fbpx

Timbalan Presiden Terima Gelaran Profesor Emeritus

Timbalan Presiden Terima Gelaran Profesor Emeritus

Timbalan Presiden Terima Gelaran Profesor Emeritus

SKUDAI, 13 Oktober 2012 — Seluruh warga HALUAN Malaysia mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden HALUAN, Dato’ Dr Abu Azam Md Yassin di atas penganugerahan gelaran Profesor Emeritus oleh Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah pada Majlis Konvokesyen UTM ke-49 hari ini.

Profesor Emeritus Dato’ Dr Abu Azam Md Yassin dilantik sebagai Timbalan Presiden HALUAN pada 7 Julai lalu menggantikan Ustaz Hj Mohd Darus Senawi Ali yang mengundurkan diri atas sebab-sebab kesihatan yang tidak mengizinkan. Ustaz Hj Mohd Darus pula dilantik sebagai penasihat kepada HALUAN Malaysia.

Beliau berasal dari Muar, Johor dan kini menetap di Kuantan Pahang. Dato’ Dr Abu Azam sudah berkeluarga dan mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak. Berlatarbelakangkan pendidikan di Universiti Leeds, England dalam Ijazah Sarjana Muda bidang Kejuruteraan Kimia, beliau kemudiannya menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan petroleum di peringkat Sarjana dan PhD.

Gelaran Profesor Emeritus ini adalah sebagai menghargai sumbangan beliau kepada UTM dalam Kejuruteraan Petroleum dan sebagai bekas pengurusan tertinggi universiti tersebut. Prof. Emeritus Dato’ Dr Abu Azam pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik) UTM dari tahun 1991 hingga 1997 dan merupakan pengasas YPJ Education Group Sdn Bhd dan bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya pada tahun 1997 selama empat tahun. Kemudian, beliau dilantik sebagai Rektor pertama Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM), yang kini dikenali sebagai Universiti Malaysia Pahang, (UMP) sehingga tahun 2004.

Beliau juga adalah Profesor pelawat di Heriot-Watt University dan Leeds, United Kingdom selain bertindak sebagai pemeriksa luar di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dari tahun 2005 sehingga kini. Beliau aktif di dalam bidang penyelidikan dan perundingan dalam pelbagai bidang. Beliau telah menghasilkan lebih 80 artikel penyelidikan dan telah membuat lebih 30 pembentangan dalam bidang pengajian tinggi, pentadbiran dan bidang semi-teknikal.

Selain itu, beliau juga adalah Naib Presiden 2, Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputra Malaysia (PKIBM) dan juga ahli yang dilantik oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dI dalam memberikan sumbang saranan dan menyelaraskan agenda bumiputera sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi Negara. Prof Emeritus Dr Abu Azam adalah seorang tokoh dan pendidik yang banyak memberikan sumbangan terutamanya dalam dunia pendidikan dan juga pembangunan negara.

Melalui NGO HALUAN, beliau menabur bakti kepada masyarakat dengan memfokuskan kepada aspek pendidikan, kemanusiaan dan perkhidmatan. Dengan hasrat yang murni inilah, beliau bersama beberapa orang rakannya telah bergabung idea, buah fikiran dan kepakaran untuk menerajui sebuah kolej swasta, Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) yang terletak di Kelantan dengan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola. Kolej ini dijadikan kolej angkat oleh HALUAN Malaysia dengan misi melahirkan modal insan masa hadapan yang profesional, kompeten dan beretika yang bukan setakat cemerlang dI dalam bidang akademik tetapi juga mempunyai sahsiah terpuji serta sikap kesukarelawanan dan suka mencurah bakti kepada masyarakat.


HALUAN mengucapkan tahniah kepada Prof Emeritus Dato’ Dr Abu Azam Md Yassin.