan adalah sikap yang perlu ada pada kita semua sebagai hamba ALLAH dan juga pejuang Islam. Sunnatullah dan dalam perjuangan memerlukan setiap kita memilih sikap yang betul selari dengan syara’ bagi menyelesaikan setiap cabaran hidup. Apatah lagi, hidup secara berorganisasi ini, tentunya, cabarannya banyak dan tiada penghujungnya kerana kita yang memilih untuk hidup sebegini.

Para perwakilan, pemerhati dan hadirin sekalian,

KEMBALI KEPADA ASAS

Tertitik tolak daripada perkara ini, ajakan saya kepada ahli-ahli HALUAN yang dikasihi sekalian adalah marilah kita perkuatkan saf dan tali persaudaraan kita dengan melihat semula asas-asas penting yang akan memperkukuhkan kekuatan asasi kita semua. Kita perlu kembali kepada faktor asas penggabungan kita semua di dalam organisasi yang kita cintai ini.

Asas penting di dalam melaksanakan kerja-kerja Islam ini adalah kefahaman yang mendalam terhadap Islam itu sendiri. Dari kefahaman yang mendalam ini akan lahirlah fikrah (pemikiran) yang akan menentukan hala tuju organisasi kita. Fikrah yang jernih, murni dan bersih akan memacu setiap daripada kita untuk berkerja dalam organisasi Islam kerana ALLAH SWT. Bukan kerana motif yang lain.

(Wehdatul Fikr ) Kesatuan fikrah antara kita bermakna kita mempunyai keseragaman visi dan misi yang sama untuk bergerak dan berkerja dalam barisan yang sama. Perbezaan pandangan dan pendapat dalam berorganisasi adalah perkara biasa kerana setiap kita mempunyai latar belakang, pengalaman hidup, budaya keluarga dan tahap berfikir yang berbeza. Islam meraikan perbezaan ini, namun untuk meluruskan kefahaman tentang Islam, kita harus kembali kepada Al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad SAW sebagai asas fikrah kita.

Halaqah atau usrah menjadi nadi utama kepada tulang belakang HALUAN selama ini. Perjalanan halaqah menjadi kayu ukur kekuatan sebenar kita dalam memperjuangkan Islam. Pembinaan fikrah, proses menyemai ukhwah dan proses tarbiyah (pendidikan) ahli untuk menepati syarat-syarat yang membolehkan kita untuk melaksanakan tugas-tugas dakwah.

Perjalanan halaqah di semua negeri, institusi dan pusat-pusat pengajian tinggi HALUAN perlu diperkasakan perlaksanaannya dengan bersungguh-sungguh. Tidak hanya berjalan menepati rutin mingguan atau arahan tetapi bertitik tolak atas dorongan keimanan kepada ALLAH SWT. Wujudkan halaqah yang dinanti-nantikan dan dirindui oleh setiap ahli. Pendekatan yang dinamik dan kreatif yang bersesuaian dengan tahapan ahli akan membantu kita merealisasikan hasrat ini.

Dalam sistem tarbiyah, kita mempunyai tujuh wasail tarbiyah yang wajib dilalui oleh semua ahli. Ini bagi memastikan semua ahli melalui ABC tarbiyah secara menyeluruh, tersusun dan berkesan. Selain usrah, kita perlu memastikan setiap diri kita mengikut wasail tarbiyah yang lain iaitu daurah, jaulah, riadah, mabit, mukhayyam dan khatibah. Kesemua ini bertujuan melahirkan kita sebagai hamba ALLAH SWT yang soleh lagi musleh dan memenuhi 10 muasafat tarbiyah.

Proses tarbiyah ini akan berjalan hingga lahirlah ahli yang kuat fizikalnya, kukuh akhlaknya, luas wawasannya, mampu berdikari, memiliki aqidah yang salim, benar ibadahnya, melakukan mujahadah terhadap dirinya, menjaga waktu, tersusun urusannya dan bermanfaat kepada orang lain.

