fbpx

Travelog – Santunan Orang Asli di Musim Pandemik COVID-19

Travelog – Santunan Orang Asli di Musim Pandemik COVID-19

Travelog – Santunan Orang Asli di Musim Pandemik COVID-19

  • Destinasi : RPS Air Banun, Gerik, Perak
  • Tarikh: 23 April 2020, Khamis

0830hrs: Ini bukan kali pertama aku menyusuri lebuh raya timur barat menghala ke pantai timur tanah air tercinta. Namun trip kali kedua aku ini khas bersama pasukan HALUAN Pulau Pinang menghala ke hutan Belum terasa sangat kelainannya.

Hari ini Khamis. Esok Jumaat 24 April Ramadan bermula. Sasaran tiga buah kenderaan pikap kami sarat dengan muatan barangan dapur adalah untuk sampai ke dua buah kampung orang asli Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun di Gerik, Perak, bagi menjalankan program pembangunan sosio-ekonomi dan pendidikan mereka di sana. Jika ditanya kepada aku tentang RPS Air Banun ini di tahun-tahun lampau, pasti aku akan menggeleng kepala tidak tahu. Malah papan tanda “RPS Air Banun” di kiri bahu jalan itu pun aku tidak perasan walhal sudah banyak kali aku memandu di lebuh raya mencabar ini untuk ke Kelantan samada bercuti bersama keluarga atau atas program HALUAN.

Namun khusus di RPS Air Banun ini, ini adalah kali kedua aku sampai ke sini bersama sahabat-sahabat aku Bro. Halim, Bro. Yusman, Dr. Ikhwan, Bro Shahrul dan Cikgu Idris.

Di awal tadi aku menyebut bahawa ada keanehan semasa mengikuti misi kemanusiaan kali ini. Tidak seperti sebelumnya. Sebabnya konvoi kami bergerak semasa negara dan dunia diserang pandemik COVID-19 yang sungguh menakutkan. Semua pergerakan manusia disekat dan dikawalselia oleh pasukan keselamatan. Malahan perjalanan kami ini pun perlu dirancang rapi agar konvoi kami yang merentasi tiga negeri (Pulau Pinang, Kedah dan Perak) dapat diteruskan tanpa masalah. Bro Halim sebagai ketua misi sangat efisien orangnya. Semua kelulusan daripada pihak-pihak berkuasa diperolehi dalam beberapa hari sahaja.

1000hrs: Dua sekatan jalan kami tempuhi sebelum tiba di pinggiran Kupang berhampiran susur ke pekan Baling. Alhamdulillah, surat misi HALUAN laku rupanya, aku tersenyum sendiri. Kasihan melihat abang dan kakak polis, tentera dan RELA yang berdiri bertugas dalam keterikan matahari. Kami memang merancang awal, kami memberikan buah tangan untuk mereka melepaskan dahaga dan kepenatan. Terima kasih kepada pasukan keselamatan kita.

Hanya dua orang dibenarkan menaiki setiap kenderaan. Penumpang wajib duduk di kerusi belakang sebelah kiri. Penjarakan sosial satu meter perlu dipatuhi semaksima mungkin. Kami akur dengan peraturan itu agar tidak menimbulkan masalah di sekatan jalanraya nanti. Aku menaiki pikap dipandu Dr. Ikhwan. Muda dan tegap doktor perubatan ini. Banyak perbualan kami berkisar berkenaan projek-projek kami di RPS Air Banun. Terpancar kesungguhan anak muda ini dalam projek dakwah ini. Aku sangat bangga kerana tidak ramai pemuda seperti Dr. Ikhwan dan Bro Shahrul yang sanggup menginfak masa dan wang ringgit mereka dalam aktiviti sebegini.

Perbualan aku dengan Dr. Ikhwan terkadang ganggu dengan tarikan permandangan indah alam sepanjang lebuh raya timur barat yang menghijau tampak damai. Nikmat sungguh bila tidak perlu memandu sendiri. Tersenyum diam diri ini. Terkadang minda ku ini juga tertanya-tanya bagaimanakah agaknya penduduk orang asli di RPS Air Banun mencari rezeki di waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, dan siapakah yang sudi membantu mereka yang jauh di pedalaman sana sedangkan esok sudah 1 Ramadan.

