fbpx

Tips Individu Yang Berjaya

Tips Individu Yang Berjaya

Tips Individu Yang Berjaya

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kemaluannya; kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela; kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi (syurga).” (Al-Mukminun: 1-10)

Sesekali mendengar surah ini dibaca oleh Mishary Rashid di Youtube.com, kita akan rasa sangat bersemangat di selang-seli dengan perasaan resah, gelisah dan akhirnya gembira. Bacaannya yang syahdu dan tertib pasti menyentuh hati. Sepuluh ayat ini memberi peringatan yang ringkas tetapi amat bermakna di dalam diri kita.

Ada tujuh sifat yang diterangkan Allah swt melalui sepuluh ayat ini sebagai panduan dan pengajaran kepada kita untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Sifat pertama ialah sembahyang dengan khusyuk. Erti khusyuk ialah dengan penuh minat atau sepenuh hati, jika melaksanakan sembahyang ia boleh dikatakan merendahkan hati di hadapan Allah swt dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Kita sentiasa berusaha untuk mendapat khusyuk di dalam sembahyang melalui niat yang betul, menjaga tertib, memahami pengertian ayat-ayat al-quran yang dibaca, membataskan pergerakan fizikal, menumpukan penglihatan ke arah tempat sujud dan mengelak daripada sebarang gangguan.

Sifat kedua ialah menjauhkan perkataan dan perbuatan yang sia-sia. Hari ini terlalu banyak maklumat yang kita baca setiap hari sama ada melalui Internet, surat khabar, majalah ataupun gosip di kedai kopi. Ketika mendapat maklumat ini pasti terdetik di hati kita berbagai-bagai pendapat yang menimbulkan rasa benci dan iri hati.

Bagi mengelakkan diri kita daripada mengeluarkan perkataan dan melakukan perbuatan yang sia-sia, kita wajar memahami kepentingan menjaga mulut dan kaki tangan, berfikir sebelum bercakap, insaf bahawa setiap yang dilakukan sentiasa dicatat oleh malaikat, mengambil sikap berdiam ketika perlu, berhikmah ketika berbual dan bersikap lapang dada jika tersentuh hati kerana kadangkala kita dicucuk oleh syaitan untuk berasa marah dan emosional.

Sifat ketiga ialah menyucikan harta dengan berzakat. Negara kita adalah di antara negara yang menginstitusikan zakat di peringkat persekutuan dan negeri. Sistem pungutan dan agihan zakat yang teratur akan mempastikan golongan asnaf menerima hak mereka.

Zakat termasuk dalam hal ekonomi dan berzakat dikatakan membersihkan harta. Di sinilah Islam membina sistem perekonomian dengan menambahkan lagi harta si kaya dan pada masa yang sama mendidik mereka untuk memberikan sebahagian harta mereka kepada golongan yang berhak.

Sekiranya tidak mampu berzakat, kita boleh bersedekah atau membantu orang ramai yang kesulitan. Sebaik-baiknya sedekah dilakukan secara sukarela. Hendak mencari orang susah adalah lebih mudah kerana hampir setiap hari media menyiarkan kesusahan orang ramai di seluruh negara. Bergantung kepada kebijaksanaan kita untuk mencari mereka.

Sifat keempat ialah menjaga kemaluan atau kehormatan diri. Dunia hari ini penuh pancaroba. Melangkah keluar dari rumah, makruf dan mungkar sama-sama kuat menarik perhatian kita. Bercampur di antara lelaki dan perempuan menjadi lumrah khususnya di tempat keramaian, berjabat tangan dengan bukan muhrim juga dianggap biasa malah adegan ringan-ringan seperti berpegang tangan, berpeluk dan cium-ciuman sudah tidak ada yang menegur.

Bagi orang muda yang belum berkahwin, mereka perlu berusaha untuk berkahwin secepat mungkin kerana alam rumah tangga memberi kedamaian dan kebahagiaan. Berkahwin juga menjadikan pemikiran dan jiwa lebih tenang.

Sifat kelima ialah menjaga amanah. Sifat amanah adalah berat dan dilaksanakan dengan bertanggungjawab. Orang menilai sifat amanah melalui pelaksanaan yang telus dan berprinsip.

Amat sukar untuk mencari orang yang beramanah pada hari ini lebih-lebih lagi di kalangan pemimpin. Justeru, kita wajar menanam azam untuk mendidik anak-anak dan rakan-rakan dengan sifat amanah supaya masyarakat dan negara tidak punah di tangan pemimpin yang pecah amanah.

Tuntutan-tuntutan amanah pula merangkumi perkara-perkara fardhu dalam agama, tanggungjawab kepada orang Islam, amanah ke atas anggota badan, memelihara waktu (tidak lagi dipanggil dengan ‘janji Melayu’), amanah terhadap ilmu, harta, menjaga rahsia orang lain dan menyimpan kukuh perkara-perkara dalam perbincangan.

Sifat keenam ialah setia pada janji. Hari ini terlalu ramai orang yang berjanji. Ada janji betul dan ada janji palsu. Agak hairan kenapa ada yang mahu berjanji palsu. Alahkah baik berterus-terang jika tidak dapat membantu atau menyediakan sesuatu yang diminta supaya orang lain tidak tertunggu-tunggu.

Andai kata kita ditipu dengan janji-janji palsu, tidak perlulah untuk mengutuk atau mencaci kerana pasti ada sesuatu yang menimpa orang berkenaan. Apabila masa mengizinkan, bolehlah dituntut untuk membuat penjelasan supaya tidak timbul fitnah dan dendam di kemudian hari.

Sifat ketujuh ialah tetap memelihara sembahyang. Sembahyang adalah tiang agama dan sangat penting. Ia menjadi kayu ukur kepada penilaian Allah swt kelak. Pentingnya sembahyang ini ada dalam semua perkara, dari masuk waktunya hingga berwirid.

Ramai yang tidak sedar kenapa Allah swt mewajibkan lima kali sembahyang pada waktu yang berbeza. Kajian dalam perubatan cahaya menunjukkan setiap kali masuk waktu sembahyang, frekuensi cahaya juga bertukar. Ia memberi kesan kepada kulit manusia. Bagi orang Islam, wajib untuk berwudhuk. Ia secara langsung memberi kesegaran kepada sel-sel kulit dan bahagian anggota wudhuk. Kajian lanjut ada dalam Color Vibration Therapy.

Bagaimanapun fadhilat berkenaan bukanlah asas kepada wajib melakukan sembahyang lima kali sehari sebaliknya sebagai umat Islam, tidak perlu ada soalan kenapa diwajibkan solat. Sebaik sahaja diwajibkan melakukannya, beribu-beribu kebaikan yang kita akan dapat secara sedar ataupun tidak sedar.

Dalam ayat yang ringkas, surah al-mukminun memberi peringatan dan panduan kepada kita untuk berjaya di dunia dan akhirat. Kita tidak perlukan seseorang yang bertaraf pakar untuk mengubah hidup sebaliknya jika kita beramal dengan sepuluh ayat dari surah ini, ia cukup merangsang kualiti hidup kita.