fbpx

Tajribah JDK: Terus Sertai Program HALUAN

Tajribah JDK: Terus Sertai Program HALUAN

Tajribah JDK: Terus Sertai Program HALUAN

KUALA KANGSAR, 13 Februari 2013 – Bagi Aisyah Mohd Subri, 18, dari Mata Ayer, Perlis, penyertaan beliau ke Kursus Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja (JDK) ke-4 di Zon Utara ini merupakan pendedahan kali pertama kepada aktiviti kemasyarakatan HALUAN.

Beliau belum pernah menghadiri kem Pesona mahupun program-program khas untuk remaja sekolah rendah dan menengah yang dianjurkan di seluruh negara sebelum ini. Bekas pelajar SMA Perempuan Perlis dan anak bongsu daripada tiga beradik ini mendapat tahu berkenaan JDK daripada majalah HALUAN dan kawan.

“Pada mulanya saya tidak tahu apa-apa sebab banyak kaitannya dengan HALUAN. Tapi sekarang dah melebihi dua minggu saya rasa seronok sangat. Kami peserta berinteraksi dengan baik, dan modul rekreasi adalah paling saya sukai. Kerana ini pengalaman pertama saya membuat jungle-tracking,” katanya kepada wartawan mediaHALUAN.

Modul paling berharga bagi remaja ini adalah Anjakan Paradigma sambil mendapati bahawa Al-Quran menjadi alat penjati diri paling berharga sepanjang hayatnya. Beliau berhasrat mengesyorkan JDK kepada kawan-kawannya terutama di RPA Mata Ayer. Beliau berpuashati dengan pilihan lokasi kem di Batu Ampar Resort yang terletak bersebelahan sungai jernih yang nyaman itu.

“Abang dan kakak fasilitator, kem komandan dan petugas-petugas lain semuanya baik belaka. Makanan pun sedap, udara hutan paling nyaman. Saya berpesan agar kawan-kawan peserta semoga kita dapat praktikkan ilmu yang diperolehi dan semoga berjumpa lagi.”

Muhammad Iman Izzat Mohamed Sapari, 18, daripada SMK Sri Perak, Teluk Intan, Perak berpendapat bahawa JDK ini terlalu berprofil rendah hingga ramai pelajar tidak tahu nilai keagungannya. Anak sulung daripada empat beradik ini mendapat tahu berkenaan JDK melalui internet setelah disuruh ayahnya.

“Saya ke website HALUAN. Dari situlah saya mendaftar. Bila tiba untuk melapor diri dan kena menyusuri jalan berhutan, minat saya tiba-tiba hilang. Kenapa buat dalam hutan sebegini? Rupanya resort ini tersorok dalam kawasan rimba yang sangat semulajadi, dan ada sungai air terjun lagi. Dan setelah berkawan dengan budak-budak baru di sini daripada sekolah agama yang peramah, timbul pula rasa seronok. Sekarang rasa macam tak nak balik,” gurau beliau, memandangkan kursus tiga minggu ini bakal tamat pada 16 Februari ini.

Beliau juga meminati modul rekreasi sebab “memang saya minat sangat dengan adventure dan itulah matlamat asalnya saya menyertai JDK. Di sini juga saya mula kenali apa itu halaqah untuk mendampingi ajaran Quran dan 10 muwasafat tarbiyah. Saya berazam menjadi seorang yang bermanfaat nanti dan berjaya membawa seramai mungkin orang kembali kepada ajaran Rasul SAW.”

Beliau juga berazam untuk mengajak saudara-mara dan kenalan sekolah lamanya untuk sertai JDK nanti. “Pilihan lokasi kem ini adalah terbaik dan amat merangsangkan bagi remaja macam kami. Tiga hari pertama di sini rasa agak tertekan kerana kem komandan dan petugas lain amat memberatkan disiplin diri dan latihan solat. Tetapi selepas itu dah jadi biasa. Makanan sini excellent,” katanya.

Ditanya apakah penambahbaikan JDK untuk masa depan, Muhammad Iman Izzat menjawab, “Tiada, sebab rasa diri sendiri lebih memanfaatkan program JDK ini. Pesanan terakhir kepada kawan-kawan peserta saya, jangan lepaskan peluang untuk sertai dalam apa-apa program HALUAN selepas ini.”


Laporan oleh mediaHALUAN