fbpx

Tentera Zionis Musnah Kebun dan Roboh Rumah Warga Gaza

Tentera Zionis Musnah Kebun dan Roboh Rumah Warga Gaza

Tentera Zionis Musnah Kebun dan Roboh Rumah Warga Gaza

GAZA, 19 Jun 2012 — Pada tengahari tadi tentera Zionis kembali bertindak agresif dengan memusnahkan kebun pertanian dan merobohkan rumah milik petani di pemukiman Khuza’a di wilayah Khan Yunis, selatan Gaza.

Seramai 30 orang askar Zionis yang lengkap bersenjata menggunakan empat buah buldozer dan sebuah kereta kebal menceroboh masuk ke kampung Khuza’a yang terletak kurang daripada 1 kilometer dari pagar sempadan dan pos kawalan tentera Zionis yang dikawal oleh penembak jarak jauh.

Sebanyak 20 pohon zaitun berusia 25 tahun dimusnahkan oleh tentera penceroboh ini. Pohon-pohon zaitun merupakan sumber pencarian utama bagi para petani di Gaza untuk menghasilkan minyak zaitun bagi kegunaan sendiri akibat kekangan tindakan embargo yang dikenakan oleh rejim Zionis itu. Di samping itu, sembilan kotak ternakan lebah yang menghasilkan madu sebagai sumber pendapatan petani juga dihancurkan. Turut dimusnahkan termasuklah pohon buahan saber dan sayuran seperti bawang.

Kejahatan tentera Zionis di sini memuncak apabila mereka bertindak membakar ladang tanaman gandum yang sudah kering dan bersedia untuk dituai. Tanaman gandum adalah sangat penting bagi penduduk Gaza kerana mereka bergantung kepada roti sebagai makanan asas.

Dalam kejadian itu, buldozer tentera Zionis turut merobohkan sebuah rumah yang baru sahaja siap dibina seminggu lalu. Rumah milik Hajjah Imsalam Al-Najjar itu dibina dengan belanja sebanyak US$35,000, hasil tabungan beliau selama 10 tahun daripada jualan sayuran dan minyak zaitun. Sebelum merobohkan rumah tersebut, askar-askar Zionis telah melepaskan tembakan secara rambang ke arah rumah itu bagi memaksa Hajjah Imsalam dan anak-anaknya keluar meninggalkan kawasan tersebut.

Semuanya habis dimusnahkan tentera Zionis sedangkan kami diembargo. Apa kami hendak makan, di mana kami hendak bermalam?

Khan-YounisDengan linangan airmata, Hajjah Imsalam berkata, “Sekarang kami sudah tidak memiliki apa-apa lagi, sedangkan suami saya sudah berusia 60 tahun dan di kebun inilah beliau bertani setiap hari untuk mencari rezeki keluarga. Semuanya habis dimusnahkan tentera Zionis sedangkan kami diembargo. Apa kami hendak makan, di mana kami hendak bermalam? Tidak ada siapa yang dapat membantu kami, tetapi kami yakin bahawa Allah SWT Maha Pengasih terhadap hambaNya yang sabar ketika datangnya cubaan. Bahkan saya sudah meminta bantuan dari Bulan Sabit Merah Antarabangsa tetapi mereka tidak berbuat apa-apa dan tidak juga menghentikan perbuatan jahat tentera Zionis ketika mereka hampir membunuh kami”.

Kezaliman ini merupakan salah satu daripada insiden yang saban hari dilalui oleh warga Palestin. Dengan nada menyedihkan, Hajjah Imsalam menyebut, “Lihatlah pohon zaitun yang sudah berbuah dan berusia 25 tahun, kami manfaatkan untuk membuat minyak zaitun untuk dimakan oleh anak-anak kami. Dari mana boleh saya dapatkan (pohon-pohon zaitun itu) kembali? Suami saya berumur 60 tahun, tidak mempunyai pekerjaan dan hanya kebun inilah menjadi sumber hasil kami. Siapa yang akan memberi makan dan minum untuk kami, sedangkan Zionis menyekat kami (embargo) justeru kami tidak punyai pekerjaan sama sekali. Bagaimana kami akan dapatkan kembali pohon-pohon saber yang bernilai US$3000 itu, yang menjadi sumber makanan anak-anak kami?”

“Mengapa Zionis berbuat seperti ini, sedangkan di dalam rumah kami tidak ada sebarang senjata, tidak ada roket, dan kami tidak pernah menembak tentera Zionis? Mengapa mereka berbuat seperti ini? Saya sudah menghubungi Bulan Sabit Antarabangsa, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa,” sambung beliau lagi.

Ini hanyalah sebahagian kecil daripada kezaliman dan kebiadaban rejim Zionis ke atas rakyat Palestin. Pemusnahan dan pembakaran yang mereka lakukan ini menyebabkan kerugian harta sebanyak US$50,000, sungguhpun tidak ada sebarang kemalangan jiwa. Bagi mereka yang hidup diembargo dan diserang setiap hari, kemusnahan kepada kebun dan rumah yang menjadi sumber kehidupan ini adalah suatu malapetaka yang sangat besar sekali.

Semoga Allah memberi mereka kekuatan untuk terus bertahan di bumi barakah ini, dan akhirnya seluruh bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa kembali bebas dan aman di bawah kaum Muslimin. Masyarakat penyayang yang ingin turut membantu saudara mereka di Palestin boleh menghulurkan bantuan melalui akaun Tabung Palestin HALUAN di Maybank (No Akaun 5644 9020 8528) atau Bank Islam Malaysia Berhad (No Akaun 14-023-01-003429-2).


Laporan untuk Media HALUAN oleh Abdillah Onim yang bertugas di Beit Lahiya dan menetap di Gaza City.