fbpx

Tuisyen HALUAN Ipoh Terap Personal Coaching

Tuisyen HALUAN Ipoh Terap Personal Coaching

Tuisyen HALUAN Ipoh Terap Personal Coaching

IPOH, 3 Dis 2015 – Tuisyen HALUAN Ipoh telah berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Disember yang lepas di Pejabat HALUAN Ipoh. Program anjuran Biro HALUANITA Cawangan Perak ini berjaya membimbing 12 orang pelajar yang terdiri daripada lima orang pelajar Tingkatan 4 yang bakal menghadapi peperiksaan SPM pada tahun 2016 dan tujuh orang pelajar Tingkatan 2 yang akan menduduki peperiksaan PT3 pada tahun hadapan.

Tuisyen HALUAN dianjurkan dengan tujuan untuk membantu anak-anak ahli HALUAN dan pelajar-pelajar dari sekolah sekitar Ipoh dari segi akademik sebagai persediaan untuk menghadapi PT3 dan SPM. Di samping itu, pelajar-pelajar dari pelbagai sekolah ini dapat dikumpulkan semasa cuti bagi mewujudkan dan mengeratkan ikatan ukhuwah di antara mereka bukan sahaja semasa program tuisyen berlangsung tetapi diharapkan akan berterusan sehingga mereka dewasa kelak.

Seramai lima orang tenaga pengajar terdiri daripada guru-guru HALUAN telah menyumbangkan khidmat bakti mereka untuk mengajar mata pelajaran Matematik Tambahan, Matematik Moden, Bahasa Inggeris, Prinsip Akaun dan KHB Pilihan 4 (Bahagian Simpan kira).

Kelas Tuisyen ini bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi untuk sesi pertama dan sesi kedua disambung selepas rehat iaitu pada jam 10.30 pagi hingga jam 12.30 tengahari. Kudapan semasa rehat juga disediakan. Berdasarkan maklum balas, pelajar-pelajar yang menyertai tuisyen ini berpuas hati dan memahami topik yang diajar. Bilangan yang sedikit dimanfaatkan sebaik mungkin oleh guru dan pelajar dalam bentuk “personal coaching”. Penglibatan pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran amat memberansangkan. Ibu bapa pula mencadangkan supaya tempoh tuisyen dilanjutkan bagi membolehkan anak-anak mereka memanfaatkan masa cuti secara optimum.


Laporan oleh Cikgu Faridah Hanim Abdul Rahman, Pengerusi Biro HALUANITA Perak