1030hrs: Tiba di sekatan jalan yang ketiga. Tiba-tiba beberapa orang pegawai lengkap bersenjata mendekati pick-up ketua konvoi kami, Bro Halim, yang dipandu Bro Shahrul. Perhatian anggota keselamatan yang lain turut tertumpu ke arah konvoi tiga pikap kami. Sudah, apa nak jadi ni? Dokumen kenderaan pertama diperiksa, boot kargo kami diselak. Dokumen dikutip daripada setiap satu kenderaan.

“Encik sila parking di tepi sana,” kata pegawai itu, muka tidak senyum. Kami pun melepasi kon sekatan dan patuh parkir di bahu jalan di tepian rimba. Aku menoleh ke belakang. Bro Halim sudahpun turun menjelaskan sesuatu kepada polis di post berpayung itu. Dia kemudian diarahkan masuk ke base operasi mereka. Ada bangunan kecil di celahan pepohon kayu. Kena mengadap pegawai tinggi. Ya Allah, takkanlah kami akan disuruh berpatah balik ke Pulau Pinang. Inikan belum masuk sempadan Kelantan!

Selepas itu aku nampak Bro Shahrul pula yang turun dari lead pikap. Selamba dia sembang dengan anggota-anggota bertugas di bawah payung kecil itu. Yang cemasnya, aku lihat segala kereta awam, bas dan trak lain semuanya berlepas pergi dari dua arah bertentangan tanpa banyak soal. Tetapi tidak dengan konvoi kami.

Enam minit paling lama dalam hidup ku. Kemudian, Bro Halim muncul semula dalam cermin sisi pikap Dr. Ikhwan. Wuh, lega. Memang arahan SOP kepada kami sebagai sukarelawan untuk tidak turun melainkan ketua sahaja. Halim memulangkan setiap satu salinan surat yang dikutip daripada kami tadi. Kami diizinkan berlepas. Lega. Shahrul pun menghulurkan satu beg berisi uncang sachet kopi segera dan beberapa snek untuk para petugas menyegarkan mata mereka. Bukan mudah kerja berkawal dalam kawasan berhutan begitu.

Sesampai kami di lokasi, barulah Bro Halim cerita apa yang terjadi. Rupanya ketua pegawai kawalan keselamatan ingin beramah mesra dengan konvoi kami kerana beliau mendapat semboyan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik bahawa akan ada satu konvoi NGO bernama HALUAN bakal melalui lebuh raya itu. Kepastian laluan kami perlu dilaporkan balik kepada pusat mereka.

Sudah tiga pos kawalan keselamatan ditempuhi. Ada lagikah?

Aku merasakan sungguh berbeza perjalanan kali ini, mungkin kerana suasana untuk berhadapan dengan bulan Ramadan yang akan tiba, mungkin juga hati ini sudah mula merasa lunak dengan program bantuan orang asli di RPS Air Banun, mungkin juga hati ini telah dilimpahkan rasa kasih dorongan sahabat– sahabat yang turut serta pada kali ini, tiga daripada mereka sudahpun menjangkau usia 60an, sehinggakan perjalanan selama hampir tiga jam terasa sebentar sahaja.

Pak Enjok (kiri) bersama relawan HALUAN P.Pinang di pos pengawal
Pos kawalan terakhir di RPS Air Banun

Dua kali konvoi kami melintasi jambatan Pulau Banding dengan pemandangan indah yang tidak pernah menjemukan. Sekali lagi kami mendaki Banjaran Titiwangsa. Akhirnya nampak papan tanda RPS Air Banun di sisi jalan. Lega, sebab sudah hampir sampai. Kenderaan dipandu Bro. Yusman kali ini diminta ke hadapan sekali. Kerana beliau dikenali oleh orang asli di situ.

Memang tepat. Tidak sampai tiga minit setelah konvoi kami mula menuruni jalan kecil desa menuju ke RPS berkenaan, di situ ada lagi pos kawalan terakhir yang dikawal sendiri oleh pasukan RELA orang asli. Untuk melepasi kawalan ini, permit khas diperlukan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Tanpa permit, orang luar tidak dibenarkan masuk demi menjaga kesihatan orang asli daripada terkena jangkitan wabak itu. Di pos berkenaan kami ditahan.

Pantas Bro. Yusman turun menyapa beberapa ahli RELA orang asli yang kenali beliau. “Mana awak punya Pak Enjok?” dia tanya. “Ituu…sanaa,” jawab salah seorang anak muda RELA dalam loghat bahasa Jahai. Kami mencari ke arah telunjuknya. Rupanya di antara celahan belukar ada khemah didirikan. Hampir sahaja kami tidak dapat mengesaninya.

