fbpx

SUPER’13 Bakal Merangka Tindakan Bersepadu

SUPER’13 Bakal Merangka Tindakan Bersepadu

SUPER’13 Bakal Merangka Tindakan Bersepadu

20 Jun 2013 – “Seminar Usahawan, Profesional dan Koperasi 2013 (SUPER’13) yang akan berlangsung di Dewan Utama, Bangunan HALUAN Malaysia, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 29 dan 30 Jun 2013 ini menjangkakan kehadiran sekitar 80 orang peserta di kalangan ahli HALUAN dari seluruh Malaysia.

Seminar ini dikendalikan bersama secara bersepadu terdiri daripada Biro Ekonomi HALUAN (BeKN), Biro Profesional, Kelab Usahawan HALUAN serta Koperasi Ikhtisas Malaysia Berhad (KIMB). Koperasi Perumahan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi (KOPLIT) adalah urusetia SUPER’13.

Peserta terbuka kepada para usahawan, profesional dan wakil-wakil koperasi seluruh Negara dari kalangan ahli HALUAN.

Seminar yang bertemakan “Penguasaan Ekonomi Seiring Manhaj Rabbani” akan memberi fokus pada tiga objektif utama iaitu Menggembleng Modal Insan, Kepakaran & Dana, Merangka Tindakan Bersepadu Ke Arah Mencapai Halatuju HALUAN dan Meningkatkan Penguasaan Ekonomi Melalui Penubuhan Bank.

“Peserta SUPER’13 akan lebih ditekankan pada tugasan kumpulan projek yang telah dibincangkan pada SUPER’12 yang lalu dan semua resolusi yang dicapai akan dibengkelkan untuk memastikan segala langkah-langkah yang diambil selepas SUPER’13 adalah tindakan yang masih relevan, boleh dicapai dan berdaya maju” kata Encik Mohd Sidek Abdul Latif selaku Ketua Biro Ekonomi HALUAN.

Dalam aspek memperkukuhkan modal insan pula, urusetia SUPER’13 akan berganding bahu dengan pihak yang berpengalaman untuk menyediakan modul-modul yang sesuai dan menawarkan latihan-latihan yang bertahap agar usahawan dan profesional yang layak akan membentuk jati diri mereka seterusnya memberi impak yang besar pada pertumbuhan ekonomi kelak.

Penguasaan ekonomi memerlukan satu pusat dan penyelarasan kewangan yang sepadu, bermula dari kewujudan dan sumbangan kepakaran individu profesional, penggunaan teknologi yang sesuai serta komitmen pelabur-pelabur di kalangan peniaga dan usahawan itu sendiri.

“Apa yang menjadi perhatian para peserta kali ini adalah kerjasama yang berterusan dari pihak usahawan dan profesional khususnya wakil-wakil koperasi untuk sama-sama memastikan penabungan ke dalam koperasi dipergiatkan sehingga berupaya melabur pada projek-projek yang munasabah seperti perladangan kelapa sawit di Johor, hartanah, perumahan, hospital dan sebagainya. Segala kepayahan dan kesabaran dalam usaha-usaha ini akan menjadikan ia suatu “wadah” dan satu alternatif ke arah merealisasikan sebuah institusi kewangan yang mampu melaksanakan sistem kewangan yang patuh syariah sepenuhnya” tegas Encik Rosli Adam selaku CEO Bina Integrated Sdn Bhd merangkap Penasihat SUPER’13.

Ahli HALUAN yang berminat, boleh mendaftar melalui ‘online’ di http://super.mymubin.com atau hubungi talian berikut untuk pendaftaran atau pertanyaan. Encik Amri (013-3977192), Encik Mohd Sidek (019-6222724) dan Encik Rosli (019-2176106). Tempat adalah terhad.