fbpx

Tentera Zionis Ceroboh Al-Khalil, Penduduk Bimbang Rumah Mereka Diroboh

Tentera Zionis Ceroboh Al-Khalil, Penduduk Bimbang Rumah Mereka Diroboh

Tentera Zionis Ceroboh Al-Khalil, Penduduk Bimbang Rumah Mereka Diroboh

Al-KHALIL, TEBING BARAT, 8 Ogos 2012 — Tentera pengganas Zionis Yahudi yang bertopeng dan lengkap bersenjata dilaporkan menceroboh masuk ke Jinba, sebuah kampung terpencil di selatan kawasan berbukit di sini, dan memecah masuk ke dalam rumah penduduk sambil mengambil gambar dan membuat pemetaan tapak.

Aksi dan pergerakan tentera yang meluas ini membimbangkan penduduk bahawa rejim zalim Zionis Yahudi sedang melaksanakan perancangan mereka untuk meroboh rumah-rumah penduduk di situ.

Laporan agensi berita Hareetz menyebut dua buah helikopter Zionis membawa pasukan tentera yang menggunakan payung terjun untuk mendarat berhampiran kampung Al-Moghar. Kampung tersebut merupakan salah satu daripada lapan buah kampung yang dirancang oleh rejim Zionis untuk dipindahkan. Menurut kenyataan Menteri Pertahanan rejim pengganas Zionis Yahudi, Ehud Barak, kawasan tersebut akan ditukar menjadi kawasan latihan ketenteraan.

Sebelum ini, berpuluh-puluh buah rumah telah dirobohkan dan penduduknya kehilangan tempat berteduh berikutan aktiviti dan pendudukan haram tentera Zionis di situ. Mangsa-mangsa terpaksa tinggal di dalam khemah dan juga gua-gua berhampiran.

Dalam laporan berkaitan, International Middle East Media Center (IMEMC) menyebut helikopter-helikopter tersebut telah membuat enam penerbangan, membawa tentera beserta dua buah jip perisai dan sebuah jip hummer. Penceroboh ini kemudiannya memasang khemah tentera berhampiran kampung tersebut.

Tentera bertopeng itu dilaporkan mengambil gambar gua-gua, khemah dan beberapa binaan di situ. Mereka turut menceroboh masuk ke dalam beberapa buah rumah dan merosakkan harta-benda. Tindakan mereka memasuki kampung dan kemudian berjaga di sekitar rumah-rumah menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk bahawa Zionis sedang melakukan tindakan agresif untuk merobohkan rumah dan merampas kampung-kampung di situ.

Puluhan keluarga di kawasan ini terpaksa tinggal di dalam gua dan khemah kerana sekatan haram rejim Zionis Yahudi dengan tidak mengiktiraf kampung-kampung di sini serta tindakan tentera Zionis yang menggunakan kawasan ini untuk latihan tentera.


Sumber berita dari Hareetz dan IMEMC.