Tarbiyah di kalangan ahli sama sekali tidak boleh dipandang ringan atau mudah walau di mana tahapan fasa perjalanan kita. Di era memasyarakatkan dakwah ini, seharusnya kita semakin kuatkan pembinaan tarbiyah selari dengan usaha-usaha dakwah yang semakin rancak. Jelas, kerja-kerja tarbiyah bukanlah sesuatu yang bermusim mahupun dilakukan saat berkelapangan; ia adalah nafas kehidupan kita semua.

Menurut As-Syeikh Mustafa Masyhur, tarbiyah serta pembersihan jiwa diumpamakan seperti makanan dan siraman untuk pokok yang disemai atau ditanam. Jika pokok itu tidak dibaja dan disirami sentiasa, maka ia akan layu lalu kering. Sebaliknya, ia akan terus hidup subur apabila cukup baja dan siraman.

Selain itu, wajib bagi kita semua mempersiapkan diri dan organisasi dengan kekuatan. Titik mula bagi kekuatan kita adalah kekuatan aqidah dan keimanan kepada ALLAH SWT. Dan diikuti dengan kekuatan ukhuwah dan kesatuan.

Kekuatan adalah cara terbaik untuk menegakan kebenaran. Aqidah yang benar dan keimanan yang jitu kepada ALLAH SWT menjadi kunci utama kepada keberhasilan usaha-usaha dakwah yang dipelopori oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Proses penanaman aqidah lebih 13 tahun di Makkah adalah bukti keseriusan Rasulullah SAW bagi menjayakan master plan kebangkitan ummah.

Semangat ukhuwah Muhajirin dan Ansar membentangkan satu perjalanan sejarah yang amat memukau apabila mereka menunjukan semangat mengutamakan saudara mereka melebihi diri sendiri dalam apa jua keadaan. Kisah-kisah mereka terukir di dalam lipatan sejarah buat pedoman dan panduan kita. Akhirnya, kesatuan hati mereka boleh terbentuk apabila hati-hati mereka terikat pada asas yang kuat. Inilah harapan kita dalam gerak kerja berorganisasi. Ingin mencontohi generasi awal yang diasuh oleh baginda Rasulullah SAW dalam segenap aspek kehidupan mereka.

MEMANTAPKAN KOMPETENSI AHLI

Imam Hassan al-Banna telah merumuskan suatu teori yang dapat menjadi ukuran dan petunjuk yang baik bagi melihat sejauh mana hasil usaha serta kerja yang dicurahkan oleh penggerak dakwah di dalam Ucapan Dasar Muktamar Kelima: “Matlamat akhir atau hasil keseluruhan hanya akan dapat dirasai apabila : (1) Penerangan telah cukup meluas (pandangan umum), (2) pendokong telah bertambah ramai (rangkaian hubungan), dan (3) Pembinaan telah mantap (pembentukan institusi).”

Satu daripada dapatan dakwah kita adalah jiwa-jiwa bersih yang hajatkan sentuhan didikan Islam yang sebenarnya. Rangkaian hubungan kemanusiaan akan subur melalui dakwah yang ikhlas, berkerja keras dan istiqamah tanpa henti. Saban tahun kita akan mendampingi masyarakat dan pastinya akan ada yang menyambut seruan kita. Inilah nikmat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Jumlah relawan dan penyokong kepada usaha-usaha murni HALUAN semakin bertambah. Kehadiran mereka wajar disambut dengan layanan yang terbaik dengan menyediakan program-program pembentukan agar mereka juga boleh bersama-sama dengan kita untuk melaksanakan tugas-tugas ini. Tugas ini harus melahirkan nilai tambah oleh kita semua. Fikirkan secara grand design akan proses kemahiran mentakwin ahli baru ini agar dapat membuahkan hasil yang lebih berganda jumlah tetapi mampu menghasilkan produk manusia yang berkualiti.

Kemahiran mencetak ahli baru sangat penting di era ini. Ahli relawan yang berdaftar perlu disegerakan program-program pembentukan tanpa perlu mereka tertunggu-tunggu. Peranan ini boleh dilaksanakan secara sinergi merentasi semua biro dan kelab bagi menjayakan usaha dakwah ini.

