fbpx

TOP Orientasikan Kerjaya Pegawai Muda

TOP Orientasikan Kerjaya Pegawai Muda

TOP Orientasikan Kerjaya Pegawai Muda

BANDAR BARU BANGI, 14 Nov 2015 — Satu program yang dianjurkan khusus oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) untuk membimbing pelajar tahun akhir dan graduan pasca-siswazah (HO, FYDO, PRP) yang mengambil jurusan kedoktoran, pergigian dan farmasi telah berjaya dilaksanakan buat pertama kalinya.

Program yang diberi nama ‘Transition Orientation Program’ (TOP) ini direka khas untuk memperkenalkan sistem kesihatan Malaysia dan survival sebagai pegawai muda dalam perkhidmatan nanti, cara-cara menjadi pegawai yang produktif dalam segenap aspek, menyediakan hala tuju kerjaya sebagai pegawai perubatan, doktor pergigian dan ahli farmasi dan juga memberikan pendedahan mengenai komunikasi yang berkesan semasa berkerja dan berdakwah.

Program selama satu hari ini telah dihadiri oleh 18 peserta yang sedang menjalani latihan pasca-siswazah (housemanship) di hospital kerajaan di seluruh negara dan empat orang pelajar jurusan pergigian dan kedoktoran.

TOP telah dirasmikan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Kelab Kesihatan HALUAN (KKH), Dr Wan Muhaizan Wan Mustaffa. Kemudian, Prof Madya Dr. Engr Solehuddin Shuib membentang tajuk Kualiti Amilin diikuti Expectation and Workscope As New Officers oleh Dr Basir Towil. Para peserta dipisahkan kepada dua kumpulan mengikut profesion untuk penyampaian yang lebih tertumpu kepada bidang kerjaya masing-masing. Dr Basir Towil mengendalikan slot untuk peserta perubatan dan farmasi, manakala Dr Nusaibah Mutamainnah dan Dr Hanisah Hamdan pula untuk peserta pergigian.

Aspek komunikasi tidak dapat dipisahkan dengan kerjaya kedoktoran, pergigian dan farmasi. Ini kerana ketiga-tiga profesion tersebut terlibat secara langsung dengan pesakit dan juga staf-staf kesihatan yang lain. Menurut Dr Farhan Hadi di dalam penyampaiannya dalam slot Menawan Hati Melalui Komunikasi, antara kesalahan-kesalahan yang dilakukan ketika berkomunikasi ialah bercakap dengan kasar, menipu dalam percakapan, tidak menunjukkan minat dalam percakapan dan bersikap tidak professional.

Bagi melengkapkan peserta dengan pengurusan kewangan yang efektif, slot 4 yang bertajuk Pengurusan Kewangan telah disampaikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Perubatan UiTM, Prof Dr Zamrin Dimon.

Sementara itu, tajuk yang tidak dapat dipisahkan dengan latihan pasca-siswazah ialah Pengurusan Tekanan. Antara ilmu yang dikongsikan oleh Dr Ahmad Zabidin Zakaria, pakar psikiatri dari Hospital Sungai Buloh dalam penyampaiannya di sesi petang ialah pengertian tekanan, faktor-faktor tekanan dan cara mengendalikan tekanan sekeliling.

Slot terakhir telah diisi dengan forum yang para panelisnya terdiri daripada HO, Dr Ali Noor Hanis; pakar perubatan kecemasan, Dr Illiana Syahmun Mohd Razally dari Hospital Bukit Mertajam; dan pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang, Dr Fauziah Hanafiah. Isu-isu yang dibincangkan dalam forum ini berkisar tentang kerjaya, dakwah dan tarbiyah serta keluarga.

Pusingan pertama membincangkan tentang career pathway, pengimbangan kerjaya dan ibadah, serta motivasi untuk meneruskan housemanship. Pusingan kedua pula mengenai dakwah dan tarbiyah yang merangkumi teknik komunikasi berkesan dengan staf sokongan, kesibukan berkerja dan impak terhadap dakwah dan tarbiyah serta cara-cara untuk kekal istiqamah dalam penerusan dakwah dan tarbiyah dalam kerjaya.

Program diakhiri dengan resolusi daripada Dr Basir Towil dan juga perkongsian daripada Dr Suraiya Ibrahim. Menurut salah seorang peserta, Dr Nabilah Rubani yang sedang bertugas di salah sebuah hospital di Johor, “Alhamdulillah, kerana Allah telah pilih saya untuk menghadiri satu program yang mana di sana berhimpun hati-hati yang mendambakan cinta Allah SWT. Mengalirkan cinta dan cahaya, sehingga seluruh jagat raya juga dapat merasainya. Alhamdulillah, pada pagi ini, saya dapat bangun dan dapat melafazkan: ‘hari ini saya bekerja kerana Allah’ dan hari ini juga nafas sewaktu bekerja sedikit berbeza dengan hari-hari sebelum ini. Penat seakan tidak terasa. Alih-alih sudah tiba jam pulang.

Menurut Prof. Dr. Zamrin Dimon yang juga Ketua Biro Profesional HALUAN, TOP ini didapati sangat berjaya dan menganjurkan agar KKH melaksanakannya lebih daripada sekali dalam setahun. Beliau juga menyarankan agar KKH membuka peluang kepada lebih ramai graduan lain yang bukan ahli HALUAN untuk menyertainya.

Laporan Dhabitah Thaqifah Yaziz, AJK Media TOP