fbpx

Titik Terdekat Kita Dengan Allah SWT

Titik Terdekat Kita Dengan Allah SWT

Titik Terdekat Kita Dengan Allah SWT

Ada sebuah kisah. Tercatat utuh dalam sirah.

Seorang sahabat Rasulullah SAW, Rabiah bin Kaab namanya. Beliau berkongsi pengalaman ketika bermalam bersama junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW pada suatu malam.

“Di waktu malam, aku menghampiri Rasulullah SAW dengan menghantarkan air wudhu dan beberapa keperluan yang lain.”
Lalu Rasulullah SAW bertanya kepada ku dengan penuh lemah lembut :
“Apa yang engkau cita-citakan, wahai Rabiah?,”
Rabiah membalas dengan penuh penghormatan: “Aku ingin menemanimu di Syurga!,”
Rasululllah SAW bertanya lagi: “Selain itu, wahai Rabiah?,”
Rabiah menjawab: “Sama sahaja Ya Rasulullah, aku hanya ingin menemanimu di Syurga.”
Rasulullah SAW dengan wajah yang tenang mengatakan : “Jika demikian, bantulah aku untuk mewujudkan apa yang engkau inginkan itu dengan memperbanyakan sujud.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Ketika kami menyelusuri sirah ini, luluh hati dengan sentuhan perasaan yang mendalam. Banyak ibrah, pengajaran dan tauladan yang kami amati dalam sirah yang ringkas ini. Betapa mendalamnya kecintaan seorang sahabat kepada baginda Rasulullah SAW, dan sesungguhnya cita-cita kehidupannya begitu konkrit pada dirinya.

Lalu Rasulullah SAW memberikan panduan yang pada hakikatnya sangat berguna dan bermanfaat buat kita semua – iaitu melipat gandakan usaha untuk meletakan dahi kita ke tanah, dalam rangka sujud merendahkan diri di hadapan Rabbul Jalil!

Sahabat pembaca yang budiman,

Sujud adalah simbol ketundukan, ketaatan, pergantungan dan kepasrahan kita kepada Allah SWT.

Sujud itu adalah tanda hancur leburnya semua benih keegoan, kesombongan dan keangkuhan yang tertanam dalam diri kita di hadapan kuasa Allah SWT.

Dan sujud itu juga ialah perakuaan bahawa kita adalah hamba yang kerdil, hina dan lemah!

Banyak bersujud merupakan kehidupan dan amalan para Rasul, sahabat dan generasi salafusoleh. Mereka mencintainya dan gemar bersujud. Bahkan daripada sujud ini, mereka memperolehi kelazatan, kemanisan dan kenikmatan yang tiada taranya.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: “Bagiku dunia ini tiada mempunyai apa-apa nilai kecuali kerana tiga perkara:-
pertama, di dunia aku boleh mengutip mutiara ilmu di dalam majlis ilmu,
kedua, di dunia aku boleh meletakan dahiku ke tanah untuk sujud menyembah Allah SWT, dan
ketiga, di dunia ia bernilai kerana aku boleh berjihad di jalan Allah SWT.”

Bahkan Ali bin Abdullah bin Abbas, salah seorang tokoh generasi tabi’in, mendapat gelaran dan jolokan sajjad kerana ia adalah orang yang sangat gemar melakukan sujud. Diriwayatkan Ali Bin Abdullah Bin Abbas dalam satu hari mampu melakukan sujud lebih daripada 100 kali.

Allah SWT memerintahkan kepada makhluk yang paling dicintainya, Rasulullah SAW dalam firman-Nya: “Wasjud Waqtarid” – Dan sujudlah dan dekatlah kepada Allah SWT. (Surah Al-Alaq : 19).

Maka, sujudlah dan mintalah kepada Allah apa sahaja kebaikan yang kita inginkan. Kerana ketika sujud kita berada di titik terakhir yang paling hampir dan dekat dengan Allah SWT. Jelas seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Posisi seorang hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam posisi sujud.”
(Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat pembaca yang dimuliakan,
Sujud syukur, sujud tilawah, atau sujud dalam solat – semuanya adalah kesempatan, peluang dan ruang untuk kita berada sangat dekat dengan Allah SWT. Kerana itu bersegeralah untuk bersujud, jika kita hajatkan ketenangan, kebahagian dan ketenteraman.

Ketika kita terumbang-ambing dengan tekanan kehidupan, terlentur dengan banyaknya ujian serta dugaan kehidupan dan kita ingin keluar daripada cengkaman kesulitan itu, maka bersujudlah.

Di saat kita terseret oleh kedahsyatan arus dunia yang menggila dan tenggelam serta terbawa oleh gelombang kesibukan dan gemerlapnya dunia – maka datanglah mendekat dan menghampir kepada Allah SWT dan sujudlah.

Ada waktu, kerinduan kita menguat kepada Allah SWT. Terasa dalam buah kecintaan kepada-Nya. Maka datanglah menghadap kepada Allah SWT, dan sujudlah kepada-Nya.

sujud-02Namun lidah kita sering beralasan:
Keletihan, kelelahan dan kepenatan dalam mengejar dunia, selalu menjadi kita manusia yang menjuarai pentas tipu daya dunia. Kita bergerak bagaikan robot yang diprogram untuk “sibuk”, “sibuk” dan “sibuk” dengan keindahan dunia.

Kesibukan, kekalutan dan keterikatan dengan rutin kerja harian, sering menjauhkan kita daripada Allah SWT. Lalu amalan-amalan yang dilakukan hanya menjadi bebanan yang memberatkan. Justeru tanyalah diri kita – di manakah Allah SWT di dalam hati kita?

Jika kita hamba yang jujur dan sejati, carilah jawapan dalam sujud kita. Melatih diri dengan memperuntukan masa untuk merendahkan diri menyentuh tanah di dahi – adalah suatu amalan yang akan merawat segala kemelut jiwa yang kita alami selama ini.

Hancurkanlah sekecil mana pun kesombongan kita di hadapan-Nya. Hempaskanlah semua kebanggaan yang melekat di dinding-dinding hati kita.

Rasailah keadaan hampa, pasrah dan penuh berserah sepenuhnya dalam detik demi detik di titik sujud yang kita lakukan. Benamkanlah seluruh perhatian dan pemikiran pada suasana khusyu’, tunduk, taat dan patuh hanya kepada Allah SWT.

Saudara dan sahabat pembaca sekalian, cubalah dengan sentiasa bersujud kepada-Nya, insya Allah kalian akan memperolehi sesuatu yang belum pernah kalian rasai dan alami.


Artikel tulisan BroHamzah (http://brohamzah.blogspot.com)

Anda boleh turut menyumbang artikel bermanfaat kepada mediaHaluan@yahoogroups.com. Semua artikel tertakluk kepada kelulusan atau suntingan oleh pihak editor.