fbpx

SUPER ’12 Membina Usahawan Holistik

SUPER ’12 Membina Usahawan Holistik

SUPER ’12 Membina Usahawan Holistik

MELAKA, 28 Dis 2012 – “Seminar Usahawan, Profesional dan Koperasi 2012” (SUPER’12) yang berlangsung di Hotel Permaisuri MITC, Ayer Keroh, Melaka hari ini telah dihadiri hampir 110 orang peserta daripada kalangan usahawan, profesional dan wakil-wakil koperasi seluruh negara.

Seminar ini dikendalikan bersama secara bersepadu terdiri daripada Biro Ekonomi HALUAN Malaysia (BeKN), Biro Profesional (BP), Kelab Usahawan HALUAN (KUH) serta Koperasi Ikhtisas Malaysia Berhad (KIMB). Seminar ini memberi fokus pada dua objektif utama. Yang pertama, bertindak secara kolaborasi untuk memperkukuhkan ekonomi ummah, dan yang kedua untuk membina usahawan dan profesional pelapis yang kompeten dan beretika (berintegriti).

Upacara perasmian seminar ini telah disempurnakan oleh Puan Rabiatul Adawiyah Hashim, Penolong Pengarah, Bahagian Promosi dan Pengembangan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman dan Encik Rosli Adam selaku Penasihat SUPER ’12 dan CEO Bina Integrated Sdn Bhd.

Sesi pagi seminar dimulakan dengan penyampaian Kertas Kerja I yang disempurnakan oleh Ust Rahimi Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif, Jabatan Korporat Sekreteriat Komuniti IMP. Dalam ucapannya, beliau menyebut bahawa hari ini ummah Islam seluruh dunia terdedah kepada produk makanan yang tidak selamat dan mengandungi pelbagai bahan yang haram yang boleh menjurus kepada kelemahan ummah.

“IMP meliputi empat aspek utama iaitu pengilangan, pemasaran, pengurusan dan motivasi. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana usahawan dalam menjana kekuatan ummah menerusi produk halalan thoyyiba,” ujar beliau.

Sesi petang menyajikan penyampaian Kertas Kerja II yang telah disampaikan oleh Pakar Keusahawan Holistik Malaysia, Dr. Nor Risham Ismail. Beliau banyak berkongsi strategi ‘Confirm’ kaya dengan tips-tips yang hilang dari usahawan muslim. Antara lain, beliau turut menekankan bagaimana profit margin dalam keuntungan produk, kreativiti dan inovasi dalam keusahawanan serta bagaimana gelombang baru dalam pemasaran.

Sesi ‘Bisnes Matching’ di akhir seminar telah memberi peluang kepada peserta-peserta untuk saling bertukar pandangan dan pengalaman dalam perniagaan masing-masing.

Seminar bersambung esok khas untuk ahli-ahli HALUAN.