fbpx

Tengku Mahkota Pahang Lancar Dana Tabung Palestin-Gaza

Tengku Mahkota Pahang Lancar Dana Tabung Palestin-Gaza

Tengku Mahkota Pahang Lancar Dana Tabung Palestin-Gaza

KUANTAN, 29 Januari 2013 – Majlis Pelancaran dan Penyerahan Dana Tabung Palestin-Gaza oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah telah disempurnakan dengan jayanya di Dewan Perdana Ballroom, MS Garden di sini. Majlis yang julung kalinya diadakan ini merupakan cetusan idea Tengku Mahkota Pahang bertujuan mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

Hampir 70 pihak yang terdiri daripada agensi kerajaan, pihak swasta serta individu telah tampil menghulurkan sumbangan yang mencecah sehingga RM1 juta pada program tersebut manakala sumbangan orang ramai melalui tabung-tabung masjid pula sebanyak RM117,118.

Alhamdulillah, HALUAN Malaysia telah dipilih untuk menerima sumbangan dana ini selain daripada NGO Perdana Global Peace Foundation (PGPF). KDYTM Tengku Mahkota Pahang telah berkenan menyerahkan cek berjumlah RM417,000 kepada pihak HALUAN Malaysia yang diwakili oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman.

KDYTM Tengku Mahkota Pahang, dalam titah ucapan baginda, merakamkan penghargaan dan meluahkan perasaan bangga dengan usaha murni semua pihak termasuk NGO-NGO yang terlibat membantu Palestin khasnya HALUAN Malaysia, PGPF dan Aman Palestin.

Baginda berharap usaha mengutip sumbangan untuk mengisi Tabung Palestin-Gaza dapat digerakkan juga pada peringkat daerah-daerah di negeri Pahang agar keperihatinan masyarakat kepada Gaza Palestin sentiasa berterusan.

Majlis yang gemilang ini turut diisi dengan tayangan klip video oleh PGPF serta persembahan flash mob, pentomen dan dendangan nasyid Palestina Tercinta oleh ahli-ahli Kelab Siswa HALUAN dari Kolej Teknologi Darulnaim (KTD).

Tetamu yang hadir sangat terkesan dengan penderitaan rakyat Palestin yang dipaparkan dalam persembahan klip video. Tetamu juga teruja dengan persembahan mantap oleh pelajar-pelajar KTD.

Pameran Palestin yang memaparkan penderitaan rakyat Palestin serta projek-projek bantuan untuk rakyat Palestin turut diadakan di ruang luar dewan oleh Biro HALUAN Palestin dan PGPF.

HALUAN Malaysia mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma yang telah menghulurkan sumbangan melalui pihak HALUAN untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Presiden HALUAN Malaysia memberi jaminan akan menyalurkan sumbangan rakyat negeri Pahang kepada rakyat Palestin melalui kerjasama dengan al-Sarraa Foundation, sebuah NGO di Gaza bagi membiayai beberapa projek jangka pendek dan jangka panjang termasuklah Pusat Rawatan Kanser al-Huda, Hospital Besar Malaysia-Indonesia di Bandar Gaza, Pusat Tahfiz al-Quran di kem pelarian dan pembinaan sebuah sekolah rendah syariah di Deir Al Balah.

Majlis dihadiri Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Adnan Yaakob dan Penasihat Perdana Peace Global Foundation (PGPF), Dato’ Mukhriz Tun Mahathir dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang serta kenamaan-kenamaan dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Dianggarkan seramai 700 orang tetamu hadir termasuklah pelajar-pelajar dari IPT tempatan. Tidak ketinggalan ialah 65 orang remaja yang sedang mengikuti Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) Zon Timur anjuran HALUAN.

Laporan oleh: MediaHALUAN

Persembahan pantomin oleh ahli-ahli Kelab Siswa HALUAN, Kolej Teknologi Darulnaim.

Presiden HALUAN Malaysia, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman menerima replika cek daripada salah satu penyumbang untuk Tabung Palestin HALUAN.

KDYTM Tengku Mahkota Pahang bersama barisan dif-dif kehormat di dalam Majlis Pelancaran dan Penyerahan Dana Tabung Palestin-Gaza.

KDYTM Tengku Mahkota Pahang bersama-sama dif-dif kehormat dan para penyumbang.

Delegasi HALUAN bergambar kenangan bersama-sama replika cek sumbangan yang diterima.