fbpx

Tandas Sempurna, Penduduk Sihat

Tandas Sempurna, Penduduk Sihat

Tandas Sempurna, Penduduk Sihat

GERIK, PERAK, 16 Sept 2018 – Biro Kesihatan HALUAN (BKH) cawangan Pulau Pinang telah membawa mesej kepentingan kebersihan kumbahan kepada penduduk kampung orangasli di sini dengan membaiki sistem tandas awam mereka di surau Kampung Sungai Raba.

Surau yang digunakan untuk bersolat Jumaat itu telah sekian lama rosak terutama tandas untuk wanita hinggakan tidak dapat diguna sejak lebih setahun lepas kerana saluran najisnya tersumbat dengan teruk sekali. Di atas inisiatif BKH Pulau Pinang, tandas berkenaan kini sudah dibaikpulih dan boleh diguna sepenuhnya, ditambah pula dengan pemasangan baru unit flush di tandas lelaki dan wanita serta pemasangan saluran paip air baru untuk membolehkan jemaah wanita mengambil wuduk dalam kawasan kepungan tandas wanita berkenaan.

Menurut ketua BKH Zon Utara, Dr Fauziah Hanafiah, maklumbalas awal tentang kerosakan tersebut disalurkan oleh pihak Biro HALUAN Fitrah (BHF) yang kerap masuk berdakwah di kampung berkenaan. Maklumat ini telah mencegakan para doktor dan perawat dalam HALUAN kerana tandas yang tidak sempurna mampu membawa seribu satu masalah kesihatan kepada penduduk sekitarnya.

“Sistem kumbahan najis yang tidak menepati kehendak kesihatan boleh mengundang penyakit-penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk terutama orangasli yang hidup secara berkelompok. Kami rasa teruja dengan projek pembaikan ini kerana tandas surau berkenaan merupakan tandas kegunaan awam termasuk oleh orangasli sendiri dan sesiapa juga termasuk pihak NGO yang masuk membantu orang kampung di daerah sana,” kata beliau kepada wartawan mediaHALUAN.

BKH telah melancarkan tabung pembaikan tandas tersebut selama dua minggu dan berjaya memungut derma orang ramai berjumlah RM3,300. Projek berkenaan dapat diselesaikan kurang daripada anggaran kos sebenar kerana ia telah dilaksanakan oleh orang kampung sendiri secara bergotong-royong.

“Mereka telah berhenti kerja mencari makan dengan memberikan tumpuan kepada kerja pembaikan ini,” menurut koordinator lapangan BKH, Dr Ahmad Ikhwan Subberi. “Sekiranya kami panggil kontraktor, tentu kos projek ini akan jadi lebih dua kali ganda. Sikap suka bergotong-royong penduduk Kampung Sungai Raba ini memang sudah terkenal di kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun yang menempatkan lapan buah kampung. Tujuh buah kampung lagi adalah Kampung Sungai Air Banun, Kampung Pengkalan Permai, Kampung Desa Damai, Kampung Semelor, Kampung Pulau Tujuh, Kampung Sungai Tekam dan Kampung Kabil.”

Tandas awam kampung berkenaan turut dicat baharu oleh peserta khidmat masyarakat daripada Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah yang telah diiringi HALUAN Pulau Pinang. Mereka yang seramai 34 orang telah berkampung di situ selama tiga hari dua malam bermula dari 14 September. Turut menyertai 12 ahli fasilitator HALUAN adalah lima orang doktor BKH.


Laporan Dr Rozaili Aswan Che Sub, BKH Pulau Pinang

Tandas surau orangasli Sungai Raba
Tandas wanita dilindungi pandangan
Penduduk kampung gotong-royong gali tangki kumbahan najis baharu
Dr Ikhwan (kanan) bersama pasuk BKH Utara yang turun berbakti
Dr Ikhwan memasang banner HALUAn tanda khidmat bakti