Selain itu, kemahiran mengurus massa perlu dipertingkatkan pada setiap ahli, biro dan kelab selari dengan perkembangan HALUAN yang bergiat aktif di lapangan bersama masyarakat dengan perlaksanaan pelbagai bentuk program yang berskala kecil mahupun besar. Kemahiran ini penting bagi proses kelancaran dan membuktikan kecekapan kita mengurus hal-hal kecil sebelum mengurus perkara-perkara yang besar.

Antara kemahiran yang penting adalah pengurusan acara, kemahiran-kemahiran insaniah (soft skill) seperti pengucapan awam, kemahiran penulisan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja secara berpasukan, kemahiran keusahawanan, moral dan etika profesional dan juga kemahiran kepemimpinan.

Semua kemahiran ini boleh digarap secara langsung melalui insiatif ahli dan juga boleh diusahakan oleh biro yang bersesuaian dengan kemahiran melalui kursus-kursus kompetensi ahli HALUAN. Jika ia bergerak selari, saya yakin banyak manfaat yang akan kita perolehi untuk melancarkan lagi pergerakan dakwah kita. Dalam erti kata lain, kita semua harus bersiap sedia dimobilisasikan oleh HALUAN di saat kita diperlukan.

Selain itu, HALUAN amat-amat memerlukan komitmen ahli untuk merealisasi segala strategi yang dirancang. Komitmen yang saya maksudkan adalah disiplin gerak kerja berorganisasi ahli.

Disiplin adalah suatu manifestasi ketaatan yang bersungguh-sungguh dengan dorongan kesedaran iman bagi melaksanakan apa jua amanah organisasi bagi memenuhi tujuan visi dan misi kita secara bersama. Disiplin juga adalah cerminan ketaatan kita kepada pimpinan mahupun organisasi serta ketaatan kepada Allah dan ketaatan kepada RasulNya. Di samping itu disiplin juga berkait rapat dengan keperibadian serta sahsiah diri seseorang.

Dalam istilah biasa HALUAN, kita lebih sebati dengan istilah iltizam syar’i dan juga iltizam tanzimi . Keiltizaman kita berkait rapat dengan sikap dan juga disiplin kita. Semua ini memerlukan proses yang panjang dan bertahap tetapi perlu menampakkan peningkatan. Kompetensi disiplin diri ini amat kita perlukan untuk perlaksanaan kerja-kerja besar kita. Tanpanya, akan terbantut banyak perkara yang kita rancang sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. Sebagai contoh, menepati masa adalah menjadi permasalahan umum sejak dulu lagi. Sepatutnya dalam kerja dakwah, anggota HALUAN perlu lebih sensitif menepati masa yang dijanjikan untuk sesuatu program kerana ia cerminan kepada akhlak kita yang cakap serupa bikin. Relawan sedang memerhati kita.

Selain itu, kita menyedari akan satu hakikat bahawa kemahiran pengurusan kewangan juga adalah ilmu yang perlu dikuasai. Kemahiran ini sangat penting kerana setiap hari kita akan menjalani urusan perbelanjaan harian dalam apa jua aspek kehidupantermasuk dalam pengurusan organisasi kewangan HALUAN.

Strategi mempertingkatkan aspek pengurusan kewangan yang meliputi diri, keluarga dan organisasi sangat-sangat penting kerana ia berkait langsung dengan salah satu skop RJPJ HALUAN iaitu Dana. Kemahiran secara tidak langsung akan menentukan hala tuju matlamat kewangan kita, aturan pendapatan dan perbelanjaan serta penjanaan wang yang teratur. Ini semua adalah manfaat yang besar untuk kerja-kerja dakwah.

Pengurusan kewangan yang baik akan membolehkan kita merencanakan hala tuju kewangan secara bijaksana, realistik dan tidak membazir. Wang terkumpul kita boleh digunakan untuk kerja-kerja kebajikan, amal kebaikan dan membangunkan ummah!

PENGURUSAN ORGANISASI YANG BERKESAN

Tanggungjawab memimpin dan mengurus organisasi adalah satu amanah yang berat daripada ALLAH SWT yang akan dipersoalkan nanti. Sungguh, kepimpinan ini amat membebankan namun kita tiada pilihan kecuali memikulnya untuk mencapai hasrat murni ini.

Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain yang dikasihi pernah menggariskan peranan kepada kita semua selaku kepimpinan HALUAN di era ini:

  1. Melahirkan kepimpinan
  2. Memperkemaskan struktur serta organisasi
  3. Mendepani cabaran

Justeru, salah satu aspek pengemasan kita dalam organisasi ialah memperkasakan proses pengurusan organisasi dan kecekapan pentadbiran HALUAN agar profesional dan berkesan. Era organik HALUAN telah berlalu dan kini kita menuju ke arah organisasi profesional. Hal ini harus menjadi kepekaan dan kesedaran kita semua bagi melonjakkan keupayaan HALUAN mendepani cabaran-cabaran semasa. Harus kita sedari bahawa kita sedang mengurus sebuah perjuangan, bukan hanya mengurus pejabat.

Satu perkara yang harus kita fahami bahawa setiap visi, misi, hala tuju dan strategi perjalanan HALUAN adalah ditentukan secara berkaedah dan diputuskan melalui kepimpinan tertinggi HALUAN melalui syura , As-Syura (42) ayat 38 bermaksud “…dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.” Kaedah yang kita rujuk adalah kaedah fiqh yang selari dengan tuntutan Islam di samping perbahasan ulama haraki yang muktabar.

Oleh itu, dalam pergerakan organisasi ini kita amat menitikberatkan dan (Fiqh Muwazonat) dalam menentukan halatuju serta strategi gerak kerja HALUAN dalam meletakkan laluan HALUAN di medan kerja. Kita akui akan hakikat bahawa kerja-kerja pembaikan ummah ini terlalu banyak dan masa serta keupayaan kita masih terhad.

Justeru, memilih keutamaan yang paling utama menjadi tugas penting kepimpinan dalam menentukan hala tuju gerak kerja HALUAN. Sebagai contoh, isu-isu semasa hari ini terlalu banyak sama ada isu politik, pendidikan atau sebagainya. Maka kita menentukan isu yang selari dengan aspirasi HALUAN yang mampu memberikan impak paling positif bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Selain itu, HALUAN amat memerlukan tenaga sepenuh masa di setiap negeri dan biro. Tidak lain dan tidak bukan, ini bagi memastikan gerak kerja lebih tertumpu dan pelbagai urusan kerja dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Seperti yang kita nyatakan sebelum ini, dakwah ini tidak lagi boleh diurus secara sambilan, perlu secara sepenuh masa bahkan ianya akan menjadi kerja lebih masa (over-time). Kerja-kerja pengurusan HALUAN terlalu banyak saat ini. Tenaga sepenuh masa umpama enjin turbo HALUAN untuk bergerak lebih efisyen dan lancar. Kita amat-amat menanti tenaga-tenaga muda yang berjiwa besar untuk bergabung secara operasi dengan tenaga veteran untuk merealisasikan cita-cita murni HALUAN.

Di samping itu, dalam melancarkan amanah kerja dan tugas-tugas organisasi di peringkat negeri mahupun biro – perlu berlaku kesesuaian (matching) di antara tugas dan kemahiran (kompetensi) ahli yang dipertanggungjawabkan. Hal ini sangat penting kerana kita ingin hasilkan kerja-kerja yang berkualiti, bermutu dan terbaik. Sekiranya masih ada kekurangan, kita wajar perlengkapkan diri dengan kemahiran tersebut bagi memastikan segala amanah yang diberikan dilunaskan sebaiknya.

Para perwakilan, pemerhati dan hadirin sekalian,

RUMUSAN

Mendepani realiti umat Islam masa kini, kita harus meletakan diri kita di barisan hadapan untuk melakarkan hala tuju yang jelas buat umat Islam. Visi HALUAN untuk memimpin dan merubah masyarakat bukanlah omongan kosong kerana kita amat-amat menyakini bahawa dunia hari ini termasuk Malaysia memerlukan Islam sebagai penyelesaian.