Relawan kami yang lain yang sudah berjam-jam berPKP dalam kenderaan tidak melepaskan peluang untuk turun beramah mesra dengan Pak Enjok sebagai ketua RELA dan anggota-anggota beliau. Orang tua yang menghampiri usia 70 tahun itu memang sudahpun mengenali kami sejak lama. Dia seorang yang dihormati di Kampung Sungai Raba. HALUAN tidak asing lagi di RPS berkenaan. Itulah seni dakwah yang bagi aku sangat bernilai yang aku perlu pelajari daripada seniors kami ini. Tampak kemesraan dalam persaudaraan. Tiada kemesraan dalam persaudaraan melainkan ianya hadir melalui keikhlasan. Sungguh itulah yang aku nampak pada mereka ini. Sekali lagi buah tangan kopi dan koko serbuk dihadiahkan kepada pasukan RELA ini.

1130 hrs: Kami teruskan pemanduan menuruni bukit curam ke arah destinasi kami – Kampung Air Banun dengan 100 penduduknya. Aku agak teruja apabila hampir tiba ke situ.

Semakin hampir ke Kampung Air Banun, hati aku bagaikan melonjak kerana ingin sekali melihat apakah keadaan projek tanaman yang diusahakan semasa pertama kali aku mengikuti program ini. Konvoi kami pun perlahan masuk ke kampung. Seolah kosong tiada penduduk. Sudah lazim terik mentari mereka akan berteduh di rumah. Muncul Tok Batinnya, Ceknekleg, 71 tahun, dengan ukiran senyumannya melihat logo HALUAN di semua kenderaan kami. Dia dahulu yang berikan salam, dan berhenti dalam jarak tiga meter sambil melekapkan tangan kanan ke dada kirinya.

“Ta bulih salaam…,” ujar beliau sambil tersenyum manis trademarknya. Lazimnya semasa dahulu, dia akan merapati dan memeluk Bro. Halim dan Bro Yusman. Mengerti rupanya orang asli ini dengan kempen keselamatan COVID-19 ini, aku tertawa kecil sendirian. Bagus JAKOA dan Pejabat Kesihatan Gerik mengajarkan mereka.

Muncul pula orang kedua, Naib Tok Batin bernama Pak Dalong, 70 tahun, menyambut kami dengan mesra sekali. Ceria sungguh wajahnya bila ternampak Bro. Halim ada sama dalam rombongan kami. Halim menceritakan hasrat kami untuk sampaikan bahan makanan kering untuk mereka. Mereka mengucapkan syukur.

Pak Dalong melihat aku terus menyapa dengan penuh mesra, sungguh dia masih ingat akan aku. Terasa diri ini diterima dengan baik oleh mereka ini.

Aku terus mengikuti Bro Halim ke tapak projek tanaman untuk melihat perkembangan tanaman yang kami usahakan bersama mereka. Panjang lebar kedengaran Pak Dalong menceritakan berkenaan projek tanaman tersebut. Tidak banyak butiran yang aku dengar melainkan berkenaan kejadian sekumpulan gajah memasuki kawasan projek tanaman tersebut. Bermacam imiginasi melintasi kotak fikiran aku akan kerosakan yang dilakukan oleh sekumpulan gajah ini.

Lantas Pak Dalong yang menjadi nadi projek pembangunan ekonomi pertanian kami di kampung ini melaporkan bahawa babi hutan juga telah serang tanaman pemberian kami! Wajahnya yang tadi ceria bertukar sedih, mata terpaku kepada Bro. Halim yang sama tampak cemas dengan apa yang telah berlaku.

“Bila ni terjadi? Berapa ekor gajah? Rosak habis semua ka?” kami bertanya dia bertubi. Hati jadi tak sedap. Aku yang berdiri di sisi juga teruja kerana aku salah seorang relawan yang membawa pasukan pemuda HALUAN Pulau Pinang mengerjakan tapak pertanian harapan kami itu; agar mata pencarian mereka lebih terjamin bila ada tanaman kontan yang boleh dijual di pasar Gerik. Bro. Halim dan aku pantas mengajak Pak Dalong ke tapak menyeberangi sungai yang kebetulan airnya musim cetek.

