
Sumbangan Universiti Cyberjaya Bantu Orang Asli
BANDAR BARU BANGI, 8 Jan 2025 – Delegasi seramai 17 siswa Universiti Cyberjaya bersama seorang pensyarah pengiring telah berkunjung ke Ibu Pejabat HALUAN di sini bagi melaksanakan program membantu komuniti orang asli meningkatkan sosio-ekonomi melalui pendekatan yang melestarikan alam sekitar.
Dalam kunjungan tersebut, Universiti Cyberjaya yang diketuai pensyarah Encik Haidhar Athir Mohd Puat telah menyerahkan sumbangan dana serta baja organik sebagai inisiatif menyokong usaha HALUAN dalam projek pertanian komuniti orang asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, Perak dengan menekankan elemen kelestarian alam. Ia adalah sebahagian daripada agenda pelaksanaan program “Abandon to Abundance” yang menggabungkan inisiatif siswa, restoran dan kafetaria, pemain industri baja kompos, serta HALUAN dalam mendidik kesedaran tentang menjaga alam sekitar.
Sejak tahun 2006, HALUAN telah melaksanakan projek pertanian komersial tanaman serai dan limau nipis bagi membantu komuniti orang asli di RPS Air Banun, khususnya di Kampung Air Banun dan Kampung Sungai Raba. Program pendidikan kanak-kanak turut dilaksanakan sebagai usaha membasmikan buta huruf demi membina generasi muda yang berpengetahuan dan berkeyakinan dalam memimpin masyarakat. Turut dilaksanakan adalah penajaan pelajar daripada kalangan komuniti tersebut untuk memperolehi sijil kemahiran dalam bidang pertanian dan agama.
RPS Air Banun terletak di kawasan sekitar Kompleks Hutan Belum-Temengor di antara Gerik dan Jeli di Kelantan yang merangkumi Taman Negara Belum. Ia merupakan sebahagian daripada ekosistem hutan yang dilindungi dan memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan. Justeru, Universiti Cyberjaya melihat RPS Air Banun sebagai kawasan strategik dalam menerapkan kelestarian alam, antaranya melalui penggunaan baja organik dalam projek pertanian.
Dalam ucapan aluannya, Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Abdul Halim Khudri telah menjelaskan projek-projek yang telah dilaksanakan di RPS Air Banun. Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti atas sumbangan yang diberikan dan berharap agar kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak dapat diteruskan.
“Kami amat menggalakkan penyertaan sukarelawan daripada pelbagai agensi atau institusi untuk membantu usaha kami meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat miskin dan terpinggir, termasuk orang asli,” jelas beliau.



Laporan Fatin Athirah Abdul Sani
Setiausaha Kerja Kluster Kebajikan dan Kemanusiaan
HALUAN Malaysia