fbpx

Tinjau Tapak Pertanian Kampung Orang Asli

Tinjau Tapak Pertanian Kampung Orang Asli

Tinjau Tapak Pertanian Kampung Orang Asli

AIR BANUN, GERIK, 28 Okt 2018 – HALUAN cawangan Pulau Pinang sedia membantu aktiviti pertanian kelompok orang asli di Kampung Air Banun di sini sebagai inisiatif mempertingkatkan pendapatan penduduk kampung berkenaan.

Semalam sepasukan tiga orang sukarelawan HALUAN telah meninjau kawasan kampung berkenaan demi mengenalpasti cabaran yang bakal dihadapi oleh penduduk sekiranya projek berkenaan dijalankan. Mereka telah melawat kawasan kampung berkenaan serta cadangan tapak permulaan penanaman bendi dan terung.

Menurut ketua sukarelawan, Dr. Ahmad Ikhwan Subberi, tanaman penduduk Kampung Air Banun sering diganggu oleh haiwan seperti gajah liar dan babi hutan yang merosakkan tanaman getah, sayuran dan jagung mereka. Ini memberi impak sosio-ekonomi yang besar kepada penduduk berkenaan yang tertekan bila sumber pendapatan mereka untuk menyara keluarga terjejas.

“Kami difahamkan masalah gangguan haiwan ini bertambah runcing sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana semakin banyak gajah-gajah liar yang ditangkap di daerah dan negeri lain oleh pihak Perhilitan telah dilepaskan di daerah Gerik, terutamanya di sekitar hutan simpan kekal Tasik Banding. Gajah-gajah ini ada yang sudah terbiasa dengan manusia dan menjadi sukar untuk dihalau bila mereka mula menceroboh kawasan kampung dan memakan hasil tanaman penduduk orang asli seperti pisang, ubi, serai, jagung dan sayuran. Akibatnya, punca pendapatan daripada hasil pertanian mereka terjejas teruk,” kata beliau kepada wartawan HALUAN.

Menurut timbalan Tok Batin kampung, Encik Dalong, serangan oleh gerombolan babi hutan turut menjejaskan hasil tanaman penduduk seperti ubi kayu, ubi keledek dan kacang tanah, termasuk serai. Beliau turut membawa kumpulan sukarelawan HALUAN melawati trek laluan gajah dan babi hutan di lokasi berkenaan.

“Beberapa bulan lepas, saya menanti hasil tanaman serai saya membesar. Cadangnya keesokkannya saya akan tuai dan bawa jual ke pasar Gerik. Tiba-tiba pada malam sebelumnya, segerombolan babi hutan telah masuk ke ladang saya; habis dibungkaskan serai saya sehingga tiada apa lagi yang tinggal. Saya bagaikan nak cabut rambut dan saya menangis kerana kemusnahan rezeki kami anak-beranak,” berkata Encik Jali, penuh kesedihan.

Seorang lagi penduduk kampung bernama Encik Rempoi berkata, “kami orang asli bukan malas. Kami gigih berusaha sebaik mungkin bertani. Tapi kami asyik kalah dengan serangan Pak Besar (gajah),” sambil menunjuki laluan gajah liar di belakang rumahnya menghala ke rumpun pokok buluh.

Selain gajah, babi hutan termasuk binatang yang dilindungi dan tidak boleh dibunuh, walaupun ia haiwan yang sangat pantas membiak dengan banyaknya. Orang asli beragama Islam patuh dengan ajaran dan sudah tidak memakannya. Di Malaysia, terdapat 168 spesis mamalia yang dilindungi di bawah akta Perhilitan.

Menurut Dr Ikhwan, HALUAN Pulau Pinang akan cuba membantu penduduk orang asli kampung berkenaan agar berjaya mengatasi ujian tersebut, bertani tanpa gangguan mamalia-mamalia berkenaan, termasuk memagari kawasan pertanian tersebut jika perlu. Sekiranya kaedah itu berjaya, ia akan diperluaskan ke petak-petak pertanian lain di kampung berkenaan yang menempatkan 23 buah keluarga yang rata-ratanya miskin belaka akibat tiada punca pendapatan yang stabil.

Menurut relawan HALUAN Ustaz Mohd Fazlon Abdul Rahim, Kampung Air Banun baru dilanda air banjir melebihi 10 kaki tinggi dari paras biasa air sungai minggu lepas disebabkan Sungai Air Banun dan Sungai Raba berdekatan telah melimpahi tebing akibat hujan terlalu lebat di hulu. Paras air naik melebihi 10 kaki tinggi dan menghanyutkan batang-batang kayu dan batu yang besar. “Sudahlah miskin, bencana pula menimpa mereka. Kami terpanggil untuk membantu mereka untuk berdikari dan mendekati agama di kampung yang subur ini,” kata beliau.

Sempena tinjauan tapak tersebut, HALUAN Pulau Pinang turut memberikan cenderahati berbentuk makanan kering kepada setiap keluarga penduduk, serta makanan snek ringan kepada kanak-kanak di kampung berkenaan. Turut akan diberikan nanti adalah Bahan Cegah Haiwan (BCH) untuk membolehkan mereka bercucuk tanam dengan selamat, biji benih sayur-sayuran asas serta baja organik. Pihak HALUAN akan terus memantau projek-projek di kampung berkenaan secara bulanan agar ia berjaya mengubah nasib penduduk di situ.

_
Laporan Biro Penerangan HALUAN
Pulau Pinang

Takraw dan bolasepak antara sukan kesukaan orang asli
Meraikan kanak-kanak kampung dengan makanan ringan
Rempoi (kiri) bersama tok batin Ceknekleg
Jali (kanan) kesal rezekinya sempit
Pek makanan kering untuk penduduk Kg Air Banun
Permulaan agihan pek makanan kering
Pemuda kampung bantu bungkus hamper hadiah makanan kering
Relawan HALUAN P.Pinang Dr Ikhwan (kiri) dan Ustaz Fazlon (kanan) Bersama timbalan tok batin Encik Dalong (dua dari kanan)
Bergambar bersama penduduk kampung yang terima cenderahati pek makanan HALUAN