Sumbangan Telaga Tiub Gembirakan Pelarian Rohingya
BANDAR BARU BANGI, 9 Feb 2019 – HALUAN meneruskan Misi Kemanusiaan Rohingya dengan menfokuskan bantuan kebajikan kepada pembinaan Tube Well dan pemantapan projek jangka panjang pendidikan, Educare Centre di Kem Balukhali, Cox’s Bazar.
Melalui program misi Kemanusiaan pada 2 hingga 5 Februari 2019, dua orang sukarelawan HALUAN iaitu Ketua Biro Pemuda, Encik Hasri Ahmad, dan Pegawai Logistik, Encik Abdul Halim Kudri bersama gabungan NGO-NGO bawah Sekretariat Sinar4Rohingya anjuran Kumpulan Karangkraf telah berpeluang melawat dan menyalurkan sumbangan kepada projek Educare Centre di Kem Balukhali 1 dan projek pembinaan sembilan unit ‘tiub well’ di Kampung Baisari, Ramu bersempadan dengan Bangladesh dan Myanmar.
Dana membina telaga tiub ini adalah sumbangan daripada rakyat Malaysia bagi membantu pembekalan air bersih kepada pelarian Rohingya yang masih memerlukannya. Sejak tahun 2017, sejumlah lebih 150 telaga tiub yang telah dibina oleh pihak HALUAN hasil sumbangan orang ramai.
Menurut Ketua Komuniti Pelarian Rohingya di Kampung Baisari, Dr Mostafa Kamal Arman, Kampung ini yang terletak jauh di sempadan Myanmar–Bangladesh, mempunyai penduduk seramai 4,000 keluarga. Mereka ini adalah pelarian Rohingya dari Myanmar yang berlindung di Bangladesh lebih dari 20 tahun. Status mereka masih sebagai pelarian dan bukan warganegara Bangladesh. Oleh itu mereka tidak mendapat hak dan layanan yang sewajarnya sebagai warganegara yang sah.
Disebabkan kemiskinan, mereka sukar untuk mendapat bekalan air bersih dan terpaksa berkongsi air dari telaga tiub yang terhad dan jauh dari penempatan mereka. Mereka sangat gembira apabila pihak HALUAN tampil membina sembilan buah telaga tiub di kampung mereka bagi mengurangkan bebanan mereka.
Mereka sangat bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyumbang melalui HALUAN untuk membantu mereka mendapat bekalan air bersih ini.
Beliau mewakili penduduk kampung dan beberapa perkampungan sekitar di sepanjang sempadan Myanmar–Bangladesh masih mengharapkan sumbangan berterusan daripada rakyat Malaysia.
Menurut wakil HALUAN Encik Abdul Halim Khudri, masih banyak lagi sumbangan dana diperlukan untuk membantu pelarian Rohingya yang tinggal diluar Kem Pelarian kendalian UNHCR dan Kerajaan Bangkadesh.
Jumlah pelarian-pelarian ini menjangkau ratusan ribu orang, kini mendiami penempatan sementara di kampung yang daif bersempadan dengan Myanmar. Mereka telah tinggal di Bangladesh lebih daripada 20 tahun dengan segala keperitan dan kesusahan sebagai penduduk yang tidak berwarganegara.
Status mereka samalah seperti rakyat Palestin dan Syria yang menjadi pelarian dihalau dari tanah air sendiri akibat peperangan dan kekejaman pihak musuh. Nasib masa depan mereka masih kelam serta tiada tanda yang jelas akan berakhirnya konflik ini selain hanya mengharapkan sumbangan masyarakat antarabangsa yang berhati murni.
_
Laporan Pegawai Logistik, Encik Abdul Halim Kudri