fbpx

Transition Orientation Program (TOP) Bulatkan Tekad Bakal Houseman & New Dental Officer

Transition Orientation Program (TOP) Bulatkan Tekad Bakal Houseman & New Dental Officer

Transition Orientation Program (TOP) Bulatkan Tekad Bakal Houseman & New Dental Officer

BANDAR BARU BANGI, 28 Okt 2017 – Bengkel persediaan menjelang memasuki alam pekerjaan untuk bakal houseman dan pegawai pergigian baru, Transisi & Orientasi (TOP) siri ke-3 di sini mendapat perhatian lebih 40 orang peserta, termasuk pegawai perubatan, pergigian serta pakar.

Program anjuran Biro Kesihatan HALUAN ini diadakan saban tahun untuk mempersiapkan ahli-ahli HALUAN agar cakna dan mampan di alam kerjaya nanti . Program tersebut berbentuk motivasi, praktikal dan perkembangan terkini berkaitan program pegawai pasca siswazah. Peserta beroleh worldview yang lengkap tentang profesion mereka kerana dibantu oleh sukarelawan Biro HALUAN Fitrah yang banyak pengalaman. Program dimulakan dengan slot motivasi pagi bersama Ustaz Naqib Hamdan diikuti penyampaian oleh Dr. Roniyuzam Abdul Malek berkenaan sistem terbaru pegawai perubatan siswazah di bawah tajuk ‘Journey of a Thousand Steps’. Menurut beliau yang juga Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, sistem kontrak diperkenalkan bagi menampung ramainya bilangan graduan perubatan dan pergigian yang lulus saban tahun. Justeru, adalah disarankan agar bakal pegawai perubatan siswazah mampu menempuh alam pekerjaan dan berdaya saing dalam lapangan agar dapat diserap dalam jawatan tetap di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ketua Jabatan & Pakar Perunding Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sungai Buloh, Dr. Ahmad Zabidin Zakaria pula berkongsi tajuk ‘Stress Management’. Beliau mengetengahkan langkah dan cara-cara menangani stres sewaktu bekerja. Katanya, persediaan diri dan langkah menangani stress perlu bermula dengan diri sendiri di samping perlunya kumpulan sokongan.

‘Money Matters’ juga tajuk penting dalam program TOP kali ini, apatah lagi untuk doktor muda yang akan mula memegang pendapatan sendiri. Tahukah mengurusnya dengan bijak? Slot ke empat ini disampaikan oleh pegawai perubatan Jabatan Pediatrik Hospital Kulim, Dr. Nurulhusna Ahmad Sani. Beliau mendasari penyampaiannya dengan petikan ayat ke 46, Surah Yusuf. Program diteruskan lagi dengan upacara perasmian dan pengenalan ahli kepada Biro Kesihatan HALUAN oleh Ketua Biro sendiri, Dr. Ahmad Zabidin Zakaria.

Slot sebelah petang diadakan berasingan untuk graduan perubatan dan pergigian. Antara acara yang dilaksanakan ialah sesi forum, dialog terbuka berkenaan realiti kehidupan sebagai pegawai perubatan/pergigian siswazah, serta simulasi skil dan komunikasi. Tidak lupa juga diselitkan adalah slot perancangan kerjaya masa depan. Rata-rata peserta aktif melibatkan diri dalam sesi soal-jawab dan lakonan simulasi kes. Menurut Dr. Aimi Ishak, graduan perubatan Universitas Hasanuddin, Indonesia, sesi berasingan ini membuka mata beliau serta banyak membantu terutamanya dalam menghadapi situasi sebenar alam kerjaya sebagai pegawai perubatan siswazah.

Bengkel TOP tamat pada pukul 6 petang, meninggalkan semangat dan tekad membara buat para graduan perubatan dan pergigian untuk meneruskan langkah dalam alam kerjaya. Ada di kalangan peserta berhasrat untuk menyertai lagi TOP pada tahun hadapan untuk memperolehi input yang baru.


Laporan oleh Dr. Nurulhuda Ahmad Sani, Biro Kesihatan HALUAN