fbpx

Sukses Fasa 1: Relawan Tani HALUAN Lancar Fasa 2 Untuk Orang Asli Air Banun

Sukses Fasa 1: Relawan Tani HALUAN Lancar Fasa 2 Untuk Orang Asli Air Banun

Sukses Fasa 1: Relawan Tani HALUAN Lancar Fasa 2 Untuk Orang Asli Air Banun

AIR BANUN, GERIK, 20 Okt 2019 – Sekali lagi seramai 10 orang sukarelawan HALUAN cawangan Pulau Pinang turun berbakti menjayakan projek sosio-ekonomi pertanian penduduk orang asli Kampung Air Banun di sini semalam.

Pasukan kali ini yang diketuai oleh Cikgu Idris Ahmad telah bergotong-royong bersama penduduk kampung membersih dan membesarkan tapak pertanian berkenaan dalam Fasa Kedua. Tapak percubaan pertanian tersebut adalah bawah Program Tautan Kasih dan Pembangunan Rancangan Penempatan Semula Orang Asal kampung berkenaan, bertujuan untuk memampukan mereka menjana pendapatan tetap daripada hasil pertanian di tanah mereka yang subur itu.

“Kami telah menempa kejayaan dalam Fasa Pertama dahulu, suatu pilot project di mana tanaman penduduk kampung asyik dimusnahkan oleh binatang liar seperti gajah dan babi hutan. Habis semaian pokok getah dan tanaman makanan mereka seperti ubi kayu diratah oleh haiwan berkenaan. Mereka sudah berpuluh tahun berputus asa dan terpaksa membanting tulang empat kerat dengan meredah hutan mencari manau dan akar kayu untuk jualan sebagai sumber pendapatan mereka, sedangkan tanah di sekeliling rumah mereka amat subur untuk apa jua jenis tanaman komersil,” berkata ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN cawangan Pulau Pinang, Encik Halim Kudri yang turut menyertai pasukan kali ini.

Menyedari hakikat itu, HALUAN telah melaksanakan bantuan Fasa Pertama dengan kerjasama penolong Tok Batin kampung berkenaan. Beberapa jenis tanaman makanan ditanam di tapak tertentu seperti pokok ubi kayu, cili, serai dan terung. Di samping itu, HALUAN telah memasang beberapa perkakasan Bahan Cegah Haiwan (BCH) di sekeliling kawasan tapak pertanian berkenaan sebagai ujian pencegahan haiwan daripada menceroboh.

“Selama lebih dua bulan kami memantau keadaan tapak pertanian berkenaan dengan pokok-pokoknya semakin tumbuh subur. Menurut penolong Tok Batin, Pak Dalong, ada beberapa insiden di mana gajah dan babi cuba menghampiri kawasan berkenaan, tetapi berpatah balik tidak jadi menceroboh tanaman berkenaan seperti kebiasaannya dahulu. Maka ujian Fasa Pertama kami terbukti berjaya menghalang cerobohan haiwan liar. Kini semakin ramai penduduk kampung ini yakin dengan kemampuan kami membantu mereka dan menantikan saatnya untuk giliran mereka pula,” berkata Halim tersenyum.

Menurut Pak Dalong sebagai tuan tanah Tapak Percubaan Pertanian itu, “bahan sintetik cecair itu yang telah dipasang di sekeliling pagar kawasan pertanian saya berjaya menyekat serangan daripada gajah dan babi hutan. Suasana ini memberi semangat dan keselesaan untuk penduduk kampung kami mengusahakan tanaman-tanaman seperti sayur-sayuran untuk menampung pendapatan kami, tidak bergantung penuh kepada hasil hutan. Saya nak kata terima kasihlah atas bantuan HALUAN (Lihat video di bawah).”

Mengikut cikgu Idris pula, projek pertanian ini adalah usaha HALUAN cawangan Pulau Pinang untuk membantu penduduk kampung berkenaan menambah pendapatan harian mereka. Jikalau berjaya dengan projek percubaan pertanian ini, HALUAN akan melancarkan projek pertanian besar-besaran untuk seluruh pendududuk kampung untuk beralih kepada projek tanaman komersil.

“Mereka semua buta huruf, dan memerlukan bimbingan rapi daripada kita. Kami berhasrat agar perut mereka kenyang terlebih dahulu, membina keyakinan diri, bersyukur kepada Allah SWT dan sedar bahawa rezeki itu datang dari Tuhan. Kami mempunyai pelan perancangan 10-tahun dengan mereka, di mana serentak dengan kejayaan projek ini nanti, kami akan berusaha mendidik anak-anak muda kampung ini agar keluar dari suasana sekarang kepada celik huruf dan terus maju jaya dalam kehidupan,” menurut Naib YangDipertua 4 HALUAN Pulau Pinang, Encik Shukri Nordin.

Laporan Abdul Halim Khudri, HALUAN Pulau Pinang