fbpx

Suntikan Motivasi Dakwah Not Yet Muslim Lebih Meluas

Suntikan Motivasi Dakwah Not Yet Muslim Lebih Meluas

Suntikan Motivasi Dakwah Not Yet Muslim Lebih Meluas

BANDAR BARU BANGI, 3 Mac 2019 – Institusi Pengajian Tinggi adalah pusat ilmu yang mengumpulkan ramai pelajar berpendidikan lagi berpotensi besar bagi mencorakkan masa hadapan negara. Selain pelajar beragama Islam, di sana juga terdapat pelajar Not Yet Muslims (NYM) yang sangat berminat untuk mendekati serta memahami agama Islam.

Malangnya, tiada inisiatif secara proaktif serta tersusun untuk mendekati mereka oleh sebahagian besar pelajar Muslim di kampus. Atas semangat serta merasai keperluan untuk bersama-sama menyuntik motivasi dakwah keindahan Islam, HALUAN telah menganjurkan Seminar Perkongsian Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk baru-baru ini.

Seminar yang digerakkan oleh Biro HALUAN Fitrah (BHF) ini telah berjaya mengumpulkan seramai 84 orang pemuda dan pemudi sekitar kawasan Bangi dan Kuala Lumpur yang majoritinya adalah pelajar muslim daripada IPT tempatan.

Seminar dirasmikan oleh Timbalan YDP HALUAN Putrajaya, Dr. Nik Mu’tasim Nik Ab Rahman dan diteruskan oleh jurulatih utama seminar, presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Encik Firdaus Wong Wai Hung. Beliau merupakan pendakwah yang mempunyai pengalaman luas dalam dakwah kepada NYMs serta bergiat aktif dalam lapangan dakwah di tanah air dan di luar negara.

Menurut pandangan salah seorang peserta, Muhammad Nuruddin Razak, 22, penuntut bidang multimedia di One Academy, Subang yang satu-satunya beragama Islam dan berbangsa melayu,  beliau telah mendapat jalan motivasi dan kesedaran untuk berkongsi Islam tanpa menunggu rakan NYM bertanya kepada dirinya.

“Islam ini fitrah manusia, akhirnya nanti semua kita akan ditanya samada kita sampaikan ataupun tidak. Maka, kita perlu membuat rakan NYM kita berfikir tentang Islam serta membandingi dengan kepercayaan mereka. Harapan saya ialah supaya program harmoni bersama NYM sebegini harus  dipertingkatkan,” ujar beliau.

Selanjutnya, pada jam 11:15 pagi sesi soal jawab di antara peserta dan jurulatih jemputan berjalan. Di antara soalan yang diajukan adalah bagaimana hendak menerangkan Islam kepada seorang nenek cina yang tidak faham bahasa Melayu mahupun Inggeris. Encik Firdaus Wong memberitahu bahawa peserta perlu ‘pass the baton’ kepada daie berbangsa cina atau belajar bahasa cina untuk mengenali mereka lebih dekat dan menjadikan mereka kawan baik.

Pemuda-pemudi yang hadir pada program ini dikumpulkan pada pukul 12.30 tengahari untuk menjadi penggerak program seterusnya demi melaksanakan sumbang saran terbaik agar dakwah kepada generasi muda NYMs dapat disusun dengan sistematik. Generasi muda dapat belajar menyantuni masyarakat bukan Islam dalam memahami sosio-budaya serta keperluan mereka dalam rangka memberi pendedahan mengenai Islam.

Peserta pemudi Ummu Aiman Zainuzzaman, 23, penuntut bidang bahasa Universiti Malaya mendakwa terdapat seramai 70% NYMs  di kampusnya. Ramai bukan Islam yang bertanya soalan mengenai Islam tetapi beliau tidak dapat menjawabnya.

“Selepas ini, saya berharap agar saya ada kekuatan untuk menjawab soalan-soalan mereka dan berkongsi Islam kepada rakan-rakan saya,” katanya.


Laporan Nurasna Abd Halim, Unit Dokumentasi dan Media, Biro HALUAN Fitrah

Rakaman penuh Seminar Perkongsian Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk