fbpx

Tarbiyah Itu Fitrah Yang Manusia Perlu

Tarbiyah Itu Fitrah Yang Manusia Perlu

Tarbiyah Itu Fitrah Yang Manusia Perlu

PUTRAJAYA, 15 Nov 2014 – Konvensyen Wanita HALUAN 2014 yang berlangsung pada 11 Oktober lepas mengingatkan peserta betapa pentingnya tarbiyah dalam mencorak serta mewarnai lanskap masyarakat di abad ini dalam Malaysia melangkah ke taraf negara maju.

Para sahabat Rasul SAW umpamanya adalah generasi yang telah melalui tarbiyah secara terus daripada Allah SWT dengan penurunan Al-Qur’an secara beransur-ansur dan dibimbing oleh Rasulullah SAW. Maka tarbiyah adalah satu pendekatan yang paling berkesan dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, secara lisan mahupun secara contoh yang baik dalam rangka membimbing generasi muda secara peringkat demi peringkat sehingga mereka mencapai kesempurnaan diri dan menjaga perbatasan hukum syarak.

“Tidaklah baik umat akhir ini melainkan dengan apa yang telah menjadi baik pada awal umat ini,” berdasarkan ungkapan Imam Malik RA. Para delegasi konvensyen diingatkan bahawa setiap manusia perlu melalui tarbiyah bagi mengajak manusia keluar dari suasana yang jauh daripada cara hidup Islam.

Konvensyen sehari itu telah dianjurkan oleh Biro HALUANITA dengan kerjasama Masjid Putra, Putrajaya. Antara lain, ia bertujuan menerapkan tauhid ke dalam sistem pembelajaran semasa dan menghayati tauhid dalam kehidupan individu untuk pembangunan ummah ini. Kumpulan sasarnya terbuka kepada semua wanita HALUAN di seluruh negara termasuk para relawan wanita yang telah berdaftar.

Konvensyen berkenaan dihadiri Imam Besar Masjid Putra, Ustaz Manaf Mat yang juga telah melancarkan Modul Little ‘Abd Programme (LAP) iaitu suatu modul tarbiyah berkonsepkan Surah Al-Fatihah yang diterapkan kepada golongan anak kecil sejak di peringkat tadika lagi.

Di sebelah paginya, ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Salleh Saad daripada JAKIM bertajuk Kepentingan Tauhid Dalam kehidupan. Ceramah kedua telah disampaikan oleh Ustaz Adni Abdul Razak daripada Sekolah Menengah Ibn Khaldun yang bertajuk Penerapan Tauhid dalam Sistem Pendidikan. Selepas itu berlansung forum bertajuk Generasi Al-Quran Yang Unik yang dipanelkan oleh Prof Madya Dr Azizan Ahmad serta Puan Ezura Nashuha Omar @ Ab Hadi dan Prof Madya Dr Zulaiha Ali Othman selaku moderator. Resolusi konvensyen telah dibentangkan oleh Encik Rosdi Baharom.

Salah seorang peserta yang hadir, Puan Nurul Dayana Mohd Shafli daripada Tadika Ilham Bonda, Desa Pinggiran Putra berkata, “Program ini sangatlah bagus dan bermanfaat. Saya berharap agar pihak pnganjur boleh membuatnya secara bersiri.”

Pengerusi HALUANITA Puan Alfiah Samingan pula melafazkan syukur kerana konvensyen kali ini mendapat sambutan yang baik daripada ibu-ibu muda dan guru-guru muda yng mengingini kebaikan untuk anak didik mereka. Semoga program tarbiyah awlad banat ini akan dapat diteruskan dan mendapat sambutan yang baik dari wanita-wanita di luar sana, katanya lagi.

Laporan oleh SUK Biro HALUANITA, Ummu Hani Mohd Nasaruddin