Tabiat Islam adalah menyelesaikan isu selari dengan fitrah manusia. Wajah Islam yang ingin kita tampilkan adalah wajah yang penuh harmoni di bawah payungan kasih sayang dan cinta. Inilah hasrat kita secara bersama.

Cabaran yang timbul di sepanjang perjuangan ini perlu didepani dengan persiapan serta kekuatan (antaranya) :

a. Kekuatan fizikal dan kebendaan. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Anfal (8) ayat 60, bermaksud “…dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) Segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

b. Kekuatan kerohanian dan pengurusan. Firman Allah SWT dalam Surah At Taubah(9) ayat 112, bermaksud: “(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, Yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).” DAN Surah al-Hajj (22) ayat 77-78; bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat), dan berjihadlah kamu pada jalan Allah Dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia lah Yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. ia menamakan kamu: “Orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan Yang salah). Ooleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah Yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.”

c. Kekuatan akal. Seperti dinyatakan dalam Surah Ali-Imran (3) ayat 190-191 bermaksud “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal; (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.”

Tanpa kekuatan, kita akan mudah berputus asa, kecewa dan lemah tenaga upaya. Justeru, yakinilah bahawa sekiranya semua ahli HALUAN berganding bahu, berpimpinan tangan secara bersama dan bersatu hati melalui jalan ini dengan penuh kesungguhan dan kesabaran – kita akan menggenggami apa yang kita impikan.

Bersama kita perbaiki kekurangan diri dan merawat kelemahan yang ada. Visi dan misi HALUAN melalui rancangan jangka panjang ke-2 (2012-2026) yang telah digariskan mampu kita capai dengan izin ALLAH.

Berbekalkan keimanan yang jitu, semangat ukhuwah dan kekuatan kompetensi yang akan dilipat gandakan, HALUAN mampu menjadi organisasi profesional bagi mendepani arus cabaran semasa dan seterusnya menjadi NGO Islam yang berwibawa.

HARAPAN

Di hujung ucapan ini, saya ingin ucapkan jutaan penghargaan buat semua atas komitmen dan kesungguhan yang tidak berbelah bagi sepanjang bersama-sama kita menggerakkan organisasi HALUAN ini. Khusus buat sahabat-sahabat dan ahli HALUAN, kita perlu merasai bahawa taklifan rabbani ini adalah taklifan sepanjang hayat. Tiada keuzuran buat kita selagi mana nyawa di kandung badan. Ubat bagi mereka yang telah pencen atau berusia bukanlah rehat tetapi jihad. Peluang yang berbaki ini sepatutnya kita lipat gandakan usaha-usaha dan amalan kita.

Buat anak-anak muda pelapis kepimpinan masa hadapan, kalian harus merasai bahawa kalianlah generasi pewaris yang akan meneruskan legasi HALUAN ini. Kami yang ada hanya menunggu masa di panggil pulang bertemu ALLAH SWT, maka besarlah harapan untuk kalian mempersiapkan diri menyambut amanah ini kelak. Buat HALUANITA, ibu-ibu serta srikandi-srikandi yang menjadi sayap kanan kekuatan HALUAN. Buat para pendidik generasi ummah, teruskan usaha-usaha kalian untuk mendidik anak-anak dengan keimanan dan aqidah yang mantap bagi mendokong urusan kerja dakwah para suami dan saling lengkap-melengkapi bagi urusan akhirat.

Akhir kata, tuntutan kerja-kerja Islam semakin membesar, maka pengorbanan, usaha, amal, infaq, komitmen kita juga wajib membesar. Kita tidak melaksanakanya bersendirian atau keseorangan. Kita bergerak secara bersama dalam berorganisasi secara penuh keamanan dan kesejahteraan. Lantas, ruh jihad perlu dikobarkan sentiasa bagi memacu amal Islami yang banyak ini.

Moga ALLAH menerima usaha kerdil kita semua melalui amal ini. Hidup ini harus kaya dengan kerja-kerja besar, cita-cita tinggi dan usaha keras tanpa henti. Perjuangan kita hanya untuk meraih redha Ilahi dan syurga ALLAH SWT.