Pak Dalong (kiri) bawa relawan HALUAN tinjau tapak pertanian yang diserang binatang liar
Seberangi sungai. Musim hujan lebat ia tidak dapat diseberangi

Sesampai di kawasan projek tanaman tersebut, kami terus meninjau tanaman. Kami tarik nafas lega kerana hanya tanaman ubi kayu dan keledek sahaja yang musnah disondol babi. Tanaman bernilai tinggi pokok limau nipis dan serai yang diusahakan masih dalam keadaan yang baik. Kami sedar bahawa tempoh larangan PKP fasa pertama dahulu terlalu lama sehinggakan bekalan cecair pencegah serangan binatang buas habis dalam simpanan mereka. Tapi kali ini, kami bawakan stok baru untuk diserahkan kepada koordinator pembangunan Air Banun kami, Ustaz Askee Ali.

Masa amat mencemburui kami. Sekembali aku di dewan kampung, terlihat beberapa pemuda orang asli bersama Bro Shahrul, Dr Ikhwan dan Cikgu Idris sedang sibuk memunggah turun pek bantuan makanan.

Shahrul (kanan) dan Dr Ikhwan punggah turun kargo pek makanan
Tok Batin Ceknekleg (kanan) wakil terima pek makanan daripada Bro Halim disaksikan koordinator kampung Ustaz Askee (kiri sekali)

Aku nampak keceriaan di wajah mereka apabila memunggah turun beras, minyak masak, tepung, gula dan sebagainya yang sudah dipekkan dengan rapi. Kanak-kanak kampung yang sudah terbiasa dengan HALUAN turut sama meriuhkan suasana tengahari itu. Mereka sudah kenal logo HALUAN. Tetapi mereka tidak dapat mengeja. Kerana 100% penduduk kampung ini buta huruf.

Tersemat di dada ku cita-cita mencelikkan mata hati anak-anak kampung ini agar ada yang akan mampu bersekolah pada tahun 2021 nanti. Memang itupun objektif kedua HALUAN Pulau Pinang di RPS Air Banun.

Yang pertama memampukan penduduk kampung berdikari bercucuk tanam tanaman komersil demi pendapatan yang lebih stabil. Kedua mengajar kanak-kanak kecil mereka mengenali huruf, membaca, mengira dan seterusnya tidak malu untuk pergi ke sekolah untuk menimba ilmu.

Buat kali ini, aku harap bantuan makanan kering ini akan dapat meringankan kesusahan yang mereka hadapi sepanjang tempoh PKP dan bulan Ramadan yang akan datang. Aku berjanji pada diri ku, dan juga kepada orang kampung, bahawa aku akan kembali semula ke sini bulan Mei nanti sebelum tibanya Aidil Fitri.

1220hrs: Kami turun pula ke Kampung Sungai Raba bertemu dengan Tok Batinnya, Encik Ali Bah Pintu yang berusia awal 50an. Kami ulangi pemberian pek makanan di situ untuk 44 buah keluarga lagi. Nasi bungkus yang dibeli di Kupang pagi tadi dihidangkan, dimakan bersama Tok Batin dan beberapa orang pengikutnya. Jarak keselamatan satu meter sentiasa dijaga.

1445hrs: Selesai solat zuhur, ke tandas dan upacara menyerahkan pek makanan serta menyantuni anak-anak kecil, kamipun mula beredar pulang ke Pulau Pinang dengan seribu satu kenangan. Aku buat pertama kali solat jamak berjarak 1.5 meter dari makmum sebelah diimamkan oleh Cikgu Idris. Terasa sayu di hati terpaksa meninggalkan kampung-kampung yang hening ini yang dihuni oleh insan-insan yang tulus hati dan pemikiran mereka. Tekad aku mahu kembali lagi bersama trip kemasyarakatan HALUAN ini di kesempatan lain.

Kesempatan berbaki beberapa hari sahaja lagi Ramadan ini harus kita manfaatkan untuk berderma untuk projek dakwah orang asli ini. Anda juga beroleh saham akhirat bila membantu kami dalam dakwah mulia ini. Silalah menderma seikhlas hati ke akaun:

HALUAN Pulau Pinang
Maybank 5572 5006 2982
Whatsapp: “Orangasli” ke telefon Bro Halim 019- 464 4357


Coretan Saiful Azmi Omar (NYDP 3, HALUAN P.Pinang)


Orang Asli Air Banun – Fasa 2

RM2,810 of RM70,520 raised
RM
Select Payment Method
Log In to Your Account (optional)

Donation Total: RM50.00

Tok Batin Ali (tiga dari kiri) terima barang daripada Bro Halim (vest kuning)
Ustaz Askee (tengah) saksi pemberian hadiah kepada anak kampung