fbpx

Sorakan Semangat PESONA Gegar Bumi Banting

Sorakan Semangat PESONA Gegar Bumi Banting

Sorakan Semangat PESONA Gegar Bumi Banting

Banting, 17 April Berpaksikan matlamat mencari redha Allah, menimba ilmu dan pengalaman dalam mencari identiti, seramai  75 orang pelajar puteri dari sekolah-sekolah sekitar Selangor telah menghadirkan diri dan hati mereka ke Kem Personaliti Remaja (PESONA).


Kem yang dijalankan pada 16 dan 17 April telah dianjurkan oleh Biro Haluanita HALUAN Malaysia bertempat di Kem Bina At-TAQWA, Banting. Selama dua hari satu malam, sorakan semangat PESONA telah menggegarkan bangunan-bangunan kem ditambah dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada para peserta.

Menurut Pengarah Program, Puan Nur Sarah bt Abd Rashid, kem ini dijalankan bertujuan mendekatkan golongan remaja puteri dengan ahli Haluanita dan mendorong mereka mengenal identiti dan potensi diri di samping mencari keredhaan Allah dalam setiap perkara yang dilakukan. Sehubungan dengan itu, pelbagai aktiviti telah dirancang dan dijalankan dengan memberi pendedahan yang menyeluruh untuk membimbing para peserta dengan dibantu oleh 20 orang fasilitator yang terlatih.

Slot Motivasi pertama menghidangkan topik ‘Mengenal Diri’ yang disampaikan oleh Ustaz Omar Aiman bin Osman. Beliau mengajak para peserta untuk menjadi Muslimah solehah yang bermatlamat jauh dan telah memperkenalkan empat cita-cita asas yang perlu ada dalam diri setiap Mukmin iaitu akhirat yang terjamin, alam kubur yang selesa, kematian yang cemerlang dan kehidupan yang sejahtera.

Para peserta telah memberikan komitmen yang amat baik sepanjang kem berlangsung. Aktiviti dan permainan yang disediakan membuka peluang kepada para peserta untuk lebih mengenali rakan-rakan baru yang datang dari sekolah yang berbeza. Petang Sabtu yang hening di Kem Bina At-TAQWA telah digegarkan dengan sorakan para peserta dan fasilitator dalam permainan The Pirates of Bumi Banting. Lapangan kem basah dengan bom air hasil ciptaan mereka dalam mempertahan kubu dan menawan kubu musuh.

Slot Muhasabah yang disampaikan oleh Penasihat Program, Dr Wan Muhaizan Wan Mustaffa mengisi slot akhir hari pertama kem. Sekali lagi, kem Bina At-TAQWA basah dengan air mata para peserta yang tenggelam dalam penghayatan muhasabah yang dipertotonkan melalui video, lagu-lagu nasyid dan penyampaian.  

Hari terakhir menyaksikan wajah ceria para peserta melaungkan lagu tema kem diiringi sorakan PESONA yang penuh bersemangat. Slot Motivasi kedua yang disampaikan oleh En Mohamad Zamri bin Tukiran membawa topik ‘Menggali Potensi Diri’. Peserta telah memberikan tumpuan yang terbaik sepanjang sesi berlangsung. Pelbagai persoalan telah diutarakan kepada penceramah pada akhir sesi bagi merungkai permasalahan diri di samping menggali potensi sebenar yang mereka ada dalam mengejar kecemerlangan yang diredhai Allah.

Kem PESONA diakhiri dengan persembahan kreatif oleh setiap kumpulan peserta. Masa singkat yang diberikan untuk persediaan persembahan ternyata bukan menjadi halangan kepada mereka untuk menghasilkan idea yang bernas dan diterjemahkan dalam persembahan yang kreatif. Di akhir sesi, tiga kumpulan terbaik telah dinobatkan sebagai juara hasil kutipan reward biji saga yang terbanyak dalam setiap aktiviti termasuk disiplin kumpulan sepanjang kem berlangsung.

Rata-rata para peserta sangat berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti sepanjang kem berlangsung. Raja Nurfairuz bt Raja Othman, dalam ucapan terakhir beliau mewakili peserta kem menyatakan, “Alhamdulillah, kem ini telah berjaya mencapai objektif yang diinginkan iaitu ingin mengajak dan mendidik hati-hati kami untuk lebih mendekati Allah dan mengejar redha Allah dalam setiap perkara yang kami lakukan. Saya, mewakili rakan-rakan peserta yang lain amat berharap kem sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dan dipanjangkan lagi tempoh kem supaya lebih banyak aktiviti yang menarik dapat dijalankan bersama rakan-rakan. Fasilitator juga memberi layanan yang mesra kepada kami dan banyak memberi input yang berguna dalam sesi latihan dalam kumpulan.”

Guru pengiring dan beberapa pemerhati dari luar mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana telah memberi input yang bermanafaat kepada pelajar-puteri mereka dan berharap kem ini dapat diadakan lagi masa akan datang.