fbpx

Spiritual, Intelektual Teras Muktamar HALUANITA 2015

Spiritual, Intelektual Teras Muktamar HALUANITA 2015

Spiritual, Intelektual Teras Muktamar HALUANITA 2015

BANDAR BARU BANGI, 3 Mei 2015 – Elemen persediaan spiritual, intelektual, fizikal dan material menjadi teras penggerak HALUANITA sebagai dai’yah yang aktif mencorak masyarakat ke arah kebaikan. Muktamar HALUANITA Kebangsaan 2015 anjuran Biro HALUANITA dari 2-3 Mei lepas telah menggariskan kualiti ahli HALUANITA yang didambakan oleh HALUAN, bersesuaian dengan cabaran yang melanda masyarakat kini.

Dengan bertambah ramainya wanita yang berkelulusan tinggi dan memegang jawatan penting dalam kerjaya dan kepimpinan masyarakat, pemupukan nilai-nilai kerohanian serta intelektualisme yang terdorong atas dasar keimanan dan ketaqwaan menjadi bertambah penting. HALUANITA memahami hakikat dan cabaran ini dan berusaha menyusun strateginya sejak seorang bayi masih di dalam perut ibunya lagi agar akan terlahir generasi pewaris yang mampan takutkan Allah SWT.

Muktamar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dihadiri lebih 300 perwakilan dari seluruh Malaysia. Muktamar kali kedua ini lebih istimewa lagi kerana buat julung kalinya Muktamar HALUANITA dijalankan bersempena sambutan Jubli Perak: 25 Tahun Penubuhan HALUAN. “Wanita Mulia Ummah Sejahtera” dipilih sebagai tema Muktamar HALUANITA 2015 bertepatan dengan matlamatnya untuk melahir dan membentuk peribadi wanita mulia yang mampu mengubah masyarakat dan persekitarannya ke arah kehidupan yang sejahtera sekaligus mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman dalam ucapan perasmian beliau menarik perhatian peserta tentang ciri-ciri menjadi wanita solehah seterusnya berperanan dalam membentuk ummah yang sejahtera. Majlis turut dihadiri oleh Naib Presiden 2, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin; Naib Presiden 3, Prof. Madya Dr. Azizan Ahmad serta tetamu jemputan termasuk Yang Dipetua HALUAN Cawangan Putrajaya, Encik Mubarak Ali Ismail dan Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) Kuala Lumpur, Dr. Nordin Endut. Muktamar HALUANITA 2015 kali ini membuka tirai dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Asmawati Desa diikuti dengan majlis perasmian.

Ucapan dasar disampaikan oleh Puan Alfiah Samingan selaku Ketua Biro HALUANITA yang mengupas tema muktamar “Wanita Mulia Ummah Sejahtera” secara terperinci. Beliau memulakan ucapan dengan membawa contoh wanita mulia dalam Al-Quran iaitu Maryam binti Imran dan seterusnya seerah sahabiah dizaman Rasulullah SAW iaitu Ummu Salamah RA. Selain itu di antara perkara yang menjadi keutamaan dalam pemilihan kepada kesinambungan generasi, nilai deeniyah memainkan peranan asas dalam sesebuah perkahwinan berbanding paras rupa, harta dan keturunan seperti yang disebut di dalam hadith yang diriwayat oleh Bukhari dan Muslim.

Beberapa peserta yang ditemubual berpuas hati dengan muktamar kali ini. Perwakilan Putrajaya, Puan Che Azizah Ismail berpuas hati dengan penyampaian para penceramah yang disifatkannya sebagai sangat mantap dan jelas. Puan Sainab Wakkang wakil Sabah menyatakan bahawa gerakan aktif daripada HALUANITA mampu membentuk para pemudi serta relawan menjadi lebih efektif dalam medan dakwah. Program yang terancang, tersusun, kreatif serta menarik dan menepati cita rasa remaja perlu dijalankan secara berterusan, tambahnya.

Empat kertas kerja penting dibentangkan oleh penceramah yang pakar dalam bidang masing-masing, kesemuanya bersesuaian dengan objektif muktamar kali ini iaitu berkaitan mempersiapkan spiritual, intelektual, fizikal dan material HALUANITA sebagai dai’yah. Sesi perbahasan ucapan dasar dan dialog isu semasa menyaksikan penglibatan aktif ramai perwakilan dari pelbagai negeri sambil membentang isu-isu semasa dari setiap negeri. Puan Radiah Abdul Kader dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berpendapat persiapan spiritual, keberanian diri dan istiqamah menjadi nadi kekuatan untuk bergerak selari di medan dakwah dan mampu diaplikasikan dalam membina ummah yang sejahtera. Menurut beliau, keberanian ini mesti dipupuk oleh kepimpinan HALUANITA sendiri untuk memangkinkan ahlinya menjadi penggerak dan perubah masyarakat yang berkesan.

Muktamar HALUANITA Kebangsaan 2015 tamat dengan resolusi yang dirumuskan oleh Prof. Madya Dr. Asmawati hasil daripada kesemua persoalan dan perbincangan yang berlangsung. Diharapkan resolusi ini dapat dirujuk oleh semua perwakilan dan ahli HALUANITA untuk dimanfaatkan bersama dalam perancangan, pembentukan dan pembangunan ahli daripada kesemua aspek fakulti insan dengan menjurus kepada aspek Rijal, Massa dan Dana.

Laporan oleh Naemah Ibrahim
Jurufoto Fitria Ernita Ismail
Biro Media HALUANITA