fbpx

Tahniah Kepada Masyarakat dan Para Pejuang Gaza

Tahniah Kepada Masyarakat dan Para Pejuang Gaza

Tahniah Kepada Masyarakat dan Para Pejuang Gaza

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahilhamd.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

HALUAN Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Palestin di Gaza dan para pejuangnya yang telah menunjukkan ketabahan luar biasa, ibarat gunung yang tidak tergoyahkan, dalam menghadapi 464 hari serangan tanpa henti oleh rejim pengganas zionis Israel. Dengan penuh keimanan kepada janji Allah, mereka terus berjuang dan berkorban. Alhamdulillah, kemenangan yang dijanjikan kini menjadi kenyataan.

Rejim zionis akhirnya bersetuju melaksanakan gencatan senjata yang dijadualkan berkuat kuasa pada hari Ahad 19 Januari 2025, jam 2.30 petang waktu Malaysia.

Meskipun berada dalam situasi yang amat getir, dengan hampir 50,000 syuhada yang telah terkorban dan dua juta orang kehilangan tempat tinggal, mempertahankan hak dan jati diri merupakan kemenangan yang sangat besar. Kejayaan ini menggagalkan cita-cita musuh yang bertujuan menindas, menekan, membunuh dan menghapuskan sama sekali diaspora bangsa Palestin demi melanjutkan penjajahan zalim mereka.

Selain itu, kejayaan para pejuang mencapai objektif perang pada 7 Oktober 2023 adalah pencapaian terbesar dalam sejarah perjuangan pembebasan Palestin sejak tragedi Nakbah pada 1948. Kini, pembebasan 2,000 tawanan politik dalam pusingan pertama menandakan satu lagi kejayaan utama, selain kemenangan yang dicapai di medan perang.

HALUAN juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk melaksanakan amanah mengirim bantuan kemanusiaan sepanjang konflik ini. Hingga ke saat-saat akhir perjanjian damai, bantuan terus disalurkan dengan izin Allah. Kami bersyukur atas peluang berharga ini dan berdoa agar Allah memberkati semua penyumbang yang ikhlas di jalan-Nya. Semoga sumbangan ini menjadi saham akhirat buat kita semua.

HALUAN akan terus komited membantu umat Islam yang memerlukan, khususnya bangsa Palestin, dalam usaha mereka mencapai kemerdekaan. Kemenangan ini membuka lebih banyak ruang untuk kita menghulurkan bantuan secara lebih efektif dan meluas secara berterusan bersama-sama.

Ucapan tahniah juga ditujukan kepada negara-negara yang teguh berdiri bersama rakyat Palestin, termasuk Malaysia, Turkiye, Qatar, Afrika Selatan, Yaman, Iran, Norway, Sepanyol, Ireland, dan lain-lain. Semoga kemenangan ini menjadi pemangkin kepada dunia Islam untuk lebih berani dan bersatu dalam mendukung perjuangan suci ini.

Akhir kata, segala puji bagi Allah yang Maha Memberi Pertolongan. Semoga kita semua diberikan kesempatan untuk menunaikan solat di Masjidil Aqsa setelah ia dibebaskan daripada penjajahan rejim Israel.

Dr. Abdullah Sudin Abd Rahman
Presiden HALUAN Malaysia
Bandar Baru Bangi
19 Januari 2025