fbpx

Sukses Program Huffaz Ramadhan 1435H

Sukses Program Huffaz Ramadhan 1435H

Sukses Program Huffaz Ramadhan 1435H

BANDAR BARU BANGI, 30 Julai 2014 – Program Huffaz Ramadhan 1435H anjuran HALUAN telah melabuhkan tirainya menjelang hujung Ramadhan dengan majlis penutup yang diadakan di Dewan Seminar, Ibu Pejabat HALUAN di sini pada 25 Julai lepas.

Seramai 21 orang huffaz telah diraikan kerana kejayaan mereka mengimarahkan masjid dan surau di serata tanahair dengan mengimami solat tarawikh dan menyampaikan tazkirah Ramadhan kepada para jamaah. Mereka adalah dari Palestin 12 orang, Syria tujuh orang dan Kemboja dua orang. Upacara penutup yang sederhana tetapi meriah tersebut dipengerusikan oleh Encik Umar Ismail selaku Bendahari program huffaz berkenaan. Ia dihadiri lebih 100 orang ahli HALUAN dan jemputan khas. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Sheikh Bassam Achmar Imad dari Syria.

Naib Presiden 2 HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin dalam ucaptama beliau telah merakamkan ucapan ribuan terima kasih di atas kesudian huffaz berkenaan yang datang dari jauh untuk membantu mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada masyarakat terpinggir di Palestin, Syria dan Kemboja. Program berkenaan sudah empat tahun berturut-turut dilaksanakanmulai tahun 2011 lagi dan kini turut dilaksanakan oleh beberapa NGO Islam yang lain. Dana yang telah dikumpulkan sepanjang Ramadhan akan diserahkan kepada mereka yang memerlukan di Palestin, Syria dan Kemboja.

Para hadirin telah dihidangkan dengan satu persembahan multimedia oleh pihak urusetia program sempena majlis penutup tersebut. Segala gambar-gambar aktiviti di masjid, surau, pejabat dan institusi pengajian dimuatkan dalam persembahan multimedia berkenaan yang turut menghiburkan peserta yang hadir.

Sheikh Ibrahim Abdullah Ibrahim Ararawi dalam ucapannya mewakili para huffaz Palestin menegaskan yang umat Islam tidak boleh berhenti membantu dan terus membantu terutama dalam isu pembebasan Masjid Al-Aqsa. Ucapan dari wakil Syria oleh Sheikh Bassam Achmar Imad yang berkhidmat di Pahang pula mengucapkan ribuan terima kasih di atas kemurahan hati masyarakat Malaysia yang sudi menyumbang sejumlah dana untuk rakyat Syria yang sedang menderita ditindas oleh rejim ganas syiah di bawah Bashar Assad. Wakil Kemboja Sheikh Musa Yusof yang berkhidmat di Sabah merasa amat teruja di atas jemputan pihak HALUAN untuk menjadi imam solat tarawikh di sini di samping mengumpul dana untuk membantu rakyat Kemboja yang memerlukan.

Sementara itu, wakil HALUAN negeri Terengganu, Encik Jamil Muda memaklumkan bahawa segala perancangan yang telah diaturkan oleh negeri telah berjalan lancar dengan kutipan yang memberangsangkan. Wakil dari Kedah, Ustaz Nasrul Islam Darus pula mengucapkan terima kasih kepada huffaz yang telah ditugaskan ke Kedah iaitu Sheikh Yusof Nabil Khatab dari Palestin dan dari Syria, Syeikh Anas Yunus yang telah memberi khidmat yang terbaik. Wakil Pahang juga tidak melepaskan peluang berucap serta memaklumkan bahawa kutipan negeri untuk Palestin dan Syria meningkat sekali ganda iaitu RM226,000 berikutan kesedaran yang begitu tinggi dalam masyarakat.

Sebagai penghargaan kepada para huffaz yang datang, pihak HALUAN telah memberikan saguhati dalam bentuk wang tunai dan kuih-muih tempatan kepada mereka. Saguhati tersebut telah disampaikan oleh Sr. Mohd Sabbri Md Yudin diiring oleh Pengarah Program Encik Ahmad Shahbuddin Abu Bakar.

Di penghujung program, majlis diserikan lagi dengan persembahan nasyid dan qasidah oleh para huffaz dari Palestin dan Syria. Nasyid tersebut memberi makna yang mendalam kepada semua hadirin. Wakil urusetia program Ustaz Ahmad Muhammad Jamalullail Tajudin turut menyampaikan sajak dalam bahasa arab dalam program tersebut yang mengaitkan pengorbanan mereka di Palestin dan Syria.

Harapan kami, walaupun program ini telah berakhir, tugas kita tetap diteruskan dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat dan meneruskan kutipan dana dalam membantu saudara-saudara kita yang tertindas. Semoga program ini menjadi pemangkin kepada HALUAN dalam menggerakkan kerja-kerja kesukarelawanan dalam masyarakat. Semoga Allah SWT menerima amal-amal soleh kita semua.

Orang ramai yang ingin turut menyumbang bolehlah melakukannya menerusi akaun berikut:

Nama akaun : TABUNG PALESTIN HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528, atau
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2

Dan untuk Syria serta Kemboja di akaun “Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN” di Maybank bernombor akaun 5622 6350 2611.

Laporan Musab Saari
Setiausaha Kerja, Biro HALUAN Palestin

Bacaan Ayat Suci Al Quran oleh Syeikh Bassam Achmar

Naib Presiden 2 HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin dalam ucaptama beliau

Tayangan video

Hadirin yang hadir

Persembahan nasyid dan qasidah oleh para huffaz

Huffaz bergambar bersama pihak urusetia